Hanya Sementara – Bahagian Akhir
April 12, 2018
Ilusi Realiti
April 12, 2018

Bangkai – Bab 6

Views:   500

Perlahan lahan malik menuju ke arah zulaika. Dia hanya berbisik kepada zulaika.

“ awak boleh dengar suara saya? “

Zulaika hanya mengangguk

“ sekarang yang awak lihat ini saya datang dalam bentuk roh… tubuh saya masih berada di dasar tasik “

“ tasik? Di sini mana ada tasik “ balas zulaika

“ tasik dari alam lain “ sambung malik

 

“ awak sedang bercakap dengan siapa? “ tanya encik harun. Dia melihat tajam ke arah anak perempuannya. Zulaika terhenti. Dia melihat ayahnya. Kemudian dia ternampak pula lembaga hitam dari atas kepalanya. Zulaika sempat menjerit menyuruh ayahnya pergi dari situ dengan segera.

Tanpa membuang masa encik harun membuang sejenis air yang sudah dijampi ke arah lembaga itu sehingga ia mengeluarkan bunyi yang begitu menakutkan.

Grahhh~~~~!!!! Huraghhhh~~~~!!!!

“ ika! Turun ke bawah sekarang juga “

Zulaika berlari turun ke bawah dan dia terkejut bila melihat seorang budak perempuan yang berdiri kaku dan mendiamkan diri. Encik harun juga mengikuti turun dari anak tangga itu berasa sedikit hairan kerana anak perempuannya tidak bergerak sedikitpun.

“ kenapa? “ tanya encik harun

Zulaika menunjuk ke arah ruang tamu. Encik harun melihat. Kosong.

“ ada apa? “ tanyanya lagi

“ ada seorang budak perempuan di sana “ jawab zulaika.

 

Sementara itu malik sudah berada di tingkat atas sudah bersedia untuk bersemuka dengan lembaga itu. lembaga itu masih berada di dalam kesakitan selepas dituang air oleh encik harun tadi

“ tunjukkan diri awak! “ marah malik

“ grahhhh~~~~!!!! “

Perlahan lahan lembaga itu berdiri. Tubuhnya tinggi. Badannya berbulu. Matanya merah, giginya tajam dan lidahnya terjulur keluar. Baunya sangat busuk. Malik masih berdiri kekal di kedudukannya.

“ saya akan hapuskan awak hari ini “ bisik malik

Lembaga itu datang mendekati malik dan cuba untuk menyerangnya, malangnya dalam keadaan seperti itu roh malik tiada memberikan kesan apa apa terhadap serangan dari lembaga tersebut. Lembaga itu menjadi sangat marah. Dia mengamuk di sana juga!

Pada masa yang sama zulaika melihat wajah budak perempuan itu semakin lama semakin berubah. Zulaika memeluk tangan ayahnya kuat kuat. Encik harun mula membaca mentera perlindungan. Akar kayu kokka itu dipegangnya erat erat. Rumah itu mula bergoyang goyang. Zulaika menarik tangan ayahnya menuju ke pintu tetapi budak perempuan itu pula menghalang

“ saya tidak akan benarkan awak berdua lari dari sini! “ marahnya

“ awak hanya roh biasa, saya pasti dapat menembusi awak!” marah zulaika. Budak perempuan itu menjadi berang lalu dia mengawal semua perabot di dalam rumah itu dan dia ajukan ke arah zulaika dan ayahnya. Kerusi itu melayang layang di udara lalu memukul kepala zulaika dengan kuat! Zulaika pengsan di sana juga. Sementara encik harun bila dia melihat zulaika sudah pengan tidak sedarkan diri, tiba tiba budak perempuan itu memegang tangan encik harun sambil berkata,

“ jika anak awak mati, maka saya akan menjadi penggantinya….” bisik budak perempuan itu. encik harun menjadi berang dengan bisikan tersebut dan dia mula membaca mentera dengan lebih nyaring lagi. Suara mentera encik harun kedengaran di setiap penjuru bilik sehinggalah kepada lembaga tersebut. Malik sempat mengelak daripada di serang oleh lembaga itu. rumah itu mulai menunjukkan tindakbalas yang tidak seimbang. Gegaran demi gegaran mula terasa dan paling mengejutkan malik dapat melihat roh roh yang terperangkap di dalam rumah itu berusaha ingin melepaskan diri.

“ roh di dalam rumah ini tidak tenang, mereka ingin keluar tetapi rumah ini sudah dijampi, seperti ada lapisan halus yang menghalang mereka keluar “

Lembaga itu sudah tidak mempedulikan malik, dia turun ke bawah, dia berasa sungguh marah apabila encik harun masih lagi membaca mentera perlindungan itu. anak encik harun masih pengsan. Budak perempuan itu masih berusaha mencapai badan zulaika tetapi tenaganya tidak mencukupi. Mentera yang dibaca oleh encik harun sungguh kuat, tetapi encik harun tahu, bila bila masa dari sekarang dia akan berhenti kerana kepenatan menghalang roh jahat itu dari memasuki dalam tubuh anaknya. Malik tidak segera turun ke bawah, seperti yang dia rancangkan sebelum itu, lelaki berjubah putih pernah berpesan,

“ awak masuk ke dalam bilik gelap itu dan di sana awak akan melihat ada satu almari yang terletak di penjuru bilik. Masuk ke dalam almari itu awak akan berada di satu alam lain. Kawasan itu sangat panas. Awak kena bertahan selama yang boleh. Ada sebuah patung yang terletak di atas batu. Pecahkan patung itu dan ambil serbuknya. Masukkan ke dalam botol yang sudah saya berikan kepada awak dan bawa semula kepada kami di sini sebelum masa tamat “

“ masa tamat bila? “ tanya malik

“ sebelum matahari terbit awak mesti kembali. Jika tidak tubuh awak akan terkubur selama lamanya di dalam dasar tasik “

Malik meneguk air liur. Dia tahu, jika dia terlewat sedikit, dia pasti tidak dapat kembali ke dunia manusia semula. Hanya ini sahaja peluang yang dia ada untuk menghapuskan roh jahat di dalam rumah itu dan bebaskan roh mangsa yang sudah lama terperangkap.

 

Malik menuju ke bilik itu dan seperti yang dijangka, ada sebuah almari di bahagian penjuru bilik. Malik membuka almari itu. gelap. Dia melangkah masuk. Panas. Kakinya melangkah perlahan. Kemudian suasana di dalam itu menjadi kemerah merahan. Malik menguatkan semangatnya untuk maju terus ke hadapan. Tidak berapa lama kemudian dia berjaya menjumpai patung itu. wajah patung ukiran purba itu sungguh menakutkan. Malik mengangkat patung itu lalu memecahkannya!

 

Krassss!!!!

 

Lembaga yang masih berada di dalam ruangan rumah itu terkejut bukan kepalang! Dia tidak jadi menyerang encik harun. Dia kembali semula ke tingkat atas dan masuk ke dalam bilik. Tubuh lembaga itu semakin mencair.

Grahhhh~~~~~!!!! Grahhh~~~~!!!!  Jeritnya. Malik sempat menoleh ke belakang sambil dia mengambil sisa sisa dari patung yang sudah dia pecahkan itu. selesai sahaja tugasnya, malik berpatah balik. Dia terkejut bila lembaga itu sudah berada di depannya. Wajahnya begitu menakutkan! Dia menyerang malik tetapi sia sia sahaja. Malik dapat menembusi badan lembaga itu dengan mudah sahaja. Lembaga itu naik berang. Dia menyeru kepada jin penghalang. Malik melihat pintu di depannya semakin mengecil. Malik terpaksa berlari. Dia berasa hairan kerana badannya begitu berat. Dia melihat botol yang dipegangnya mula mengeluarkan cahaya. Botol itu menjadi berat dan bergetar getar.

“ awak jangan jadi bodoh! “ beritahu satu suara

Malik berhenti. Dia menoleh ke belakang. Kali ini lembaga itu sudah berubah bentuk menjadi seorang lelaki yang bertubuh tinggi. Wajahnya pucat.

“ berikan saya botol itu dan saya akan lepaskan awak dari sini “ beritahu lelaki itu cuba memujuk.

“ saya tidak akan menyerahkan botol ini! “ jerit malik. Dia menoleh ke belakangnya semula, pintu itu semakin jauh. Malik memusingkan badannya dan mula berlari.

“ awak tidak akan dapat melawan arus masa. Semakin awak berlari, pintu itu akan bertambah jauh. Awak akan menjadi penat “

Malik tidak menjawab. Dia berlari lagi. Dan lagi. Dan lagi. Sehingga dia terasa tidak mampu sudah untuk meneruskan lariannya kerana kepenatan. Botol itu hampir hampir tidak dapat diangkatnya kerana semakin berat.

“ serahkan botol itu dan saya akan lepaskan awak! “

“ jika saya serahkan botol ini, awak akan berterusan menganggu manusia yang tinggal di sini. Roh mereka awak akan kurung untuk santapan awak sendiri. Awak sungguh keji! “ marah malik.

Lelaki itu ketawa terbahak bahak.

“ memang tujuan asal saya datang ke dunia manusia untuk menggumpul roh untuk kegunaan saya. Roh mereka akan memberikan saya berlipat kali kekuatan yang saya inginkan! Tapi memang saya berminat dengan roh awak yang begitu berani menentang saya! “

Malik menarik nafas panjang. Sekali lagi dia berlari.

“ awak ini sungguh degil! “

Lelaki itu membaca mentera dan ditujukan ke arah malik. Mentera itu tidak berkesan! Lelaki itu bertambah marah. Dia berjalan menuju ke arah malik dan cuba memegang roh malik. Ia tidak berkesan!

“ cissss!!!! “ marahnya. Malik menoleh.

“ awak tidak akan dapat mengambil roh saya dengan mudah! Inilah titik kelemahan awak yang sebenarnya” beritahu malik.

Dengan bersusah payah, akhirnya malik berjaya keluar dari dalam almari itu dan dia menutup pintu almari dengan menggunakan akar kayu kokka. Malik segera turun ke bawah dengan membawa botol itu. di sana, malik melihat budak perempuan itu menjerit jerit kesakitan. Malik melihat zulaika yang masih belum sedarkan diri. Malik menuju ke arah zulaika dan memegang kepalanya. Malik berbisik sesuatu ke telinga zulaika dan serta merta mata zulaika terbuka luas. Dia terbatuk batuk. Encik harun terkejut bercampur gembira bila anaknya sudah sedarkan diri. Zulaika melihat ayahnya.

“ ayah! Lekas kita pergi dari sini, rumah ini akan roboh bila bila masa dari sekarang! “ zulaika memegang tangan ayahnya dan memimpin ayahnya keluar dari rumah itu. budak perempuan itu berdiri. Dia sudah tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mereka pergi. Malik sempat melihatnya.

“ abang jangan tinggalkan saya di sini “ beritahu budak perempuan itu.

“ tempat awak di sini, awak kena berada di sini dan pulanglah ke tempat asal awak. Cukuplah menganggu manusia dan jadilah roh  yang baik “ pesan malik lalu dia keluar dari rumah itu. zulaika melihat kelibat malik dan dia mengikuti malik dari belakang.

“ ika, awak nak ke mana? “ tanya encik harun

“ ada sesuatu yang perlu saya lihat ayah, ayah lekas masuk ke dalam kereta dan pergi segera. Saya akan pulang kemudian. Cepat! “

Mahu tidak mahu encik harun terpaksa mengikuti arahan anaknya. Dalam kereta, encik harun dapat melihat keadaan rumah itu sudah berubah bentuk menjadi sebuah rumah yang sungguh menyeramkan. Perlahan lahan rumah itu roboh. Satu demi satu dindingnya pecah. Gegaran itu juga menyebabkan keseluruhan rumah itu hancur dan masuk ke dalam tanah semula. Lebih menyeramkan selepas itu, tapak rumah itu menjadi lapang dan penuh belukar. Encik harun menjadi seram sejuk lalu dengan segera dia meninggalkan kawasan itu tanpa menoleh ke belakang lagi.

 

Zulaika masih mengejar kelibat malik yang masuk ke dalam hutan. Cahaya samar samar sudah mula kelihatan di bahagian timur. Dia melihat jam tangan.

“ tidak lama lagi pagi menjelang “ bisiknya.

Malik tahu masanya hampir tidak mencukupi. Dia sempat tiba di kawasan lelaki berjubah putih sebelum matahari terbit. Cepat cepat mereka suruh malik membaringkan diri di atas batu rata. Mereka mengambil botol itu dan menuangkan di sekeliling batu rata di tempat malik dibaringkan. Dari jauh zulaika menjadi saksi di atas segala galanya. Dia dapat melihat sekumpulan lelaki berjubah putih itu sedang menjalankan tugasnya. Salah seorang daripada mereka melihat zulaika dan memanggilnya bersama. Zulaikan seolah olah tidak percaya yang dia dapat berkomunikasi dengan orang halus.

“ awak pegang kepalanya “ beritahu mereka. Dia melihat malik sudah menutup matanya.

“ sekarang tutup mata awak dan berdoalah agar dia kembali semula ke dunia asal. Masa sudah semakin suntuk “

Zulaika hanya mengikuti arahan dan pada masa yang sama, dia mendengar suara mereka mengeluarkan satu mentera yang belum pernah dia dengari sebelum ini.

Beberapa minit kemudian, zulaika tidak ingat apa apa lagi. Fikirannya menjadi kosong. Matanya masih tertutup rapat. Kemudian dia terdengar bunyi burung berkicau riang. Angin bertiup lembut. Dia terkejut bila tangannya di pegang oleh sesuatu dan…

“ bukalah mata awak “

Zulaika segera membuka mata dan terkejut melihat malik di depannya dengan senyuman di bibir. Zulaika sungguh gembira lalu memeluk malik!

“ awak dah kembali! “ ucap zulaika. Malik hanya tersenyum kecil.

“ semuanya dah selamatkah? “ tanya zulaika

Malik hanya mengangguk.

“ roh yang terperangkap di dalam rumah itu semua sudah dibebaskan. Lembaga jahat itu sudah pun terhapus dari dunia manusia “

“ baguslah kalau begitu “ balas zulaika. Malik menoleh ke belakang bila namanya di panggil. Zulaika berasa sedikit kagum kerana sekumpulan lelaki berjubah putih itu datang ke arah malik.

“ kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi membantu kami menghapuskan roh jahat itu. jika bukan kerana awak, tentu roh jahat itu berterusan mengambil roh manusia yang tidak berdosa. Sekarang mereka sudah bebas. Jiwa mereka sudah tenang “

Malik tersenyum kecil.

“ awak berdua memang serasi. Gadis ini mempunyai kebolehan melihat benda halus seperti kami. Awak jagalah dia sebaik mungkin “

Bila mendengarkan ini zulaika menjadi tersipu sipu malu. Malik hanya tersenyum.

“ sudah pasti “ balas malik

Saya hanyalah seorang penulis bebas Dan suka membuat jalan penceritaan berbentuk fantasies Dan mitos. Sesuatu yang ditulis di luar pemikiran manusia.

Love4
Marina Bansing
Marina Bansing
Saya hanyalah seorang penulis bebas Dan suka membuat jalan penceritaan berbentuk fantasies Dan mitos. Sesuatu yang ditulis di luar pemikiran manusia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *