Endgame
April 16, 2018
Misteri pokok besar
April 17, 2018

Darah

Views:   5,817

Dumm! Dumm!

Lena Ayu terganggu tatkala mendengar bunyi hentakan kaki yang kuat seperti orang berlarian dari aras atas tingkat atas hospital itu.Dia mendongak.Sekali lagi dia bengang. Sudah dua kali dia terdengar bunyi hentakan kaki sejak dia dimasukkan ke dalam wad itu.Dia melihat jam melalui skrin telefonnya. Sudah Jam 2.35pagi.

“Buat apa hentak-hentak kaki dekat jam tiga pagi orang atas ni? Latihan kawad? Hospital kot ni. “ rungut Ayu sambil melepaskan keluhan berat. “Ada kes kot.. “ duga Ayu lagi. Enggan membejatkan fikiran,Ayu meletakkan telefon bimbit ke atas katil.

Pipi anaknya  diusap lembut. “Terkejut mama nak..” Ayu bersuara lembut pada si kecil yang baru saja melihat dunia sekitar 5 jam yang lalu.Lena tidur si anak.

Terdetik hati untuk menghubungi suaminya  pada waktu itu.Namun niatnya digenggam.Hatinya berbisik untuk membiarkan suaminya berehat. Menjadi ibu buat kali pertama membuatkan Ayu seperti tidak percaya. Kalimah puji dan syukur tidak putus meniti di bibir kerana diberikan peluang untuk menjadi seorang ibu seperti ibu-ibu yang lain di dunia ini.

“Anak mak..anak mak” sayup kedengaran suara. Sesekali suara itu teresak-esak.Ayu tercari-cari pemilik suara.Matanya melilau di sekitar wad itu.Suara hilang.

Dua ibu yang turut berada di bilik itu pula sedang lena diulit mimpi. Ayu masih ingat lagi dia adalah ibu yang ketiga yang dimasukkan ke dalam wad tersebut. Namun kini  katil kosong yang berada di hadapannya tadi sudah berisi.Sejak bila Ayu tidak pasti. Mungkin juga dia tidak sedar sebab terlelap sebentar tadi..Kelihatan ibu itu berselimut penuh dari kaki hingga ke kepalanya.Menghadap dinding.Kaku. Pelik juga tapi Ayu fikir mungkin dia kesejukan.

Ayu memandang wajah bayinya sambil tersenyum.Tidak puas menatap wajah insan baru yang kini muncul di dalam hidupnya.

Selang beberapa minit kemudian dia terasa ingin membuang air kecil. Bermacam-macam bermain di fikirannya tika itu kerana dia masih lagi merasa sakit bersalin.

Dalam suasana yang malap.Otak mula ligat berimaginasi.Skrin telefon dikerling. 3.00 pagi. Berkira ingin menahan senak sampai ke pagi tapi tidak mampu.Dia memegang bahagian bawah perut menahan senak.

Ayu kemudian membangunkan dirinya. Selipar disarung dan dia mula menapak.Mula mengaturkan langkah,sekali lagi dia memandang bayi comelnya. Lena.

Sunyi mencengkam persekitaran.Hanya bunyi tapak seliparnya saja yang kedengaran.Entah mengapa hatinya seakan membisikkan sesuatu yang tidak enak.Bermacam-macam yang bermain di fikirannya tika itu namun dia tetap memberanikan diri.

Kaki menginjak ruangan tandas.Terdapat dua bilik yang tersedia.

 




Pintu pertama dikuak.

“Ya Allah!” matanya tersorot ke lantai tandas. Beberapa helai tuala wanita yang masih berdarah bertaburan di atas lantai.

“Aduhai kak,kita semua ni dah jadi mak mak masih lagi macam ni?”,Ayu membebel kecil.Perasaan geram mula menguasai diri.Dia menggeleng sambil melepaskan keluhan.Pintu kedua dikuak dan Ayu mula melunaskan hajatnya.

Tidak lama kemudian Ayu terdengar bunyi pintu tandas sebelah tadi seperti dibuka seseorang.

“Kak,kotor tu..kejap lagi saya keluar ya.. kita guna yang sebelah ni..” Ayu menegur dengan suara lembut cukup cukup untuk suaranya sampai ke ruang sebelah.

“Takpa dik. Akak bersihkan.” Sayup suara kedengaran dari sebelah.Halus suaranya.

Ayu mengelus lehernya yang terasa meremang.Terasa lain macam pada ketika itu.’Staf sini agaknya’,duga Ayu di di dalam hati.

Selesai sahaja membersihkan diri, Ayu keluar dan menuju ke sinki. Pili air diputar.Air ditadah dengan kedua-dua tangan.

Slurpp..slurpp..

Ayu terpaku. Setiap pergerakannya mula terhenti.Liang roma mula meriding.Baru sahaja dia terdengar seperti seseorang sedang menyedut sesuatu. Seperti bunyi seseorang menyedut makanan yang lazat dan bunyi itu betul betul berada di belakangnya!

“Akak..” Ayu bersuara lantas menoleh.

Nafas Ayu seakan putus sebaik sahaja pandangannya bertukar kearah tandas pertama tadi.Kelihatan seorang jururawat sedang rakus menjilat darah yang terpalit di atas tuala wanita sambil mencangkung.Jijik namun jururawat tersebut sangat berselera.

Tanpa menunggu Ayu pantas membuka langkah.Ketakutan menjalar di segenap urat darah.Tidak ada lagi di fikirannya tentang sakit selepas bersalin yang baru di rasainya tadi.Rentak kakinya laju seperti berlari. Kepala tidak sesekali ditoleh ke belakang.

Usai keluar dari ruangan tandas  tidak semena-mena lampu terpadam. Gelap menyelubungi suasana. Hitam. Ayu seakan seorang buta yang kini meraba-raba dinding untuk mencari arah tuju.Tatkala itu telinganya terdengar suara bayi menangis.Sangat kuat seolah dipukul.Jantungnya berdegup laju .

“Ya Allah..Anak aku..anak aku..” Ayu mengatur langkah berhati-hati namun dia merasakan jarak ke katilnya tadi seolah berbatu-batu jaraknya.Dia hanya melangkah berpandukan suara bayi yang didengarnya. Ayu semakin panik.

Lampu kini terpasang dan berkelip-kelip seperti aliran tenaga elektrik yang lemah.Dalam berkelip itu juga Ayu terlihat satu kelibat jururawat yang sedang meratah sesuatu.Berlumuran darah.Rakus. Mulut Ayu terkunci.Santapan jururawat itu adalah seorang bayi!Dengan sekali kunyah, tengkorak bayi itu terkopek dan dikunyah tanpa belas kasihan.Lidahnya yang hitam menjilat otak bayi yang kecil itu lantas disuap ke dalam mulut yang bergigi runcing.Tanpa dapat ditahan,sekujur tubuhnya menggeletar.

Tidak semena-mena lampu terpasang dan segala gangguan tadi hilang.Pantas Ayu mencapai bayinya dan menjunam ke katilnya.Bayinya dipeluk erat. Tubuhnya berpeluh sejuk.Lafaz zikir membasahi lidahnya.Ketika itu detak jantung Ayu masih terlalu laju.

Satu hembusan nafas hangat terasa membahang di batang leher. Ayu terkaku.Bau hanyir darah membusuk menusuk ke rongga pernafasan. Dia hampir-hampir menangis berada dalam situasi itu.

“Akak cuma tolong bersihkan..”  kedengaran suara itu ketawa terkekeh-kekeh.Bulu roma meremang tanpa dapat di tahan.Alunan zikir meniti di bibir untuk menenangkan diri.

Suasana kembali sunyi seolah-olah tiada apa yang berlaku  di situ.Keadaan kembali normal seperti biasa.Yang menghairankan,terlalu sunyi baginya.

“Anak Mak..Anak Mak..” Suara yang tadinya itu kedengaran lagi. Kali ini Ayu menangkap arah datangnya suara tersebut.Ayu menarik nafas dengan debaran dada yang turun naik. Sisa-sisa keberanian di kumpul dan Ayu menoleh.Kali ini dia melihat ibu yang berada di hadapan katilnya tadi duduk sambil memegang perutnya.

Berniat untuk bertanya namun Ayu mengunci mulut.Dia hanya mengerling kecil seolah-olah tidak mendengar suara itu.Kejadian tadi masih menghantui dirinya dan Ayu tidak ingin terlibat lagi.Dia hanya berlagak tenang.Selimut di tarik hingga ke paras dada. Bayinya dipeluk.

“Kau nak tahu tak.. anak aku dah takda..anak aku dah mati” suara yang sama muncul lagi seolah-olah berbicara dengan dirinya. Ayu masih tidak ingin ambil peduli. Akal warasnya menolak. Ya Allah.. Ya Allah.. bisik hati kecil Ayu.Jantungnya berdetak hebat.

“ Dia kata dia nak bersihkan..” Ayu tergamam.Matanya kini hanya tertumpu pada bayinya yang masih lena dalam pelukan.Kali ini Ayu tidak akan kalah.Matanya ditutup serapat-rapatnya.Dia nekad untuk tidak ambil peduli asalkan bayinya selamat bersamanya.

Sreett…sreettt..

Bunyi troli bayi bergerak seperti ditolak seseorang menghampiri katilnya. Ayu sekali lagi tersentak.Rasa ingin tahu dan ketakutan berlumba-lumba menguasai diri.Berebut-rebut  rasa itu hingga akhirnya dia kalah pada gelojak rasa ingin tahu yang bermain di hatinya.Keberanian dikumpul. Sekujur tubuhnya mula dibasahi keringat. Matanya yang bertutup tadi dibuka dan dihujung katilnya kini kelihatan berdiri seorang wanita yang tidak berwajah. Dia menangis mendayu-dayu.

“Kau fikir aku tak tahu kau dengar aku?” Suaranya sayu dan menakutkan.

“Allahuakbar..Allahuakbar..”lafaz Ayu berulang kali.

tapp..tapp..

Sejenis cecair terasa bertitik jatuh ke lengan Ayu.Bau hanyir mula menerobos ke hidung. Busuk.Di dalam malap lampu Ayu mengesat cecair itu dengan jari telunjuknya  dirapatkan ke hidung lalu dihidunya.Bau darah yang memualkan. Air mata mula mengalir di pipi.Sungguh dia tidak mampu bertahan lagi dalam situasi sedemikian rupa.Kepalanya benar-benar terasa kembang.

Perlahan-lahan kepala didongak ke atas.

Kejutan itu seperti menghambat apabila Ayu terlihat wanita yang tidak berwajah itu memegang mayat bayi yang kehilangan separuh kepalanya.

“Akak tu buat anak aku macam ni..”

Sekonyong-konyong.Ayu menjerit dengan kuat seakan dirasuk. Ayu bingkas bangun dan cuba untuk pergi dari situ.Diikuti dengan suara bayinya yang menangis Ayu terlihat wanita yang tidak berwajah itu berlalu menembusi dinding lalu hilang. Ayu tersandar pada dinding dan menangis sekuat hati.

Suara keriuhan staf hospital dan pesakit di dalam bilik itu sayup sayup kedengaran sebelum semuanya menjadi sepi. Kelam dan gelap. Ayu rebah sambil memeluk erat bayinya.

***

Kelopak mata dibuka. Pedih. Ayu yang baru sedar kalut mencari bayinya.Usai melihat bayinya kemas dalam pelukan suaminya Ayu terus menghembuskan nafas lega sambil menutup matanya rapat. Nafas menderu laju.Satu imbasan melayang. Mengimbas kembali kejadian yang menimpa dirinya tadi.Mimpinya tadi seolah-olah benar.

Usai meneguk secawan air Ayu terus menuju ke sinki untuk membersihkan wajahnya.

“Puan dah ok?” sapa satu suara. Kelihatan seorang jururawat datang dan mencuci tangan di sinki bersebelahan dengannya. “Kami jumpa puan pengsan dekat tepi dinding tu tadi..puan ada rasa sakit di mana-mana?”

Ayu tidak menjawab.Kejadian yang dirasakan mimpi tadi rupanya benar-benar berlaku.

“Puan?” soal jururawat itu kembali.

Ayu termenung panjang dan kemudian merenung sekilas kearah jururawat itu.

“Dekat hospital ni ada perkara buruk yang pernah jadi tak?” soalnya tanpa beralas.

“err..kenapa ya Puan?” Jururawat itu kebingungan dengan soalan Ayu.

“Sebab semalam saya nampak sesuatu..perempuan..bayi..jururawat.. darah..tapi tak tahu la pulak kalau-kalau itu cuma mimpi atau imaginasi saya..” Ayu membilas wajahnya dan kemudian meraup mukanya dengan tuala.

“Hehe hehe..”

Tiba-tiba jururawat itu terkekek ketawa  membuatkan bulu romanya tegak terpacak. Allah. Kali ini Ayu melihat melalui cermin sinki. Jururawat yang tadinya itu kini berdiri di belakangnya sambil  tersenyum sinis  dengan lelehan darah yang banyak sehingga menutupi separuh pakaiannya.Bebola matanya hitam tanpa langsung tidak terlihat warna putih!

“Akak cuma tolong bersihkan..”  suara itu berbisik halus di telinga Ayu diiringi suara ilai tawa yang meremangkan bulu roma.

Ayu menjerit bagaikan orang histeria.Urat sarafnya terasa lumpuh.Lututnya longgar dan dia terjelepok ke lantai.Kemudian dia tidak mengingati lagi apa yang telah berlaku.

***

“Lepas tu apa yang jadi kak?” Tanya Mira.

“Akak sendiri tak sedar apa yang jadi,tapi suami akak cakap akak tersampuk.Seminggu juga lah akak sembuh.Dalam seminggu tu jugak akak diam memanjang.Sampai sekarang pun semangat macam tak kuat lagi. “ Ujar Ayu.

“Rupanya memang 20 tahun yang lalu pernah ada seorang jururawat tu..untuk cantikkan muka dia..dia amalkan satu ilmu yang kita pun tak tahu entah.. dan dia perlukan darah wanita yang datang bulan dan darah wanita lepas bersalin..asal dia yang bidankan wanita bersalin tu.. kebetulan ibu itu akan tumpah darah dan meninggal dunia..mulanya pihak hospital tak syak apa-apa..tapi  satu hari tu,dia yang jadi bidan wanita bersalin..tak tahan punya pasal.. bayi yang lahir tu dia makan sekali..ada di antara staf di sana yang ternampak dan dia terus hilangkan diri..Allahualam itu cerita yang akak dengar dari staf lama kat hospital tu..” sambungnya.

Mira mengelus lehernya yang meremang.Cerita yang didengarinya tentang hospital yang bakal menjadi tempat kerjanya itu membuatkan dia tidak senang duduk.

“Lusa dah mula masuk  kerja ni.. “ Mira meneguk liurnya yang terasa pahit.

“Akak bukannya nak takutkan awak tapi kita ni kena berhati-hati.. alaaa..jangan risau benda ni cuma mengusik kita.Buatnya kita takut haaa dia lagi suka.. kuatkan semangat dan Insya Allah kita akan sentiasa berada di bawah lindungan Allah “ Ayu menitipkan semangat pada adik sepupunya itu.

Mira mengangguk-angguk mengakui apa yang diperkatakan Ayu itu. Biarpun rasa seram mula menguasai diri tetapi dia enggan membiarkan perasaan itu bermaharajalela sehingga dia terleka bahawa Allah lebih berkuasa daripada segala-galanya.

Menulis Seolah tidak pernah ‘typo’ di penghujung kata,kerana hati sudah seiring dengan lenggok jemari dan tidak bisa berhenti

Love13
Haslina
Haslina
Menulis Seolah tidak pernah 'typo' di penghujung kata,kerana hati sudah seiring dengan lenggok jemari dan tidak bisa berhenti

12 Comments

  1. Eyqa says:

    Serammm. Good job kuci. Hehe

  2. aien says:

    antie kuci the storyline is very interesting . I really like this story . good job and be more successful antie kuci 😍😘👏🏻

  3. MrsPip says:

    Seram lah … Mcm2 kak pip imagine, hehe…

  4. Junzie says:

    Excellent !!! Siurang ikut bawa dengan jalan cerita tu.. rasa mcm berada dengan watak peuwww

  5. Hasnira says:

    Good Job sista..blh buat reader msuk skli dlm Vera.👍👍👍👍👍👍👍👍👍👍👍👍👍👐

  6. Sufi Raihani says:

    Best..seolah2 kta Ada dlm cerita tu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *