Ilusi Realiti
April 12, 2018
Ekskavasi: Pulau Empat Juru (Bab 3)
April 13, 2018

Ahmad

Views:   435

           Pada suatu malam, aku dan rakan serumahku, Ahmad keluar menonton wayang. Aku membeli tiket sambil ditemani Ahmad. Selesai membeli tiket kami menunggu waktu tayangan bermula.

         “Mirza, bak lah tiket aku. Aku nak pergi beli air. Kau nak air apa?” ucap Ahmad.

         “Beli aje lah apa pun tak kisah. Nak aku tunggu kau ke ni?”

        “Tak payah, kau masuk aje dulu nanti aku masuk lah”

        “Ok lah, jangan lambat sangat. Nanti tak lepas nak masuk pula” Balasku.

        “Eleh, ngaku aje lah kau tu penakut” Ahmad ketawa. Aku sekadar mendengus perlahan.

 

Lima minit sebelum tanyangan bermula, baru Ahmad muncul. Dia serahkan air kepadaku. Ahmad memegang perutnya seolah menahan sakit.

“Kau kenapa Mad? Cerita belum mula perut kau dah memulas ke?”Ahmad menggeleng namun wajahnya masih berkerut.

Punya lah menakutkan cerita yang aku tonton ini hingga membuat aku terasa seram sejuk. Merinding bulu roma aku dibuatnya.  Melihat muka tanpa wajah buat aku teringat  cerita seram yang arwah opahku ceritakan dulu. Hantu tiada muka katanya.

Cerita mengisahkan, Fuad yang mati dibelasah oleh orang kampung kerana mereka syak dia telah membunuh semua ahli keluarganya kerana tidak mendapat duit untuk membeli dadah. Rohnya seakan merayau mencari orang kampungnya untuk menjelaskan bukan dia yang membunuh. Dan membalas dendam pada mereka yang enggan mendengar rayuannya.

Lebih kurang jam 12.00 tengah malam, cerita tamat dan kami berpusu-pusu untuk keluar. Entah kenapa dengan tidak semena-mena aku rasa tidak sedap hati. Peluh dingin mula membasahi pipi. Rasa sesuatu sedang memandang dan mengekoriku. Rasa ingin ku rempuh sahaja semua yang jalan terkedek-kedek di hadapanku.

Setibanya di luar aku pantas menarik tangan Ahmad menuju ke tempat parkir motosikalku. Tidak mahu berlama-lama.  Ahmad naik tanpa banyak bicara.

Setibanya aku di selekoh masuk ke kampungku tetiba telefonku berdering. Sangat mengganggu tumpuanku.

“Ish, time-time macam ni siapa lah pula yang telefon ni” Aku membebel.

 

Telefonku berada di dalam poket seluar yang kupakai. Mustahil untuk aku memberhentikan motorku dalam keadaan gelap itu semata- mata untuk menjawab panggilan tersebut. Tunggu aje lah walau siapa pun dia. Desis hatiku.

Lima minit kemudian telefon ku berbunyi lagi. Deringan kali ini lebih lama. Cukup merimaskan. Malas untuk memikirkannya ku tingkatkan kelajuan motorku. Deringan berhenti.  Namun ia kembali berdering sejurus kemudian. Ish! Siapa lah gerangan manusia yang tidak faham bahasa ni. Hatiku mula menyinga.

“Dah kalau orang tak angkat tu, maknanya orang ada hal. Sibuk. Tak boleh angkat!” Aku sudah mula naik angin. Geram.

“Mad, kau tolong Mad.  Cuba kau ambil telefon aku dalam poket depan ni kalau boleh” Akhirnya itu sahaja cara mendiamkan deringan tersebut.

 

Beberapa kali Ahmad mencuba untuk mengambil telefonku namun tidak berjaya. Akhirnya dia mengalah. Aku cuma mampu mengeluh. Tidak boleh menyalahkan Ahmad juga. Seluar jeans aku pakai jenis kain keras dan sedikit ketat.

Motorku tetiba meragam. Tersemput-semput macam isyarat mahu  kehabisan minyak. Dan akhirnya ia terhenti di bahu jalan.

“Allah, time ni la pulak kau nak buat hal” bebel aku. Sambil itu aku suruh Ahmad turun. Dia akur. Aku ikut turun.

 

Dengan pantas aku mengangkat pelana motor. Lalu membuka tangki minyak. Penuh!  Ah! Sebab apa pula yang tersemput dan mati ni? Sudah lah aku tak pandai bab baiki-baiki ni. Memang bukan kepakaran aku. Kalau minta aku melukis plan bangunan ke buat autocad ke pandai lah aku.

“Kau rasa kenapa ye Mad? Minyak penuh ni. Ish tetiba lah aku rasa seram la pulak” soalku pada Ahmad. Dia mengangkat bahu lalu duduk bertinggung di tepi motor, sambil menggodek motorku. Entah apa yang dia godek pun aku tak tahu lah. Dia pun dua kali lima dengan aku.

Aku teringat akan panggilan telefon yang tidak sempat aku jawab sebentar tadi. Dengan pantas aku menyeluk poket seluarku. Telefon bimbit samsung J1 milikku aku buka papan kekuncinya.

Mencari senarai data panggilan. Eh, tiada satu pun panggilan tidak dijawab. Yang ada cuma lah panggilan yang diterima dan panggilan keluar sahaja.  Panggilan yang diterima paling akhir adalah dari tunangku, Rasya. Panggilan keluar yang terakhir adalah nombor Rasya juga. Mana perginya list panggilan tidak dijawab sebentar tadi? Yang ada pun cuma rekord dua hari lepas sahaja. Panggilan dari abang sulungku Mikail.

Masih tidak berpuas hati, aku tekan butang ‘restart’. Mungkin telefonku buat hal. Desis hatiku. Lima minit kemudian skrin telefon menyala kembali. Pantas aku buka data panggilan. Keputusan tetap sama seperti tadi. Musykil sungguh!

 

Aku cuba menghidupkan motorku. Namun masih gagal. Aku melihat jam di tanganku. Sudah menginjak ke angka 2.00 pagi.

“Kita tolak aje lah Mad. Nak tunggu sini tak tahu ada orang lalu ke tak ni time macam ni” ucapku. Sudah tiada pilihan lain lagi. Ahmad akur.  Kami menolak bersama-sama. Mujur lah ada Ahmad. Tidak lah aku rasa seram sangat malam-malam begini.

Masing-masing diam tidak berkata apa-apa. Penat. Tekak mula terasa haus yang amat. Aku cuma mengharapkan kami cepat sampai rumah.  Setelah hampir 10 minit menolak, aku mengambil keputusan untuk cuba menghidupkan kembali motorku. Namun tetap tidak  berjaya juga.

“Mirza, kalau lah engkau jadi Fuad, kau buat apa?” Tiba-tiba Ahmad bersuara.

Fuad, adalah watak lelaki di dalam cerita yang kami tonton sebentar tadi. Lelaki yang dituduh membunuh ahli keluarganya hanya kerana dia seorang yang hidup. Hanya kerana dia seorang penagih dadah. Dia berada di tempat yang salah pada masa yang salah.

Aku tidak tahu nak jawab apa. Lagi pun aku tiada mood pada ketika ini untuk bercakap soal itu. Tetapi aku tidak mahu membuat Ahmad terasa hati.

“Ala, cerita aje kot. Diorang reka aje.” Balasku ringkas.

“Yela, kalau jadi?” soal Ahmad yang tidak puas hati dengan jawapanku

“Terima aje lah qada dan qadar.” Ucapku malas.

“Kalau kau kena tuduh benda kau tak buat, kau terima aje. Macam tu aje?” Soal Ahmad. Mukanya kelat.

“Dia ada di tempat dan pada masa yang salah. Bak kata orang putih, wrong time, wrong place” balasku pula.

“Tapi, tanpa soal siasat, dia dibelasah sampai mati Mirza. Aku boleh rasa perasaan dia. Dia merayu supaya diadili. Dia merayu untuk nyawanya yang tuhan bagi tetapi manusia pula yang sibuk nak rampas darinya” Ahmad meluahkan rasa tidak puas hatinya.

“Tu kan cerita aje Mad. Kalau yang reality punya, tak ada lah sampai mati kot. Paling-paling orang telefon polis. Masuk penjara. Habis lah cerita. Tang mana lak hantunya? Cerita kita tengok tu cerita hantu.” Balasku pula.

“Tapi…”

“Alah… Nanti lah kita bincang. Tekak aku ni haus ni. Nanti kering pula air liur aku berdebat dengan kau” aku terus memotong cakap Ahmad yang tetiba  beremosi pula malam ni. Tengok cerita hantu aje pun. Gerutu hatiku.

 

Muka Ahmad keruh mendengar jawapan aku. Sungguh, aku terlalu penat dan dahaga. Tadi pun minum air coke yang Ahmad beli aje.

Kami meneruskan perjalanan. Ahmad diam sejak tadi. Sejak aku tidak mahu bercakap tentang isu yang dia utarakan. Nampak jelas wajahnya menahan sedih. Perasaan bersalah mula menghantui. Kesian pula tengok mukanya yang cemberut itu. Tangannya masih memegang perutnya. Sakit sangat ke? Hatiku mula dilanda resah.

“Mad, aku…” aku berkira-kira ingin memohon maaf tetapi belum sempat aku meneruskan kata, telefon aku berbunyi.

Nombor yang tidak dikenali? Siapa pula menelefon di waktu-waktu begini?

Aku terus menekan punat ‘jawab’.

 

“Hello Encik, Encik kenal tak orang yang bernama Ahmad Zaman bin Ahmad Zaki?”

Saat itu aku menoleh ke arah Ahmad yang berjalan menuju ke semak di tepi jalan. Nak melepaskan hajat barangkali. Desis hatiku.

 

“Aah, kawan saya tu. Encik ni pula siapa? Kenapa tanya pasal kawan saya? Dan mana pula Encik dapat nombor saya ni?”

“Saya Inspektor Anuar. Macam ni Encik, kawan Encik sekarang kat hospital. Dia cedera parah semasa medik tiba ditempat kejadian. Ditikam beberapa kali kat perutnya. Saksi cakap tadi, kawan Encik sedang beratur hendak membeli minuman tetapi ada lelaki mendakwa kawan Encik kacau awek dia. Kami ambil nombor Encik dari telefon mangsa. Nombor Encik yang paling atas dalam call log ni”

“Encik salah orang kot.. kawan saya ada dengan saya….”

“Encik, kawan Encik dah meninggal. Ni, nurse baru bagitahu. Dia kehilangan darah yang banyak. Harap Encik dapat membantu pihak kami. Hubungi dan beritahu ahli keluarganya yang lain.” Allah. Mendengar kata-kata Inspektor Anuar aku rasa macam nak pitam. Rasa bagaikan mimpi. Ku tampar mukaku berkali-kali.

 

Entah mengapa, tetiba aku teringat akan sesuatu. Semasa masuk ke pawagam tadi, Ahmad memegang perutnya seolah menahan sakit.

“Kau kenapa Mad? Cerita belum mula perut kau dah memulas ke?” selorohku.

Allahu robbi!! Dia cuba datang untuk memberitahu aku. Sepanjang menonton rupanya aku bersendirian tanpa Ahmad. Patutlah lain benar sikap Ahmad sepanjang malam ini. Rupanya, hanya rohnya bersamaku sedang jasadnya bertarung demi sebuah nyawa.

Aku berlari masuk ke semak mencari Ahmad. Aku inginkan kepastian.  Hampir 20 minit aku berlegar di situ. Namun bayang Ahmad tidak kelihatan.

Dan… saat itu aku merasakan sesuatu. Debaran jantung yang mula menggila. Seram sejuk mula terasa. Merinding bulu romaku. Namun demi Ahmad aku harus pastikan kebenaran kata-kata Inspektor Anuar. Dan aku masih berharap, dia salah orang.

“Ahmad.. Kenapa buat aku macam ni Mad. Apa aku nak bagitau mak ayah kau Mad. Apa aku nak bagitau bakal tunang kau.” Rintihku apabila ternyata aku gagal menemui Ahmad.

Aku mengeluarkan telefon bimbitku. Menelefon abangku Mikail. Aku mahu dia menemani aku ke hospital nanti. Nombor kakak Ahamd juga telah ku hubungi.

Sedih memang sedih namun rasa seram mengatasi segalanya. Aku bersama rohnya sepanjang perjalanan.    Tanpa berlengah aku terus berlari pulang meninggalkan motorku di situ.

Kerana peristiwa itu, hampir seminggu aku demam. Betul lah kalau aku cerita orang tak akan rasa apa yang aku rasa. Tak rasa seramnya. Aku yang lalui. Aku yang bersama roh Ahmad malam itu. Walau apa pun aku tetap bersyukur kerana Ahmad tidak menzahirkan rupa yang pelik-pelik di depanku. Buatnya lah macam cerita hantu, biasanya apabila kita sudah mengetahui dia sudah meninggal, pasti bila kita pusing untuk melihat, dia berdiri dengan rupa yang pucat lesi. Darah pula membuak keluar dari perutnya akibat tikaman itu.

Ahmad! Kau kawan dunia akhirat. Aku doakan kau tenang di sana bersama para solihin. Innalillahiwainnailaihirojiun. Al-fatihah.

 

#Seram

#ceram

Insan biasa-biasa aje

Love5
Acik Zaza
Acik Zaza
Insan biasa-biasa aje

6 Comments

  1. Tukirah Morsid says:

    Congrats acik zaza.. terus berkarya

  2. Ijae says:

    Terbaek…..smoga trus berkarya 😊

  3. Yie says:

    Permulaan yang baik. Teruskan usaha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *