Santau
April 18, 2018
Kaklong, Kita Lari Sama-Samalah
April 19, 2018

BILIK 203

Views:   1,750

Nama aku Hanni.. kisah yang akan aku ceritakan ini telah lama berlaku ketika aku masih lagi belajar di sebuah intitusi awam yang terletak di Pulau Pinang. Ketika itu aku berumur 18 tahun dan pelajar sem pertama di institusi tersebut.

Kisah ini berlaku di bangunan pelajar perempuan. Untuk pengetahuan korang, blok yang diduduki oleh kami berhadapan dengan blok pelajar lelaki dan blok kami berbentuk empat segi jadi kalau korang nak ke bilik kawan-kawan yang lain korang just jalan saja dan setiap sudut blok mempunyai tangga untuk ke tingkat atas.

Hanya dua tingkat sahaja yang digunakan manakala yang lain ditutup kerana kekurangan pelajar di institusi tersebut. Ok tamat mukadimah aku.

Pada awal kemasukan segala-galanya baik-baik sahaja sehinggalah pada suatu hari aku dan rakan baik aku yang lagi dua orang memberanikan diri naik ke tingkat atas pada waktu petang yang hampir ke maghrib. Motif kami hanya suka-suka untuk melihat keadaan tingkat atas yang kami dengar daripada mulut senior kami sebagai berhantu.


(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
Pelajar sebenarnya tidak dibenarkan naik ke atas kononnya siapa naik tak akan ada jalan pulang tetapi biasalah kami ketika itu masih lagi tidak matang dan rasa ingin tahu semakin membuak-buak.

Apa yang kami dengar daripada mulut senior adalah di tingkat atas itulah permulaan di mana terjadinya kes-kes menakutkan di blok tersebut. Kata mereka, beberapa tahun yang lepas, di salah sebuah bilik di tingkat tersebut, beberapa pelajar perempuan india telah bermain permainan Spirit Of The Coin yang kita tahu adalah permainan yang menyeru makhluk ghaib. Lebih parah lagi apabila permainan itu menggunakan darah kerbau yang siapa pun tidak tahu dimana mereka mendapatkan darah tersebut.

Saat bermain salah seorang daripada pelajar tersebut telah mengalami histeria menyebabkan keadaan menjadi kacau dan mereka terlupa menghantar makhluk itu kembali ke tempatnya. Jadi daripada situlah bermulanya kisah-kisah terjumpanya makhluk yang tak diundang.

Aku dan dua lagi rakan aku naik ke tingkat atas. Lagak kami betul-betul seperti pencuri. Walaupun keadaan agak gelap, tetapi cahaya terang daripada matahari yang akan terbenam agak membantu kami.

Lantai kelihatan kotor dan berminyak manakala keadaan dinding nampak berdaki dan diconteng-conteng. Bau di tingkat itu juga agak kurang menyenangkan.

“Nombor berapa bilik tu ek?” Soal Emma rakan sebilik aku.

“Seingat aku diorang kata bilik 203..bilik hujung sekali..” ujar Ija sambil menunjukkan ke arah bilik yang hujung betul-betul di tepi tandas. Aku menelan liur. Segala apa yang aku bayangkan di dalam fikiran aku cuba lenyapkan.

“Jom..” ajak Emma. Aku dan Ija mengangguk.

Kami bertiga berjalan perlahan-lahan menuju ke bilik yang disebutkan. Tertulis perkataan 203 pada penanda pintu bilik. Ija cuba memegang tombol pintu tetapi cepat-cepat dihalang aku.

“Nak buka ke? Bukan kita nak tengok saja ke? Jomlah balik..aku dah rasa lain macam ni..” tangannya yang hampir menyentuh tombol aku pegang.

Ija merentap tangannya perlahan. Dia ketawa kecil.

“Relaxlah….tak ada apa pun..takkan kau datang ‘sejauh’ ni hanya untuk tengok nombor bilik saja..” ujarnya.

Emma mengangguk. Aku akhirnya mengalah. Tombol pintu dipulas Ija. Bunyi selak pintu yang tidak digris dengan minyak menganggu pendengaran aku. Pintu bilik yang tidak berkunci itu akhirnya terbuka luas. Perlahan-lahan kami bertiga menapak ke dalam.

Ija mengeluh. Hanya kelihatan katil, meja belajar dan locker sahaja. Sama seperti bilik di tingkat bawah.

“Tak ada apa-apa pun..aku dah agak semua benda ni tipu saja..diorang tak nak kita naik ke atas sebab tu diorang reka cerita bodoh ni..” Ija menggumam perlahan.

Aku cuba menegur Ija disebabkan mulut celuparnya itu tetapi secara tiba-tiba bunyi suara seperti berbisik mengejutkan kami bertiga. Suara tersebut perlahan dan sayup seperti seseorang sedang membaca mantera dalam bahasa yang tidak difahami serta tidak jelas.

Kami bertiga serentak menoleh ke belakang apabila kelihatan sebuah tanduk besar yang kami agak itulah adalah tanduk kerbau disebabkan warnanya yang hitam. Apa yang lebih menggerunkan adalah kelihatan darah menitis pada hujung tanduk yang tajam lalu menitik ke atas lantai. Keadaan bilik mula bertukar menjadi lebih suram dan gelap manakala di atas lantai mula menjadi kehitaman dan berdaki. Darah yang menitik bertukar mengalir sehingga air hanyir berwarna merah kehitaman itu mula membasahi lantai.

Ija kelihatan terkedu dan kaku. Matanya terbeliak. Aku dan Emma cepat-cepat menarik Ija keluar daripada bilik tersebut. Suara membaca mantera itu masih lagi kedengaran.

Baru sahaja ingin berlari pergi, langkah kami serentak terhenti. Nun jauh di hadapan kami kini berdiri seorang perempuan berpakaian seperti pakaian tradisi Thailand dengan sebuah mahkota berwarna emas di atas kepalanya yang aku tahu itu ialah Chada Crown. Di bahagian jari perempuan cantik tersebut kelihatan kuku panjang berwarna emas yang agak menakutkan.

Badan perempuan tersebut mula bergerak seperti menari sambil tangannya meliang liuk seperti mengikuti satu rentak ghaib yang hanya dia yang mendengarnya. Aku serta Emma cuba menarik Ija pergi tetapi kaki kami pula terasa seperti dipaku ke lantai dan dipaksa melihat sesuatu yang tidak sepatutnya dilihat.

Tiba-tiba perempuan tersebut berhenti menari. Matanya tepat memandang ke hadapan. Wajahnya yang cantik terus berubah ke wajah yang amat buruk sekali. Perlahan-lahan dia turun ke bawah dengan kedua-dua belah tapak tangan bertemu lantai manakala kakinya pula dikangkangkan. Kepalanya disengetkan dan perempuan tersebut mula menyeringai. Dia mula menapak dalam posisi tersebut ke arah mereka bertiga sambil mulutnya terbuka mengeluarkan darah yang amat banyak.

Ketika itulah aku terasa badan aku semakin ringan. Cepat-cepat aku dan Emma menarik Ija dan cuba turun mengikuti tangga di sebelah bilik tersebut. Sekali lagi kami terkedu apabila tangga yang sepatutnya ada di situ kini digantikan dengan dinding. Perempuan tadi masih lagi merangkak dengan cara menakutkan ke arah kami. Mulutnya semakin luas ternganga sambil mata yang hampir tersembul.

Aku menarik mereka berdua ke tepi dinding. Emma mula menangis sambil mengenggam tangan aku manakala Ija masih beriak seperti asal dengan mata yang terbelalak dan mulut yang ternganga.

“Ya Allah..Ya Allah..bantu hamba-Mu ini Ya Allah..tolong kami Ya Allah..” aku mula menyesal. Aku berharap sangat yang kami akan jumpa jalan pulang.

Aku meminta Emma memejamkan matanya dan aku juga turut berbuat seperti itu. Bunyi seperti tin yang diseret-seret semakin mendekat dan semakin kuatlah genggaman Emma pada tangan aku.

Allah.. bantu aku Ya Allah..

***

Suara azan berkumandang mengejutkan aku. Mata aku serta merta terbuka luas. Cepat-cepat aku bangun dan memandang sekeliling.

Kelihatan ramai pelajar perempuan berkumpul di sekeliling aku. Emma dan Ija juga berada di situ. Keadaan kedengaran sangat bingit dan bising. Mereka semua memandang ke arah aku.

“Saya ada dekat mana?” Soal aku. Wajah aku yang terasa basah aku raup.

Seorang ustazah yang aku kenal sebagai Ustazah Hani mendekati aku.

“Kamu dah ok? Apa kamu bertiga buat dekat atas tu?” Soal Ustazah Hani.

“Saya dekat mana? Sekarang pukul berapa?” Soalan ustazah muda tersebut aku abaikan.

“Kamu sekarang di bilik tv dan sekarang dah masuk waktu isyak..”

Aku membulatkan mata. Azan yang aku dengar bukanlah azan Maghrib?

“Apa yang saya buat dekat sini?” Soal aku yang masih lagi bingung.

“Kami jumpa kamu bertiga di tangga tingkat atas dalam keadaan kamu bertiga tidak sedarkan diri..tak apalah..nanti baru saya jumpa kamu..sekarang kamu semua balik bilik kamu kembali dan berehat..kamu pun nampak tidak bermaya..” ujar ustazah itu. Semua pelajar mula bersurai.

Aku mendekati Emma dan Ija. Wajah mereka juga kelihatan tidak bermaya. Aku mengajak mereka memasuki bilik kami kembali.

“Apa yang jadi? Macam mana kita boleh ada dekat bawah?” Aku bertanya kepada Emma tetapi gadis itu hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

Aku memandang pula pada Ija tetapi gadis itu kelihatan agak menakutkan.

“Emma..Ija kenapa?” Soal aku. Emma juga terkejut.

Ija mula menyeringai. Dia mula bangun dan menari tarian tradisi Thailand. Mulutnya perlahan-lahan ternganga dan dia mula bercakap suatu bahasa yang tak difahami.

Cepat-cepat aku menarik Emma dan berlari keluar. Aku meminta tolong beberapa pelajar yang lain untuk memanggil ustazah.

Ketika mereka tiba, Ija masih lagi menari-nari sambil kepalanya disengetkan. Wajah setiap seorang dipandang dengan senyuman yang menakutkan. Ramai yang berkumpul di hadapan pintu bilik aku. Ustazah juga telah meminta bantuan ustaz dan juga warden lelaki.

Ketika ustaz dan warden tiba, Ija mula menjerit-jerit saat air yassin direnjis ke tubuhnya. Kedua-dua belah tangannya diletakkan di atas lantai dan dia mula meliang liukkan badannya betul-betul seperti apa yang berlaku di tingkat atas pada petang tadi.

Setelah berusaha untuk memulihkan Ija, gadis itu akhirnya tersedar dan dia mula menangis sambil memeluk tubuh ustazah Hani. Saat dirasuk, Ija menjerit-jerit ingin pulang dan akan bercakap kembali dalam bahasa yang tidak difahami.

Setelah kejadian itu, aku dan Emma serta Ija tidak lagi berani untuk ke tingkat atas. Cerita kami ini juga telah menjadi buah mulut tidak kira senior mahupun junior.

Benda yang paling menakutkan dan baru aku tahu selepas aku naik ke tingkat atas adalah bilik aku yang betul-betul terletak dibawah bilik 203 tersebut. Apabila lalu sahaja di tangga, aku akan berusaha untuk menoleh ke arah lain. Peristiwa yang berlaku betul-betul menyedarkan aku yang jin dan syaitan bukanlah perkara tidak wujud atau satu benda yang boleh dibuat main.

Untuk pengetahuan korang, setelah peristiwa tersebut, masih lagi ada gangguan yang terjadi pada aku dan dua lagi rakan aku tetapi tidaklah seteruk ketika mula-mula kami kena.

Seminggu setelah kejadian, aku ada pergi menyidai pakaian di ampaian yang disediakan pihak institut. Waktu itu telah menginjak ke pukul 10 malam. Setiap tingkat mempunyai tempat ampaian sendiri dan mestilah dikongsi. Usai menyidai pakaian aku berjalan kembali ke bilik aku.

Saat berjalan, kelihatan di hadapan aku adalah seorang kakak senior yang memakai baju T-Shirt berwarna kuning. Dia terus masuk ke dalam sebuah bilik iaitu sebelah bilik jiran hadapan aku. Aku tersenyum sambil melihat nombor bilik yang tertera 101 sebelum berlalu ke bilik aku. Kelihatan Emma sedang ralit membuat kerja rumah.

“Bilik 101 tu dah ada orang dudukkan?” Soal aku sambil meletakkan raga di tempat asal.

“Mana ada..bilik tu kosong lagilah..” aku tergelak kecil.

“Dah ada oranglah..kita ja tak perasan..sekejap aku tanya orang depan..” kata aku.

Aku terus ke bilik jiran depan yang juga rakan sekelas aku yang kedengaran riuh dengan gelak tawa. Pintu yang tidak berkunci aku tolak hingga terbuka. Saat melihat ke dalam serta merta jantung aku seperti terhenti dengan sendiri. Pintu kembali aku tutup dan aku bergerak ke bilik sebelah yang tertulis 101. Pintu bilik aku ketuk berkali-kali. Kosong.

Jiran hadapan aku keluar.

“Kenapa Hanni? Asal kau ketuk bilik tu? Mana ada orang..”

“Kak baju kuning dalam bilik kau tu bukan masuk bilik ni ka? Aku ada belakang dia tadi and memang aku nampak dia masuk bilik ni..” kata aku.

Mereka menidakkan kata-kata aku dan kata mereka mungkin bayangan aku sahaja. Aku juga cuba berfikiran positif untuk menyedapkan kata hati.

Bukan setakat itu sahaja, malah pernah aku dan beberapa rakan aku yang tidak pulang ke kampung halaman saat bercuti mendengar bunyi seperti orang menyeret sesuatu di tingkat atas. Malah terdengar juga bunyi ketukan di setiap bilik tingkat atas yang akhirnya akan berhenti pada bilik yang betul-betul berada di atas bilik aku iaitu bilik 203.

Pernah juga sekali tu kami bertiga sedang rancak bersembang dan saat kami ketawa, kedengaran bunyi ketawa kami seperti kuat dan ramai. Seperti yang berada di dalam bilik itu terlalu ramai walaupun hakikatnya hanya kami bertiga sahaja.

Itu tidak termasuk lagi dengan bayangan lembaga, selimut ditarik dan pintu bilik tertutup sendiri walaupun tiada angin.

Segala-galanya menjadi kenangan bagi aku dan batch 2015 di institut tersebut. Apa yang aku tahu adalah setelah kes kami yang menaikkan lagi tentang kisah mistik tingkat atas tersebut, pintu utama ke tingkat atas tersebut telah diletakkan grill dan dikunci. Tiada siapa lagi yang dapat naik ke atas dan tingkat tersebut mungkin tidak akan digunakan lagi. Hanya menjadi bualan mulut ke mulut setiap batch sahaja. Setiap yang berlaku ada hikmah yang tersendiri. Wallahualam.

Sekian.

 

20 years old

Writer at wattpad

Love21
EiykaNightmaree
EiykaNightmaree
20 years old Writer at wattpad

5 Comments

  1. Farhans says:

    Gempakkk Seyyy

  2. Adib says:

    Bleh pergi lagi seram😝😘

  3. Danyy says:

    Keren kali cerita akak ni.. Macam aku lah yg jadi hanni

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *