Wonder-Kid! Chapter 6
May 11, 2018
Dimana syakillah
May 18, 2018

Berdua Itu Lebih Baik, Tapi Solo Itu Lebih Menarik. Berdua Lebih Jimat, Tapi Solo lebih Kuat.

Views:   1,075

CJ Travelog

Pengembaraan Jalan Darat 13hb-19hb Februari 2018
Vientiane (Laos), Hua Hin (Thailand), Bangkok (Thailand), dan Siem Reap (Cambodia)

12/2/18 : SDK-KK, KK-KL

13/2/18 : KL-VTE, VTE-NK, NK-BKK

14/2/18 : BKK-HH

15/2/18 : HH

16/2/18 : HH-BKK

17/2/18 : BKK-SR

18/2/18 : SR

19/2/18 : SR-KL, KL-KK

20/2/18 : KK-SB, SB-BLRN

AMARAN! Bukan bahan bacaan ilmiah. Bukan drama dan propaganda, hanya pengalaman dikongsi cuma bagi memupuk keinginan mengembara.

Assalamualaikum dan salam kedamaian buat para pembaca. Saya ingin mencuba menulis dalam Bahasa Kebangsaan, tapi sekiranya berlaku kegelinciran bahasa tempatan Sabah harap dimaafkan wahai pembaca. Sempena 15hb Mei 2018 ini, genaplah Ulang Tahun ke-27 Puan Nurhaini Hatim melahirkan seketul Tuti Ema Yani Joseph, dengan ucapan “Ma, terima kasih sentiasa bertahan dan bersabar dengan beraneka macam perangai anakmu yang sentiasa berubah-ubah mengikut 4 musim di dunia”. Oleh itu, saya mengambil kesempatan untuk mengimbau kembali serta berkongsi pengalaman saya menjejak 3 buah negara ASEAN dalam tempoh masa 7 hari pada bulan Februari 2018 yang lalu.

Pengembaraan kali ini telah saya rancang kurang dari 5 bulan dari tarikh bermulanya pengembaraan. Tercetusnya keberanian saya mengembara adalah disebabkan oleh diri saya sendiri dan tiada sebab lain. Kemahuan dan keyakinan saya adalah kunci kejayaan misi saya kali ini.


(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
Hari Pertama

Pengembaraan saya bermula dari Sandakan, Sabah dan berakhir di Beluran, Sabah. Tanpa melengahkan masa lagi, perjalanan saya dari Sandakan bermula pada petang isnin ke Kota Kinabalu dengan menggunakan perkhidmatan Air Asia dan kemudiannya menyambung penerbangan Kuala Lumpur pada hari yang sama. Walaupun penerbangan tertunda 45 minit, namun saya telah sampai dengan jayanya. Penerbangan yang tertunda adalah salah satu perkara yang paling menakutkan semasa mengembara, apatah lagi saya sememangnya gemar meminimumkan jarak atau tempoh masa penerbangan. Jadual penerbangan saya ke Vientiane, Laos adalah pada 6.40am 13hb Februari 2018 dan saya perlu bergegas untuk membeli tiket bas dari Stesen Bas Kua Din ke Nong khai pada hari yang sama untuk menaiki keretapi terakhir Nong Khai ke Bangkok pada hari yang sama bagi mengelak sebarang kerugian masa. Setibanya saya di KLIA, saya bergegas untuk membeli bekalan makanan seperti roti, biskut dan mee segera. Setelah itu, saya mencari tempat sesuai untuk merehatkan diri. Biasanya saya akan membuat rondaan di kawasan Quizinn untuk mencari lokasi melandingkan badan kerana lokasi yang strategik dan berdekatan dengan tandas.

Hari Kedua

Seawal 4.30am saya terus bersiap kerana penerbangan awal pagi. Penerbangan saya ke Vientiane pada 6.40am dan mengambil masa 2 jam 15 minit. Tiba di Vientiane 8.20am dan terus ke balai pemeriksaan imigresen untuk mengisi arrival form. Waktu di Vientiane lewat sejam dari Malaysia dan suhu pada ketika itu 17 darjah celcius, sama sejuknya waktu musim panas saya berada di korea. Sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, saya terus menukar 50 USD ke Lao Kiep (terlebih tukar) dapat la 413,350 Lao Kiep, sepatutnya hanya 25 USD saja sebab sekadar singgah menjejakkan kaki di bumi Laos. Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Watty ke Talat Sao Market, lebih kurang 30 minit dan dikenakan tambang 7USD. Saya menggunakan perkhidmatan teksi Lapangan Terbang utnutk menjimatkan masa, sekiranya mempunyai masa yang lebih, perkhidmatan tuk-tuk turut disediakan dan lebih murah, cuma perlu berjalan kaki sedikit keluar. Pemandu teksi hanya memahami dan mampu betutur dalam Bahasa Inggeris yang asas. Sampai Talat Sao Market, saya terus membeli air mineral botol kecil berharga 2000 Lao Kiep. Selepas itu, saya bergerak ke Stesen Bas Kua Din yang berhadapan dengan Talat Sao Market untuk beli tiket bas Vientiane ke Nong khai yang berharga 15, 000 Lao Kiep pada 12.40pm. Selesai beli tiket bas, masa yang ada berbaki kurang dari 4 jam untuk di habiskan. Perkara pertama yang saya lakukan ialah ke Talat Sao Market untuk membeli keychain dan fridge magnet untuk diri sendiri, tiada ole-ole yang saya belikan untuk orang lain, bukan kedekut, tapi saya cuba untuk meminimumkan kos sara hidup di negara orang selama 7 hari. Masuk ke tandas perlu membayar 2,000 Lao Kiep. Berbekalkan peta yang tersemat dalam otak dan ehsan rakyat tempatan, saya mencuba untuk ke destinasi pertama iaitu Patuxai. Walaupun tidak fasih berbahasa inggeris namun, mereka tetap ingin membantu menunjukkan arah dengan bersungguh dengan menggunakkan Bahasa tempatan mereka. Setelah 10 minit berjalan kaki, sambil melirik kiri kanan, eh! Patuxai berjaya ditemui oleh bola-bola mata. Tiket masuk ke Patuxai ialah 300 Lao Kiep. Naik atas, bergambar, turun bawah, meronda, berehat sebentar makan biskut dan minum air, dan kemudiannya berlalu pergi. Di sini ada beberapa jurugambar yang berlegar-legar menawarkan perkhidmatan ambil gambar, dan kalau baik hati bolehlah menggunakan perkhidmatan mereka, tetapi jujur ku katakan dengan indah, ianya tidak berbaloi. Sepanjang perjalanan balik ke Stesen Bas Kua Din, banyak street food yang dijual dan tahap kehalalannya adalah sangat diragui, kebersihan apatah lagi. Lalu diri ini menguatkan hati untuk tidak mengambil risiko yang tinggi. Didapati banyak baki duit Loa Kiep. Sebelum ini saya ada baca blog dan ehsan perkongsian orang lain, yang mana mata wang Lao Kiep akan ter keep sampai bila-bila. Jadi saya mengambil keputusan untuk masuk semula ke Talat Sao Market dan mencari Money Exchange. Selesai itu, saya kemudiannya duduk sejam sambil melihat budaya masyarakat Laos yang lalu lalang dihadapan dan sekitarnya. Mereka masih menerapkan seni dan budaya mereka dalam pakaian seragam sekolah. Tepat 12.40pm saya menaiki bas dan sila pastikan departure pass diisi. Sampai aranyaprathet, kena turun untuk cop pasport. Semasa menanti giliran, sempat saya melihat sekeliling, pelbagai jenis manusia, pakaian, tiba ke giliran saya membuat pemeriksaan passport dan cop, “lady from philipina?” kata pegawai imigresen tersebut, saya hanya mampu tersenyum dan memberikan pasport saya untuk diperiksa, agak manis mulut pegawai imigresen di sini. Kemudian saya menaiki bas semula dan perjalanan diteruskan ke Nong Khai. Sampai Terminal Bas Nong Khai, turun dari bas anda pastinya akan diserbu oleh pemandu tuk-tuk. Maka dengan itu, disinilah duit saya diragut tanpa kerelaan. Sekiranya boleh diundur masa semula, namun apakan daya naluri muda remaja, mudah terpedaya dan kesian dengan sosok tua. Mula-mula dia cakap 50 bath ke Stesen Keretapi Nong Khai dan saya bersetuju namun setelah tiba ke destinasi, dia meminta 100 bath. Menyirap dan mendidih darah muda ini. Lalu saya menganggapnya sebagai sedekah amal jariah yang tertunda. Semoga tidak tertipu sekali lagi, biarlah ini kali yang terakhir. Namun kita hanya merancang tuhan juga yang menentukan apabila penipuan ini berlaku sekali lagi semasa di Hua Hin.

                                                        Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay ke Talat Sao Market

 

                                                                                                  Talat Sao Market

                                                                                                           Patuxai

 

                                          Stesen Bas Kua Din yang terletak berhadapan dengan Talat Sao Market.

 

 

                          Perjalanan dari Stesen Bas Kua Din melintasi sempadan Aran ke Nong Khai, Thailand.

 

                                Sempadan Laos dan Thailand. Pemandu tuk-tuk yang meragut kepercayaan.

 

 

 

 

 

Sejurus tiba di Stesen Keretapi Nong Khai, saya terus membeli tiket lowerbed yang berharga 989 bath pada 7.10pm. Jadi ada beberapa jam lagi untuk berlegar-legar mengumpul potret dan video. Perut sudah berdendang meminta nasi. Terdapat deretan gerai makan berhadapan lokasi ini, dan paling tidak mengejutkan apabila semua menu berasaskan khinzir comel. Oleh itu, saya mengambil keputusan ke 7Eleven yang terdekat untuk membeli simcard berharga 49 bath unlimited data untuk 7 hari. Sekali lagi menggunakan perkhidmatan tuk-tuk dengan tambang 60 bath pulang balik. Pencarian roti bermula tetapi sekali lagi hampa, semua berasakan khinzir comel. Kekuatan hati diuji apabila pekerja 7Eleven seramai 4 orang wanita dan seorang lelaki langsung tidak memahami Bahasa Inggeris. Tetapi kekecewaan tidak berpanjangan apabila ada pelanggan datang dan boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris, dan dia mengesyorkan saya untuk membeli Vegefood. Pada kali ini juga saya menguatkan hati untuk menepis segala perasaan was-was di dalam hati. Kalau was-was juga, hentak kepala di dinding. Dalam 15 minit petugas 7Eleven membantu saya mengaktifkan simkad dan akhirnya berjaya, saya terus menghubungi mama saya untuk memberitahu berita berkaitan keselamatan dan keberjayaan saya pada hari pertama di negara orang. Ini penting bagi pengembara, jangan biarkan ibu bapa risau. Selesai itu, saya ada sejam lebih lagi untuk merehatkan diri, dan mengambil keputusan untuk mandi dengan bayaran 10 bath. Suhu air mampu untuk mebuat anda menggigil. Setelah segar bugar, saya kemudianya membeli aiskrim. Beberapa orang mak cik yang diyakini bukan mak cik bawang telah membawa saya bercerita dengan yakinnya kami berkomunikasi menggunakan Bahasa ibunda masing-masing, alhamdulillah! Satu patah haram pun yang mereka katakan tidak saya fahami, tetapi yang saya yakin ialah, mereka berpesan kepada saya agar berhati-hati. Setelah itu, seorang petugas stesen keretapi pula menyapa saya. Walaupun petugas itu juga tidak mampu untuk berkomunikasi dalam Bahasa inggeris namun. Tepat pada pukul 5.00pm, lagu kebangsaan negara Thailand akan berkumandang dan semua akan berdiri tegak. Masa berlalu dengan pantas pada waktu itu, saya masuk kedalam keretapi kelas kedua. Semasa masuk ke dalam keretapi ini petugas di dalam sedang menukarkan posisi kerusi penumpang menjadi katil. Kerusi saya pada waktu saya masuk belum diubah menjadi katil, saya mengambil kesempatan itu untuk meninjau keretapi tersebut yang sememangnya menjadi salah satu pendukung utama bagi menjayakan misi menawan 3 buah negara pada kali ini. Tandas terbaik, boleh mandi dan buang air dengan selesa bagi manusia seperti saya, namun mungkin agak sukar bagi seseorang yang mempunyai ketinggian 6 kaki dan saiz badan yang agak besar. Terdapat juga café di dalam keretapi ini, namun jangan berani untuk duduk sekiranya tidak membeli sebarang minuman atau makanan. Selesai katil saya disiapkan, saya kemudiannya bercadang untuk membuat sesuatu yang gila, namun ianya terbantut apabila katil yang saya baring terlalu empuk dan berjaya membuat saya tertidur dengan lena. Keretapi ini akan berhenti disetiap stesen yang dialui.


(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});

                                                                     Suasana hadapan Stesen Keretapi Nong Khai.

 

 

 

 

 

 

                                                     Keretapi Kelas Dua Nong Khai menuju ke Hua Lamphong.

 

 

 

 

 

 

Hari Ketiga

Saya terbangun dari lena yang berkualiti pada 5.30am dan terus menguatkan semangat untuk menempuhi dugaan mandi air yang sejuk hingga ke tulang. Dalam pukul 6.00am keretapi tiba dengan selamat di Stesen Keretapi Hua Lamphong. Kemudiannya saya terus ke kaunter pertanyaan untuk bertanya di kaunter mana harus saya mendapatkan tiket keretapi ke Hua Hin, kerana saya ingin tiba di Hua Hin seawal yang boleh, namun sesampainya saya pada ketika itu, tiket awal pagi telah habis dijual dan terpaksa menunggu keretapi yang seterusnya iaitu pada pukul 9.20am. Oleh kerana saya mempunyai masa 3 jam untuk menanti keretapi yang seterusnya, saya mencari kedai makan halal yang terdapat di sini seperti yang dinyatakan dalam beberapa blog, malangnya kedai tersebut tutup dan kalaupun ianya dibuka, pastinya saya tidak akan menjamah sedikitpun kerena mereka turut menyediakan menu yang tidak halal dan jelas terpampang dalam menu yang bergantung kemas di dinding. Kaki melangkah longlai apabila kesemua kedai makan yang dilalui memaparkan menu tidak halal. Akhirnya saya mengeluarkan biskut dan menjamah dengan tangisan dalam kerinduan terhadap nasi yang menebal. Sekali lagi saya mengoogle blog dan mencari lokasi makanan halal yang terdekat, lalu saya terjumpa sebuah blog yang menyatakan ada makanan halal dijual berhadapan dengan kaunter tiket, mata saya melilau liar mencari lokasi tersebut. Kaki mendahului akal kali ini, membawa badan mencari lokasi tersebut, akhirnya kelihatan seorang wanita berhijab sedang lincah jari jemarinya menyusun kepingan waffle. Alhamdulillah! Akhirnya berjaya menemui makanan halal walaupun bukan nasi tetapi harus mensyukuri. Harga sebiji waffle 25 bath dan air mineral 10 bath.


(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});

                                                                                Stesen Keretapi Hua Lamphong

Tepat 8.00am, lagu kebangsaan bergema sekali lagi, semua berdiri termasuk pelancong asing bagi menghormati lagu kebangsaan mereka. Jam menunjukkan hampir dengan masa berlepas, saya keluar untuk mencari tren yang sepatutnya saya naiki. Akhirnya keretapi bergerak menuju ke Hua Hin, setelah menempuh pemandangan rumput-rumput seakan jagung yang agak menarik keretapi ini juga berhenti di setiap stesen untuk mengambil penumpang dan menurunkan penumpang, kadangkala 2 atau 3 orang peniaga buah-buah naik dan lalu lalang di sepanjang jalan seperti model memperagakan pakaian, saya kuatkan hati agar tidak tergoda, namun apakan daya, mangga itu berjaya menewaskan kekuatan hati ini. Harga agak murah dan berbaloi iaitu 30 bath sebiji. Apa yang lawak ialah, manga tersebut diperam bersama tebu. Apa? tebu? Ya! Tebu untuk mengurangkan rasa asam manga, walaupun begitu saya amat kecewa, kerena pada waktu itu saya cuba membayangkan ianya mempunyai rasa yang masam. Namun apalah nilai rasa jika dibandingkan dengan pembaziran, mangga itu saya habiskan dengan rakusnya. Untuk pengetahuan anda keretapi yang saya naiki ini keretapi kelas ketiga tidak mempunyai aircond dan Cuma berharga 44 bath. Hanya kipas, dan bukan semua kipas berfungsi dengan baik, terpaksa bergantung dengan udara segar. Bayangkan kesegaran apa yang anda perolehi sekiranya panas tengahari menggigit kulit. Dengan muka yang berminyak, disapa kasar lagi dengan debu, bayangkan apa kesan yang ada di tisu basah apabila menampar halus. Dalam 30 minit yang terakhir sebelum tiba ke Hua Hin, saya berjaya menegur pasangan warga negara Thailand yang boleh berbahasa Inggeris. Cuba tuan puan teka apa yang membuatkan saya ringan mulut menyapa mereka? dapat teka? tak perlu teka, ianya hanya kerana kerinduan yang teramat kepada nasi. Ya! Nasi tuan puan. Namun malangnya mereka tidak mengetahui apa erti halal. Terpaksa mengoogle sekali lagi. Akhirnya berjaya menemui beberapa lokasi kedai makan halal. Namun saya juga sempat mengambil gambar kenangan bersama pasangan ini. Akhirnya kaki saya berjaya menjejak Hua Hin, panas yang amat, selepas perjalanan yang memakan masa hampir 4 jam. Berbekalkan google map, saya berjaya menemui kedai makan halal dan yang mengejutkan, mereka fasih berbahasa Melayu tetapi ada sedikit dielek Kelantan. Akhirnya misi mencari nasi berjaya. Saya pesan nasi putih, tom yam ayam, milo sejuk, air mineral dan telur dadar dan membayar hanya 150 bath. Ku sangkakan panas hingga ke petang ruapnya hujan di tengahari. Sekali lagi saya kecewa kerana rasa tom yam nya yang tidak menepati citarasa. Namun saya tetap menghabiskan makanan tersebut.

                                                                                        Hua Lamphong ke Hua Hin

Kemudian berbekalkan google map sekali lagi saya berjaya mencari Hua Hin Euro City Hotel yang tidak jauh dari kedai makan tersebut. Setelah check in, saya meminta pertolongan dari pelayan hotel untuk mencarikan teksi ke The Venezia Hua Hin dengan bayaran 300 bath pulang balik, sesampainya teksi tersebut saya agak terkejut, kerana ianya tuk-tuk, tapi demi menjimatkan masa saya gagahi juga. Tiba di The venezia pemandu tuk-tuk membawa saya ke kaunter dengan bayaran 280 bath termasuk dengan beberapa aktiviti yang menarik. Lokasi ini sebenarnya menarik, namun kurang kunjungan orang ramai dan agak lenggang. Setelah itu pemandu tuk-tuk menghantar kembali ke hotel.

                                                                                                 The Venezia Hua Hin

Sejarah berulang kembali, disinilah kali kedua saya diragut tanpa kerelaan oleh pemandu tuk-tuk, saya dipaksa membayar dua kali ganda, saya terpaksa akur, namun agak kurang bijak apabila saya tidak meminta bantuan dengan pelayan hotel. Maka dengan itu berhati-hatilah di Thailand wahai pengembara yang lain. Malam itu saya kemudianya keluar semula dengan berbekalkan google map yang setia membantu, sehingga berjaya menemui Hua Hin Night Market. Satu perkataan untuk mengambarkan Hua Hin Night Market ialah “meriah” penuh dengan pelancong asing, pelbagai jenis jualan, dari makanan, kraftangan, pakaian dan juga perkhidmatan urutan. Saya mencuba aiskrim kelapa yang sememangnya sangat sedap! Beberapa barang lain juga saya telah beli. Makanan halal boleh di temui di Chatsila Night Market. Mula-mula saya terkejut juga, apabila gerai makanan halal bersebelahan dengan gerai makanan tidak halal. Namun kerana tiada rasa was-was saya tetap membeli kebab ayam sepasang suami isteri yang juga fasih berbahasa melayu. Melayu Patani. Akhirnya perut kenyang senang hati. Setelah penat dan berpuas hati mencuci mata, akhirnya saya menguatkan hati melalui gerai-gerai jualan pelbagai barangan yang menarik agar misi menjimatkan kos tidak terpesong jauh, langkah demi langkah akhirnya saya tiba di hotel dengan jayanya dan mula berehat.

Hari Keempat

Pada hari keempat, saya bangun dan menyiapkan diri seperti biasa untuk checkout dari hotel dan terus ke Stesen Keretapi Hua Hin untuk membeli tiket ke Bangkok yang berharga 412 bath. Kemudian saya pun mencari lokasi penyimpanan beg berbayar sepeti yang tertulis dalam blog iaitu 20 bath setiap beg. Untuk penegtahuan pembaca, pejabat penyimpanan beg ini beroperasi 24jam. Jaminan barang selamat adalah tiada. Namun saya percaya dengan ketentuan ilahi, apapun boleh terjadi semasa berpetualang. Hilang seri pengembaraan jika tiada kelompangan dan cacat celah sedikitpun. Kemudian saya telah kehabisan duit dan terpaksa mencari Money Exchange. Di sini saya diuji dengan pelbagai rintangan, hendak berputus asa, namun terus gagah menyusuri jalan-jalan berliku, salah jalan disebabkan diri sendiri boleh dimaafkan, tapi salah jalan akibat percaya orang memang amat mengecewakan. Kekecewaan demi kekecewaan akhirnya saya berjaya menemuinya. Kemudian saya berjalan mencari pemandu teksi, teksi yang ada penghawa dingin bukan tuk-tuk kerana cuaca amatlah panas. Kali ini saya bernasib baik berjumpa teksi pacuan 4 roda yang sememangnya memberikan saya pengalaman menarik yang tidak akan saya lupakan. Dengan 1,300 bath, pemandu ini menawarkan 4 tempat menarik yang sememangnya menjadi pilihan saya pada ketika itu iaitu, Santori Park, Camel Republic, Swiss sheep farm dan istana lama yang tidak dapat saya masuk kerana pakaian yang agak kurang sopan akibat terlalu jahil.  Purata kelajuan kereta ini 150km sejam. Bayangkan apa perasaan yang saya tanggung pada ketika itu. Hanya tuhan yang tahu. Setibanya saya di Santorini Park, matahari sememangnya amat kejam pada ketika itu terhadap diri ini. Yuran masuk ialah 120 bath dan pada hari itu juga saya rasa sangat bertuah kerana diberikan tiket percuma bermain gondola besar. Santorini park ini menjadi kegilaan manusia yang berangan-angan menjadi instafamous kerana pelbagai gambar menarik yang bakal anda perolehi sekiranya bijak mengambil gambar. Oleh kerana ketiadaan jurugambar professional dan berbayar seperti Rozita Che wan, gambar saya agak kurang menarik tapi saya tetap bersyukur atas ehsan orang lain dapat saya merakamkan beberapa keping gambar yang menarik. Untuk pengetahuan, Santorini Park sangat sesak dengan pengunjung, disarankan untuk mengunjunginya pada waktu awal pagi ataupun petang. Setelah mencuba gondola gergasi, saya mencuba nasib untuk mencari makanan halal kerana perut sudah terasa lapar, namun kecewa disebabkan tiada satupun makanan yang saya rasa halal dikawasan tersebut, nasib baik ada bekalan biskut.

Saya terus mengagahkan diri untuk ke lokasi seterusnya iaitu Camel Republic. Setelah sampai di sini nampaknya keadaan agak lenggang, dan ianya tidak lah terlalu menarik tetapi apa yg menarik di sini sebenarnya ialah unta, serta haiwan lain.


(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});

                                                                                         Camel Republic, Hua Hin

Setelah itu, perjalanan diteruskan lagi ke Swiss Sheep Farm yang juga dekat dengan lokasi sebelum ini. Walaupun agak panas, namun ianya langsung tidak menghampakan saya. Saya berpeluang untuk menaiki kuda sekeliling Swiss Sheep Farm di bawah sinaran matahari yang terik. Selain itu banyak gambar yang menarik yang saya perolehi di sini. Banyak lagi aktiviti menarik yang boleh dilakukan seperti 3D House dan macam-macam lagi. Terdapat juga rumah arnab bersebelahan dengan gerai makanan. Antara yang mendapat sabutan ialah kelapa muda, aiskrim dan juga minuman. Kemudian pemandu saya mempelawa saya untuk makan tenghari, namun saya ingin menghabiskan kesemua lokasi lawatan terlebih dahulu.

 

                                                                                     Swiss Sheep Farm, Hua Hin

Lokasi terakhir ialah Royal Palace. Malang sekali saya tidak dapat masuk kerana pakaian saya pada ketika itu agak sedikit jahil. Untuk pengetahuan para pembaca, terdapat deretan kedai kraftangan, gerai makanan dan banyak lagi di luar Royal Palace. Di sinilah orang tempatan mengambil kesempatan untuk menjual selendang, seluar dan pakaian bagi pelancong asing yang tidak mengikuti peraturan pakaian yang ditetapkan untuk memasuki Royal Palace. Harga agak mahal berbanding di pasar malam. Oleh kerana saya juga manusia biasa, punya naluri dan perasaan, saya memberi ruang kepada pemandu saya untuk makan tenghari, jam pada ketika itu telah menunjukkan 2.45pm. Saya hanya menjamah 2 aiskrim yang mempunyai logo halal. Gerai paling hujung adalah selalu menjadi pilihan saya, kerana selalunya menawarkan harga yang lebih murah dan kurang persaingan untuk beratur membeli makanan. Kepada pembaca yang ingin melancong ke Hua Hin bolehlah menghubungi Ms. Nisrun Sopha (0648212689), maklumat lanjut saya sertakan dihujung bahan bacaan yang tidak berapa ilmiah ini. Selesai itu, pemandu menghantar saya kembali ke Stesen Keretapi Hua Hin. Sebelum itu, beliau memberi saya peluang untuk merasai kehebatan kenderaan beliau dengan mempersembahankan satu pecutan yang mengerikan. Saya hanya mampu tepuk tangan setelah selamat dalam pemanduan beliau. Akhirnya, tiba masa untuk mencari makanan ruji iaitu nasi, kali ini saya memilih Royal Indian Hua Hin Restaurant, berjalan kaki hampir 10 minit, menyusuri jalan berliku dengan bantuan google map sekali lagi, melintasi pelbagai jenis kedai makan dan akhirnya menjumpai MCD, namun bukan itu yang saya cari. Selepas Berjaya menemui destinasi, saya dengan yakin bertanya “ada makanan halal ka sini yaw?”, kemudian dibalas senyuman penuh kebingungan daripada seorang pelayan. Saya terus melemparkan senyuman manis 10kg gula, menarik kerusi, melabuhkan punggung di kerusi empuk, lalu memilih menu wajib sepanjang pengembaraan ini, iaitu Nasi Goreng Seafood. Selesai makan, saya berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke Pantai Hua Hin. Sepanjang 10 minit berjalan kaki saya telah menemui CIMB Money Exchange dan ini peluang untuk menukar duit, kemudiannya meneruskan perjalanan sehingga berjumpa simpang tiga dan berlaku sedikit dilema dalam memilih jalan, akhirnya saya memilih untuk bertanya dengan golongan marhaen dan berjaya sampai dengan jayanya. Walau bagaimanapun, keindahan pantai Hua Hin tidak dapat mengalahkan keindahan pantai-pantai yang pernah saya jelajahi di Sabah. Selepas mengambil beberapa gambar matahari terbenam, saya kemudianya mencabar diri untuk mengikuti jalan berbeza yang saya lalui untuk kembali ke Stesen Keretapi Hua Hin.

                                                                             Perjalanan ke Royal Indian Restaurant

 

 

                                                Penemuan CIMB Money Exchange sebelum sampai ke Pantai Hua Hin

 

 

 

 

 

Semakin jauh saya jalan, semakin banyak pusat mengurut saya temui dan lebih murah daripada jangkaan saya. Selepas beberapa minit berjalan, terasa seperti sesat dan saya cuba untuk berlakon dan menipu diri bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk mengekori pasangan pelancong asing dari belakang hingga ke Chatsila Night Market. Misi berjaya dan sekali lagi makan malam di gerai kebab halal pasangan suami isteri Melayu Pattani.

                                                                                           Hua Hin Night Market

 

                                                                                                      Chatsila Market

Selesai makan, saya kembali ke Stesen Keretapi Hua Hin. Berbekalkan sepasang kaki yang panjang, saya berjaya sampai lebih awal di lokasi kemudiannya mengambil semula beg di pejabat penyimpanan beg dan alhamdulillah beg berada dalam keadaan selamat. Di kawasan stesen keretapi terdapat 7Eleven yang buka 24jam dan masih berbaki 2 jam untuk menunggu keretapi ke Bangkok. Saya pun membeli secawan kopi dan duduk minum di stesen keretapi, terdapat 3 orang petugas pada waktu itu dan saya yakin dengan kemampuan mereka menjaga ketenteraman di kawasan sekitar lalu dengan yakin dan redha serta pasrah  sekiranya berlaku apa-apa dengan beg atau diri ini, lalu membayar 15 bath untuk mandi di tandas awam.


(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});

                                                                                           Stesen Keretapi Hua Hin

 

Hari Kelima

Ingatkan kapal terbang saja ada delay, rupanya keretapi pun ada, delay 40 minit, dan akhirnya penantian berakhir apabila keretapi kelas kedua tiba. Perkara ajaib berlaku apabila duduk sahaja ditempat yang sebenar, selimut diedarkan, mata tiba-tiba membasahi pipi dan dalam hati berkata “aku mau pulang, uwaaaa!”, lepas tu tertidur secara automatic dan tersedar apabila tiba sekali lagi di Stesen Keretapi Hua Lamphong pada 6.30am.

          Stesen Keretapi Hua Lamphong. Terdapat juga tandas yang selesa dan bilik penyimpanan beg berbayar.

Seterusnya, saya mengambil masa sejam duduk termenung melihat peta dan itinerary yang telah saya reka dan hasilkan secara berkala serta diubahsuai bersumberkan blog pengembara lain. Apa yang ditakutkan akhirnya berlaku, hati mudah sayu mengenang masakan mama di rumah, rasa tidak kuat untuk meneruskan perjalanan. Untuk pengetahuan, dalam perancangan sepatutnya saya akan meneruskan perjalanan menaiki keretapi ke aranyaprathet, kemudian menaiki bas ke Siem Reap, namun saya telah mengubah keputusan disaat-saat akhir. Setelah berjaya mengumpul tenaga dan keyakinan, akhirnya saya mengambil keputusan untuk bertanya kepada pengawal tempat menunggu bas ke Pratunam, saya menaiki bas bernombor 73 dan tambang hanya 13 bath. Setiba di Pratunam, saya mencari kedai makan halal untuk memesan makanan termurah di kedai tersebut, segelas Indian Teh dan roti kosong bernilai 75 bath. Mula meneruskan pengembaraan meninjau Pratunam Market dan disini saya gagal menahan nafsu untuk membeli pakaian. Tapi serius saya katakan, Pratunam Market ini adalah syurga membeli belah. Awasi ibu, isteri atau kakak anda sekiranya anda tidak ingin terperangkap selama berjam-jam di sini.

                                                                     Pratunam Market ke Terminal Bas Mo Chit

 

Kali ini kemalasan menggoogle dan lebih suka dan senang bertanya dengan orang tempatan bas bernombor apa yang perlu saya naiki sekiranya ingin ke Terminal Bas Mo Chit. Saya menaiki bas bernombor 77 dengan tambang 15 bath. Sememangnya pemandu di Thailand, betul-betul mengejar masa, bas yang saya naiki seolah-oleh dikejar oleh zombie! Saya sangat beruntung, disaat semangat pandai hilang haluan, Allah turunkan bantuan berupa seorang gadis tempatan yang boleh bertutur Bahasa Inggeris. Alhamdullilah, saya turun di lokasi yang betul bersama dia di Mo chit Bus station. Ruapanya sepanjang saya dan gadis tempatan itu berbual, sepasang pasangan yang hangat bercinta mendengar pebualan kami, mereka akan ke Hua Hin dan mereka sempat meminta tips semasa saya berada di Hua Hin. Tanpa membuang masa, saya menuju ke kaunter tiket untuk membeli tiket Bangkok-Seam Reap untuk hari yang sama, namun kekecewaan menyapa semula, tiket telah habis dijual dan terpaksalah saya bermalam sekali lagi di bumi Thailand. Lebih kurang 30 minit saya duduk berfikir dan bertanya dengan petugas di kaunter sekiranya ada jalan lain untuk saya ke Siem Reap pada hari itu juga, namun hampa bila jawapan mereka semua tetap sama. Akhirnya keputusan dibuat dan tiket dibeli untuk perjalan keesokan hari dan tambang bas 750 bath. Kemudian saya terpaksa untuk menggunakan khidmat booking.com untuk penginapan malam itu. Saya memilih Adventure Hostel dengan kos 350 bath semalam, berkongsi bilik dengan pelancong yang lain. Setelah itu saya mengunakan perkhidmatan grab ke Chatuchak Market dengan kadar bayaran 88 bath. Kenapa chatuchak? Dan bukan Adventure Hostel?, kerana saya ingatkan dari Chatuchak Market sangat dekat untuk berjalan kaki ke Adventure Hostel, malangnya tidak. Saya terpaksa melintas jalan raya yang sesak dengan kenderaan yang sangat laju akibat dikejar zombi, berjalan sejauh lebih 1KM dengan matahari sejengkal sahaja dari kepala. Masyallah baru dunia, belum akhirat. Selepas hampir 20 minit akhirnya tiba di Adventure Hostel dan mendapatkan kunci bilik, mendaratkan badan yang hampir rentung di bumi Thailand. Rancangan saya untuk makan tenghari di Chatuchak Market pada 4.00pm selepas tidur 3 jam, tetapi yang peliknya bilik tersebut ada 10 katil dorm, double dacker tetapi sejak tidur dan sehingga bangun, langsung tiada kelibat manusia. Untuk pengetahuan BTS Saphan Khwai betul-betul berada di hadapan pintu masuk Adventure Hostel.

                                                                                         Adventure Hostel, Bangkok.

 

 

 

Sekali lagi dengan menggunakan perkhidmatan grab saya ke Chatuchak Market dengan 160 bath. Setiba di sana saya mencari kedai akan halal seperti yang ada dalam blog, namun hampa apabila dikatakan oleh peniaga pakaian bahawa kedai tersebut tutup. Namun ada seorang makcik berhijab datang menyapa “Halal Food?”, apalagi dengan bersemangat saya mengangguk laju. Lalu makcik tersebut menghantar saya ke sebuah gerai makan Kah Jak. Saya memesan Nasi Goreng Seafood dan air mineral dengan kos 150 bath.

                                                                                   Kedai Makan Kah Jak, Chatuchak

Selesai makan, saya keluar untuk menghabiskan baki duit bath. Dari petang hingga ke malam dan memang tidak akan habis menjelajah, rasanya beg sudah penuh, beg plastik kiri dan kanan. Langsung tiada beza dengan makcik yang datang memborong, terpaksa membeli beg untuk dimuatkan barangan yang dipancing menggunakan bath. Semangat saya sememangnya tidak kuat berdepan dengan jualan murah seperti ini. Akhirnya saya menggambil keputusan makan di kedai yang sama sebelum balik ke hostel.

                                                                                                        Chatuchak Market

Oleh kerana bajet telah lari bertempiaran akibat membeli belah tanpa ingat dunia, saya mengambil keputusan untuk sekali lagi berjalan kaki kembali ke hostel. Jangan tiru aksi saya sekiranya anda tidak yakin, kerana jalan yang dilalui sangat bahaya tanpa lampu jalan, lorong sempit dan juga kenderaan yang dikejar zombi. Setiba di hostel, saya mengemas beg saya sedia agar pada esoknya tidak sampalau. Setelah lena diulit mimpi, saya dikejutkan dengan seorang pelancong eropah masuk tiba-tiba dalam bilik. Saya terlupa bahawa bilik itu bukan kepunyaan mutlak saya. Semakin lama, semakin ramai yang masuk dalam bilik ini dan masing-masing rupanya mempunyai penyakit membawa plastik kiri dan kanan. Saya mengambil kesempatan untuk memeriahkan suasana dengan bersembang bersama beberapa pelancong lain. Macam ayam dan itik semuanya.

Hari Keenam

Saya bangun bersiap untuk ke Terminal Bas Mo Chit dengan perkhidmatan grab 130 bath. Checkout sebelum 8.00am hanya perlu meletakkan kunci di kaunter dan tanpa deposit. Saya nasihatkan agar memilih tempat duduk di belakang pemandu bas dari Bangkok ke Seam Reap agar dapat melihat pemandangan di hadapan, kiri dan kanan dengan mudah. Dalam bas ini disediakan makanan ringan seperti kek span dan sebotol air mineral. Bas akan berhenti sebentar di untuk memberi peluang penumpang membeli makanan atau ke tandas. Selepas 15 minit konduktor bas akan memanggil semua penumpang untuk naik, yang agak lawak apabila dua orang warga Filipina hampir ditinggalkan, apalagi mengamuklah dua orang gadis dan hampir menangis, habis basah telinga konduktor bas dicuci menggunakan Bahasa Tagalog. Bas meneruskan perjalanan dan berhenti di sempadan aranyaprathet dan pastikan jangan ambil gambar semasa berada dalam pemeriksaan pasport. Bas akan menunggu di hadapan, petugas bus akan memastikan semua penumpang ada baru meneruskan perjalanan. Pejalanan terasa semakin lama dan jiwa berantakan sehingga tertidur. Sekali lagi bas berhenti untuk penerangan dari jejaka kacak yang fasih berbahasa inggeris namun berpelat Thailand, dan pembahagian pas lawatan untuk digantung dileher bagi memudahkan konduktor bas mengenali kami selepas turun ke Sempadan Poipet sekali lagi untuk mendapatkan cop pasport. Makanan tengahari juga diberikan secara percuma, nasi goreng kosong tapi enak dimakan, tanpa rasa was-was makan barulah selamat dunia akhirat. Kami pun turun dari bas setelah sampai di sempadan dan bergerak beramai-ramai, tapi saya dengan yakinnya bersemangat mendahului semua penumpang berbekalkan sepasang kaki yang sado. Saya membayangkan saya sedang beraksi dalam Explore Race Asia dimana pencabar terdekat saya dua orang gadis Filipina yang hampir ditinggalkan bas tadi dan 4 orang jejaka eropah yang mempunyai haruman ketiak yang menyengat. Akhirnya saya menemui satu klu iaitu kasino yang terkenal di Sempadan Poipet. Saya bergerak terus mara kehadapan meninggalkan pencabar terdekat saya, namun 4 jejaka eropah itu ketinggalan jauh apabila menerima lencongan disebabkan perlu mengesahkan visa, kuasa wanita tiba dengan bahagia destinasi akhir sebelum meneruskan perjalanan ke Siem Reap. Saya sedia maklum dengan keadaan pejabat imigresen Poipet yang kecil melalui blog-blog lain, namun anggapan saya meleset apabila masuk kedalam seperti sebuah pondok usang yang kecil. Arrival form perlu diisi dan disini jugalah saya telah diperas ugut oleh dua orang pegawai imigresen yang meminta saya mebayar 4 USD tanpa alasan. Oleh kerana saya sudah mengetahui perangai mereka melalui perkongsian pengembara lain, saya pun mula berlakon, dengan mengatakan saya tidak mepunyai duit lagi dengan mimik muka yang membolehkan mereka turut mengalirkan air mata. Namun mereka tetap tidak berputus asa, saya juga semakin bersemangat berlakon dengan meninggikan suara agar orang lain mendengar rintihan saya “I HAVE NO MONEY!” dengan tambahan sedikit kesan suara yang merintih sayu, akhirnya semua mata memandang diri ini, dan dua orang pegawai itu membenarkan saya berlalu pergi sebelum rusuhan berlaku. Saya merupakan orang pertama yang naik ke bas, dan juga menjadi saksi bagaimana ramai penumpang yang melanggar cermin sisi bas, dan ini sangat mengihurkan tatkala melihat mereka juga turut ketawa apabila melihat saya ketawa. Namun disini jugalah saya menjadi saksi bagaimana 4 jejaka eropah tadi telah diragut lebih dari 4USD seorang dan salah seorang dari mereka memang tidak mempunyai duit baki dalam dompet, muka mereka seperti cicak berak tahi. Ada sedikit kesimpulan disini, jangan takut untuk mengembara sebagai seorang wanita, tidak semestinya wanita sentiasa menjadi mangsa. Baiklah saya teruskan kisah pengembaraan ini, perjalanan bas diteruskan ke Siem Reap dan sepertinya arah laluan jalan sudah berbeza, jalan kampung tetapi berturap dan tiada garisan pembahagi jalan langsung, boleh memotong sesuaka hati dari mana-mana arah.


(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});

                                Makanan yang disediakan secara percuma kepada penumpang bas ke Siem Reap

 

 

 

 

                                                                                    Sempadan Poipet menuju ke Siem Reap

Akhirnya tiba di Siem Reap, dan saya telah disapa dengan beberapa orang pemandu tuk-tuk, walau bagaimanapun tuk-tuk yang telah saya pesan sejak sebulan yang lalu tidak dapat saya hubungi, saya terpaksa menggunakan perkidmatan tuk-tuk lain ke bandar terlebih dahulu untuk membeli simkad bagi membolehkan saya menghubungi tuk-tuk saya dengan tambang 4USD pulang balik. Sebenarnya saya telah berhubung dengan pemandu tuk-tuk saya sebelum perjalanan dari Bangkok, namun perbualan terputus apabila memasuki sempadan Cambodia. Setelah itu saya menghubungi tuk-tuk saya. Perkhidmatan tuk-tuk ini saya temui melalui Facebook iaitu Kassim Tuk-Tuk, boleh berbahasa Malaysia kerana pernah berkerja di Kuala Lumpur beberapa tahun, seorang muslim dan kemudiannya dia membawa ke kedai makan halal iaitu Wau Authentic Malaysian & Cambodian Cuisine. Makanan di sini sangat murah dan berbaloi. Kemudian Kassim hantar ke Garden House Guesthouse. Saya tidak syorkan bagi yang datang membawa keluarga, kerana lokasi yang agak jauh dari pusat. Sesuai untuk yang sedang berjimat cermat. Apa yang menyedihkan, mereka tidak fasih berbahasa inggeris walaupun peramah. Sampai di bilik, saya makan dan mengumpul tenaga untuk pengembaraan seterusnya keesokan hari. Perjanjian diantara saya dan Kassim telah terjalin dan bersetuju untuk memulakan perjalanan ke Angkor wat seawal 4.30am.

                                                                       Wau Authentic Malaysian & Cambodian Cuisine

Hari ketujuh

Tepat 4.30am saya sudah terpacak didepan menanti Kassim. Masa bukan emas, masa lebih bernilai dari emas. Salah satu kunci kejayaan seorang manusia ialah menepati masa. Menunggu dan ditunggu adalah satu perkara aneh dalam hidup saya. Ingatkan 4.30am tu awal la sudah, rupanya seawal 3.30am lagi telah berpusu-pusu tuk-tuk memecut membawa pelancong asing yang sememangnya bertujuan ke Angkor Wat. Untukuk pengetahuan pembaca, tempat membeli pas masuk Angkor Wat dan Angkor wat bukan tempat yang sama. Terdapat beberapa jenis pass, ada yang untuk sehari sehingga pas masuk untuk seminggu kerana Angkor wat ini sangat banyak dan sehari memang tidak akan cukup untuk menjelajahi kesemuanya. Saya membeli pas sehari kerana memang hanya ingin sehari sahaja. Lokasi pertama ialah di Angkor wat, keadaan sangat gelap, matahri belum memunculkan diri, semua pelawat bergerak dengan bantuan lampu. Walaupun sampai awal, namun lautan manusia telah memenuhi lokasi strategik untuk mengambil gambar Angkor Wat di hadapan tasik yang dipenuhi bunga teratai. Dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan lautan manusia yang saya anggap lebih pelik daripada mengambil gambar Angkor wat yang tidak akan sempurna kerana kepala-kepala makhluk lain pastinya akan mencuri dan mencacatkan gambar tersebut. Selesai turun naik, keluar masuk Angkor Wat sambil menjadi jurugambar kepada pelancong asing, saya memutuskan untuk beredar. Ternyata dalam pengembaraan sikap tolong menolong adalah penting, lagi-lagi apabila anda bergerak secara solo, anda perlu banyak membantu orang lain, agar orang lain pun membantu anda dengan ikhlas.

                                                                                                            Angkor Wat

                                  Pendakian yang amat mencabar kerana anak tangga yang terlalu kecil dan curam.

Bergerak ke luar meniti jalan yang terapung diatas air, saya mencari Kassim, Kassim nampaknya senang lena diulit mimpi di tuk-tuk beliau. Saya kemudiannya mengejutkan beliau dari terus dibawa arus mimpi yang tidak pasti. Kassim kemudiannya membawa saya ke sebuah restoran yang mana pelayannya fasih berbahasa Malaysia, iaitu Angkor Halal Restaurant, saya memesan Nasi Lemak dan Nescafe dengan 3.75USD agak mahal. Kassim yang sememangnya meminati lagu melayu, memasang lagu Ella dengan yakinnya di tuk-tuk, seolah-olah kelab malam. Walaupun begitu, saya tetap terhibur, rasa sedih dan sayu kerinduaan kampung halaman kian hilang.

                                                                                          Angkor Halal Restaurant

Perjalanan diteruskan lagi sehingga tiba di Angkor Thom. Ya ampun, ini apakah? Lautan manusia memenuhi ruangan sehingga terpaksa berjalan bahu berlanggar bahu. Gambar menarik sudah pasti sukar untuk diambil. Kekecewaan saya semakin terserlah apabila sampai ke atas, kebanjiran pelancong asing yang lagi dasyat. Saya mengambil keputusan untuk turun dan mengambil gambar di bawah. Terdapat sekumpulan anak muda memakai pakaian tradisi dan perkhidmatan bergambar bersama mereka dengan bayaran bukan percuma. Kemudian Kassim membawa tuk-tuk ke lokasi terakhir di Angkor Wat iaitu Ta Prohm yang terkenal dengan filem antarabangsa yang dilakonkan oleh Angelina Jolie.

                                                                          Angkor Thom yang dipenuhi lautan manusia.

 

 

 

 

 

 

 

                       Ta Prohm yang sedang menjalani pemulihan bangunan akibat runtuhan bangunan lama.

Setelah selesai melawat ketiga-tiga Angkor, Kassim meneruskan perjalanan mengikut arahan saya yang sentiasa berubah-ubah mengikut mood. Inilah yang seronoknya apabila menggembara tanpa gangguan makhluk lain yang tidak sekepala. Seterusnya Kassim mebawa saya ke Killing Field, Cambodia Historical Photo Museum, Artisan DÁngkor yang bagi saya kurang menarik dan langsung tidak dapat menarik perhatian saya.


(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});

                                                              Killing Field dan Cambodia Historical Photo Museum

                                                                                                    Artisan DÁngkor

Setelah penat menjelajah, Kassim menghantar saya ke kedai akan paling terkenal dengan kambing naik bukit iaitu Muslim Family Kitchen. Masalahnya saya bukan pengemar daging dan seperti biasa menu yang sama dan sayur campur sekali Nescafe ais. Ada seorang jejaka bersebelahan meja memesan kambing naik bukit, dan alangkah terkejutnya saya portion menu yang tiba di meja beliau sangat banyak dan sesuai untuk 2-4 orang. Selesai makan, saya menghubungi Kassim untuk menghantar saya kembali ke penginapan untuk berehat dan meminta beliau untuk mengambil saya pada 7.00am.

                                                                            Muslim Family Kitchen Restaurant

Setelah puas tidur beberapa jam, akhirnya saya mendapat tenaga semula untuk ke Pubstreet Market dan Night Market. Godaan demi godaan, saya sangat lemah sekiranya melintasi barangan yang indah dimata ini. Akhirnya sejarah berulang kembali berkali-kali, barangan penuh di tangan kiri dan kanan. Pelbagai pakaian menarik yang telah saya temui. Di sini sangat meriah dengan pelancong asing yang gemarkan keseronokan dan apa yang menarik minat mereka berkunjung di sini adalah harga minuman alkohol yang sangat murah. Akhirnya tiba masa untuk makan, namun kekecewaan menyapa untuk kesekian kali, kerana kedai makanan halal kegemaran saya telah tutup, maka terpaksalah makan di Khmer Chef Restaurant. Menu seperti biasa, tetapi saya tetap ingin menulis, Nasi Goreng Seafood serta air mineral dengan bayaran 5.25USD. Selesai makan, saya meminta Kassim untuk menghantar semula ke penginapan dan memesan Kassim untuk menghantar saya ke lapangan terbang seawal 5.30am kerana saya inginkan susasana perjalanan yang lancar dan tidak kelam kabut walaupun jadual penerbangan saya pada 8.35am.

                                                                                       Pub Street dan Night Market

Hari kelapan

Saya checkout hotel dan Kassim datang awal kali ini, bersedia untuk berkhidmat buat kali terakhir. Saya sempat memberikan Kassim ole-ole yang saya bawa dari kampung halaman dan nampaknya Kassim sangat gembira. Saya langsung teruja kerana mampu buat Kassim tersenyum lebar. Saya masuk ke dalam untuk mencari Luggage Wrapping Service dengan bayaran 3USD. Urusan berjalan lancar dan saya telah dihiburkan sementara menanti penerbangan berlepas oleh seorang kanak-kanak eropah yang dibiarkan oleh ibu bapanya melambai penuh keyakinan kepada semua yang sedang berbaris check in. Tiba masanya untuk pulang ke kampung halaman yang indah dan permai. Tiada berlaku sebarang kesesakan lalu lintas di atas awan, bahkan jalan juga berturap, langsung tiada lubang jalan. Tepat 11.45am, saya tiba di KLIA dan menanti penerbangan saya ke Kota Kinabalu pada 3.50pm. Setibanya saya di Kota Kinabalu, saya disambut oleh dua orang rakan yang sudi menjaga rahsia pengembaraan saya ini.

                                                           Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, Cambodia.

Kemudian perjalanan kembali ke Beluran menaiki Bas Salam bumiMas pada 9.00pm dengan kadar tambang RM40. Akhirnya saya tiba dengan selamat di Beluran pada 2.00am.  Misi kali ini berjaya dan saya berharap Misi Negara ASEAN mampu saya kecapi dalam masa terdekat ini. Berikut saya sertakan juga kos kerugian sepanjang pengembaraan saya yang tidak seberapa ini.

KOS KERUGIAN

  1. Tiket Penerbangan (Setia bersama Air Asia, Syarikat Penerbangan Tambang Murah terbaik di Dunia)

SDK-KK RM59

KK-KL RM179

KL-VTE RM199

SR-KL RM352

KL-KK RM261

Jumlah: RM1,050

Kos tiket penerbangan berkemungkinan akan memeranjatkan anak mata kalian kerana agak mahal, hal ini kerana saya beli tiket mengikut tarikh yang saya pilih dan bukan beli semasa berlangsungnya promosi. Sepanjang penerbangan saya pada kali ini, cuping telinga saya ditiup halus dengan bait-bait lagu “baby, baby can u see, U and I were meant to be, sayangggg”.

  1. Penginapan

Hari Pertama: Lantai KLIA tingkat 3 (Percuma)

Hari Kedua: Keretapi Kelas Kedua (tambang pengangkutan sahaja)

Hari Ketiga: Hua Hin Euro City Hotel (490 Bath)

Hari Keempat: Stesen Keretapi Hua Hin (Percuma)

Hari Kelima: Adventure Hotel (350 Bath)

Hari Keenam dan ketujuh: Garden House Guesthouse (16 USD)

Jumlah: RM170++

Sepanjang saya menceburi bidang mengembara beberapa tahun yang lalu, saya telah jatuh cinta dengan aplikasi booking.com, dan ianya tidak pernah mengecewakan saya. Pastikan semasa menempah penginapan, review dari pelanggan dan komen berkaitan penginapan dibaca dengan baik. Untuk memastikan tidak berlaku kekecewaan.

  1. Pengangkutan

Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay – Talat Sao Market (7 USD)

Stesen Bas Kua Din – Stesen Bas Nong Khai (100 Bath)

Stesen Bas Nong Khai – Stesen Keretapi Nong Khai (100 Bath)

Stesen Keretapi Nong Khai -7 Eleven (60Bath)

Stesen Keretapi Nong Khai – Stesen Kereatapi Hua Lamphong (998 Bath)

Stesen Kereatapi Hua Lamphong – Stesen Kereatapi Hua Hin (44 Bath)

Hua Hin Euro City Hotel – The Venezia (600 Bath)

Tuk-Tuk & Taxi Service  MS NIsrun Sopha (1,300 Bath)

Stesen Kereatapi Hua Hin – Stesen Kereatapi Hua Lamphong (412 Bath)

Stesen Kereatapi Hua Lamphong – Pratunam (13 Bath)

Pratunam- Terminal Bas Mo Chit (44 Bath)

Terminal Bas Mo Chit – Chatuchak Market (88 Bath)

Adventure Hostel – Chatuchak Market (106 Bath)

Adventure Hostel – Terminal Bas Mo Chit (130Bath)

Terminal Bas Mo Chit – Siem Reap (750 Bath)

Siem Reap Natakhan Bus Station – Siem Reap City (4USD)

Kassim Tuk-Tuk (13 USD)

Garden House Guesthouse – Lapangan Terbang Angkor-Siem Reap (5USD)

LApangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu – Terminal Bas Inanam (Percuma dan atas ehsan Cik Cina dan Cik Tasha)

Terminal Bas inanam – Simpang beluran (RM40)

Simpang Beluran-Taman Perumahan Beluran (Percuma atas dasar sayang anak dari Osep)

Jumlah: RM846++

  1. Makanan

Bekalan makanan dari Malaysia

Nong Khai: Nasi Vege 7Eleven (29Bath)

Bangkok: Kiosk Waffle (60 Bath)

Hua Hin: Hua Hin Muslim Food (150 Bath)

Royal Indian Hua Hin Restaurant (150 Bath)

Bangkok: Maedah Restaurant (125 Bath)

Siem Reap: Wau Restaurant (4.50USD)

Angkor Halal restaurant (3.75USD)

Muslim Family Kithcheb (4.50USD)

Khmer Chef (5.30USD)

Lain-lain (15USD)

Jumlah: Anggaran RM200

Makanan halal agak sukar ditemui namun rasa lapar itu sudah pernah dialami berkali-kali, apalah sangat jika dibandingkan dengan rasa lapar yang datang cuma seketika.

  1. Tiket Lawatan

Patuxai (3,000 Kiep)

The Venezia (280 Bath)

Santorini Park (150 Bath)

Swiss Sheep Park (120 Bath)

Camel Republic (150 Bath)

Angkor Wat (37 USD)

Jumlah: RM234

Banyak lagi tempat menarik sebenarnya yang mampu anda kunjungi, namun pengembaraan saya lebih bersifat santai dan saya akan memilih hanya beberapa lokasi menarik sahaja, selebihnya akan berubah-ubah mengikut kemahuan diri.

  1. Kecemasan

RM500 (tidak disentuh)

Saya aktifkan Kad ATM Maybank saya selama 7 hari (sebarang kemungkinan)

Jumlah kerugian yang ditanggung untuk pegembaraan pada kali ini ialah RM2,500.

Semoga secebis perkongsian pengalaman ini mampu menyumbangkan sesuatu yang positif dan bermanfaat kepada para pembaca yang sudi meluangkan masa untuk membaca. Sebarang kekurangan dalam penulisan pertama pengalaman saya, harap dimaafkan. Sebarang komen dan penambahbaikan juga akan diterima dengan hati terbuka. Penulisan ini juga diharap mampu untuk sedikit sebanyak membantu misi pengembaraan pembaca lain. Akhir sekali, jutaan terima kasih kepada insan-insan yang sudi menjadi watak sampingan, terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pengembaraan saya pada kali ini. Tanpa anda yang banyak membantu apalah erti kejayaan misi pengembaraan ini. Jumpa lagi di perkongsian pengalaman pengembaraan seterusnya.

 

Salam Kasih Sayang Dari Wanita Kuat Berjalan.

Chill Joseph.

Sabahan Traveler

Love4
Chill Joseph
Chill Joseph
Sabahan Traveler

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *