BironTale Chapter 12: Undyne Returns
July 4, 2018
BironTale Chapter 13: A New Foe?
July 5, 2018

Michael Schumacher dilahirkan di Kerpen, Germany pada tahun 1969. Dari usia muda, beliau dididik untuk berlumba; tidak dapat dinafikan naluri pelumba itu telah tersemadi sejak dahulu lagi. Naluri itu juga membawa kepada beliau memenangi kejuaraan-kejuaraan go-kart dan kemudiannya di Formula 3.

Di F3, beliau mengalami persaingan terhebat dari pelumba-pelumba sezaman seperti Mika Hakkinen dan Heinz Harald Frentzen. Michael juga mengambil bahagian dalam perlumbaan

Class C, menerajui jentera Mercedes-Benz di sekitar litar seperti Spa-Francorchamps, Belgium dan Le Mans, France.

Peminat sukan permotoran ada yang dapat mengesan keistimewaan pada pemuda dari Kerpen itu. Mereka yang sudah lama aktif dalam F1 juga memerhatikan perkembangan beliau. Kebolehan yang beliau tonjolkan dengan sekuat-kuatnya, tidak hairanlah bila tibanya panggilan di telefon.

***

Eddie Jordan merupakan seorang pemuda yang amat meminati sukan permotoran, lalu beliau berhajat untuk memulakan pasukan dan jentera sendiri dalam sukan F1. Dengan berbekalkan pengalaman dalam sukan F3 sebelum ini, Jordan mengasaskan pasukan Jordan GP dan melantik Gary Anderson untuk bersama menguruskan pasukan tersebut.

Jordan, seperti rakan sekutunya yang lain, amat kagum dengan prestasi Michael, dan sedar bahawa ramai yang ingin mencengkamnya ke dalam pasukan masing-masing. Namun, Jordan lebih cepat bertindak. Beliau menjalin hubungan baik dengan Michael dan pengurus Michael sendiri, Willi Weber, untuk mendapatkan khidmat pelumba muda berdarah Jerman itu, pada pertengahan tahun 1991. Tujuan perlantikan Michael adalah mengisi kekosongan yang ditinggalkan setelah pelumba sedia ada, Bertrand Gachot, dipenjarakan atas sebab memancutkan gas CS ke arah pemandu teksi. Sesuatu perkara yang amat dikesali Jordan, namun perkara yang betul harus dilakukan demi menjaga maruah pasukan yang dibina dengan hasil titik peluhnya sendiri.

Michael tiba di Spa-Francorchamps untuk memulakan hidup selaku pelumba F1 sepenuh masa. Dengan segera, beliau meninggalkan impak yang kekal menjadi sebutan sehingga kini. Pada kemunculan pertama di sesi kelayakan, beliau merekodkan masa ke-7 terpantas. Sangat menakjubkan. Michael terkejut tidak percaya, Jordan pula tersenyum lebar kerana dianggap berjaya.

Namun, Michael tidak dapat memulakan perlumbaan kerana masalah teknikal membelenggu jentera Jordan berwarna hijau epal itu. Rakan sepasukan beliau, Andrea De Cesaris pula memecut di tempat kedua sebelum masalah kotak gear memaksa beliau untuk berhenti. Jordan menggeleng kepala sahaja.

Tidak mengapa,kerana Michael baru bermula.

***

Beberapa minggu kemudian, beliau dilepaskan dari kontrak pasukan Jordan, kerana dikebas oleh pasukan Benetton. Jordan dengan rela hati menerima keputusan tersebut.

Benetton bukanlah calang-calang pasukan. Mereka sudah agak lama berada di F1, iaitu sebelum mereka membeli pasukan Toleman. Benetton juga pasukan stabil yang pada tahun 1991 mula melonjak menjadi lebih baik berbanding musim-musim terdahulu.

Michael berlumba bersama Benetton dan kekal untuk 4 tahun berikutnya. Pada waktu itu, Michael bukan sahaja menyaksikan kemenangan sulungnya di Spa-Francorchamps pada 1992, tetapi juga muncul juara dunia buat julung kalinya pada 1994 dan mengulanginya pada tahun berikutnya.

Segelintir pihak menganggap perubahan teknikal pada jentera-jentera bermula tahun 1994 penyumbang terbesar kepada kejayaan Michael. Ada juga mengaitkan kejayaannya dengan kematian lagenda dari Brazil, Ayrton Senna yang terkorban di litar San Marino. Beliau tetap dirindui, terutamanya oleh Michael yang menganggap Ayrton sebagai idolanya ketika membesar.

Michael juga tidak asing dengan kontroversi, terutamanya apabila beliau menyebabkan kerosakan pada jentera musuh terdekat, Damon Hill, pada pusingan terakhir di litar Adelaide, Australia. Michael telah membuat kesilapan dan suspension jentera telah rosak. Beliau melihat Damon pantas mendekatinya, lalu beliau menutup pintu untuk Damon lalu Damon terlanggar jentera Michael yang lumpuh itu. Damon juga mengalami kegagalan suspension lalu terpaksa bersara dari perlumbaan, justeru menghancurkan impiannya untuk menjadi juara pada tahun itu.

Setelah meninggalkan Benetton, mulalah kerjaya Michael di Ferrari. Setelah beberapa tahun berlalu, nama keluarga Michael dan pasukan dari Maranello, Italy itu sukar untik dipisahkan. Michael meraih kemenangan demi kemenangan sehingga beliau menjadi pelumba terhebat di zaman moden F1. Beliau telah menewaskan musuh tradisinya, Mika Hakkinen, pada tahun 2000, setelah dua tahun mencuba tanpa jaya.

Kejayaan Michael mungkin menakjubkan, namun tidak dapat dinafikan bahawa beliau menerima layanan istimewa selaku pelumba nombor satu Ferrari. Dalam tempoh kerjayanya bersama Ferrari, Michael menyaksikan pertukaran rakan sepasukannya sebanyak tiga kali sahaja. Kesemua rakan sepasukannya pula menandatangani kontrak bersama Ferrari yang menjamin bahawa mereka akan berlumba dengan menyokong Michael. Irvine menghabiskan tempoh empat tahun bersama mereka, Barrichello lima, dan akhirnya Massa satu sahaja. Status mereka adalah sebagai pelumba nombor dua. Perkara ini adalah prinsip Ferrari sejak dahulu lagi,untuk meredakan konflik. Tindakan mereka berlainan berbanding pasukan-pasukan seperti McLaren dan Williams, tetapi dibuktikan keberkesanannya kerana dalam tempoh Michael dalam pasukan (1996-2006), mereka memenangi 5 kejuaraan pelumba, dan 6 kejuaraan pengeluar (pasukan), lebih banyak jika dibandingkan McLaren dengan 2 pelumba dan 1 pengeluar sahaja, serta Williams dengan 2 pelumba dan 2 pengeluar.

***

Meskipun gah dengan pelbagai kejuaraan yang dimenangi, Michael tidak bebas daripada kontroversi yang melanda diri beliau sepanjang tempoh bergelar pelumba F1. Selain insiden pertembungan dengan Hill pada tahun 1994, Michael juga didakwa mencuba perkara yang serupa untuk menamatkan perlumbaan musuh ketat beliau, iaitu Jacques Villeneuve, pada GP Jerez 1997. Sekiranya berjaya menghapuskan Jacques, sudah tentu Michael menjadi juara dunia tahun itu kerana memiliki kelebihan 1 mata berbanding pelumba muda dari Canda itu. Namun, rancangan beliau gagal kerana beliau sendiri yang merosakkan jentera beliau setelah melanggar tepi kereta Williams yang dipandu Jacques. Insiden di Jerez menyebabkan Michael dibuang dari tempat kedua dalam kelayakan kejuaraan pemandu, manakala Jacques meraikan kejuaraan sulungnya yang sebelum ini ayahnya Gilles cuba mencapai (c. 1979-1982) tetapi tidak berjaya.

Michael juga terlibat dengan konspirasi yang memalukan dalam sukan permotoran tertinggi di dunia itu. Keinginan pasukan Ferrari untuk kerap kali memberi kelebihan kepada pelumba nombor satu mereka, menyebabkan pelumba nombor dua terpaksa akur dengan keputusan mereka. Hal ini dapat dilihat daripada perlumbaan GP Austria 2002, di mana Barrichello terpaksa memberi laluan kepada Michael untuk memintas, walaupun Barrichello sangat hampir untuk memenangi perlumbaan tersebut. Perkara tersebut merupakan episod gelap dalam sejarah F1. Ramai yang tidak puas hati dengan kesudahan perlumbaan yang dramatik sebegitu. Mereka tidak membayar wang untuk melihat ketidakadilan.

Selain itu, nama Michael tercatat dalam senarai kontroversi F1 sekali lagi, pada tahun 2006 di sesi kelayakan terakhir GP Monaco, di mana Michael yang berada di kedudukan pertama dengan hanya berbaki 1 minit dalam sesi tersebut, bertindak meletakkan kenderaan di selekoh Rascasse. Hal ini menyebabkan marshal di trek mengeluarkan bendera kuning (yellow flag), menyebabkan semua yang sedang melengkapkan sesi tersebut terpaksa perlahan. Setelah tamat sesi kelayakan, Michael didapati bersalah dan terpaksa memulakan perlumbaan keesokan harinya di dalam laluan pit.

Namun, dengan segala bentuk pertelingkahan yang terpaksa dihadapinya, Michael berjaya menunjukkan kepada dunia bahawa beliau seorang pelumba yang mempunyai skil dan ketahanan diri yang cukup untuk berada di kemuncak sukan permotoran dunia. Michael tidak gentar dengan sesiapa di mana-mana litar. Cinta beliau kepada sukan F1 amatlah besar. Walaupun mengumumkan persaraan daripada sukan tersebut pada tahun 2006, namun beliau mengumumkan bahawa beliau kembali berlumba empat tahun kemudian, bersama pasukan Mercedes-AMG Petronas. Michael memilih Mercedes kerana merasakan beliau banyak terhutang budi kepada Mercedes yang melonjakkan namanya dalam sukan permotoran suatu ketika dahulu, sebelum beliau menjejak kaki ke F1.

Malaysian male. 20+ years old (almost). Libra. 

Speaks both Malay and English. Adjust based on circumstances😉

Proud Malaysian. proud of the country’s heritage😄

shame it’s being dragged down the drain😖but it will get better soon🙏

Love0
Nasran Salleh
Nasran Salleh
Malaysian male. 20+ years old (almost). Libra.  Speaks both Malay and English. Adjust based on circumstances😉 Proud Malaysian. proud of the country's heritage😄 shame it's being dragged down the drain😖but it will get better soon🙏

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *