Ahmad
April 13, 2018
Puaka KM 7
April 14, 2018

Ekskavasi: Pulau Empat Juru (Bab 3)

Views:   686

KOKOKAN ayam yang nyaring telah mengejutkan aku di awal pagi. Aku lihat pada jam yang kuletakkan di sudut tepi meja. 6.15 pagi. Ah, waktu Subuh masih ada. Aku melangkah ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwuduk.

Solat Subuh hari itu telah kulaksanakan sebaik mungkin. Cuaca beransur-ansur cerah. Ayah dan ibuku sudah lama bangun. Sejak ayah bersara, ayah sibuk dengan urusan hal-ehwal masyarakat setempat, di samping menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan untuk menampung kehidupan kami sekeluarga. Ibu pula, tekun menyediakan sarapan pagi untuk kami semua.

Aku keluar untuk membersihkan halaman rumahku. Kebiasaannya, aku akan menolong ayah, nampaknya ayah tiada masa untuk mengemaskan halaman hari ini. Aku teruskan kerja walaupun berseorangan. Tidak lama kemudian, kedengaran suara ibuku memanggil dari dapur untuk bersarapan.

Aku menjemput ayahku untuk bersarapan.

Pada kesempatan ini, aku cuba bertanya pada ayah dan ibuku tentang Daeng Selili.

“Ayah, apakah benar kita ini keturunan Daeng Selili?” aku bertanya. Ayah cuma diam. Agak lama juga.

Ibu pula membuka katanya, “Ya, kamu memang keturunan Daeng Selili, kerana Daeng Selili itu adalah nenek moyang kepada ibu dan keluarga ibu, manakala ayah kamu berketurunan salah seorang Raja Bugis.”

“Mana kamu tahu semua ini?” ayahku bertanya, perlahan.

“Ri, cuma mahu kepastian. Masa Ri berada di bilik hostel, Ri ada bermimpi.”

“Mimpi apa?” ibu bertanya kehairanan.

“Datuk datang, memberitahu Ri, yang kita ini keturunan Daeng Selili, dan Ri dapat ambil sedikit harta peninggalannya.”

“Apa lagi yang datuk beritahu kepada kamu?” ayahku bertanya.

“Datuk menyuruh saya berjumpa dengan seorang ulama’ di Kedah.”

“Syeikh Muhammad Salleh?” pantas ibuku memintas.

“Mana ibu tahu?” aku menjadi hairan.

“Begini, sejak ibu mengandungkan kamu, ibu telah bermimpi, datuk telah menyatakan yang kamu adalah salah seorang keturunan Daeng Selili yang akan menerima harta peninggalannya. Ibu seakan tidak percaya dengan kata-kata datukmu itu sehingga kamu katakan hal itu hari ini,” ibuku menerangkan perkara sebenar.

Ayah pula berkata, “Ya, ayah pun sudah dimaklumkan perkara itu. Cuma hari ini baru ayah percayakannya.”

Sambungnya lagi, “Kalau begitu, apakah rancangan kamu?”

“Kalau boleh, saya ingin segera bertolak ke Kedah dan berjumpa dengannya. Oh,ya. Ibu tahu di mana Syeikh Muhammad Salleh itu tinggal?”

“Kalau tidak silap ibu, dia tinggal tidak jauh dari Alor Setar.”

“Kamu hendak ke sana dengan siapa?” ayah bertanya.

“Mungkin Ri akan bawa dua atau tiga orang kawan Ri.”

“Baiklah, ayah dan ibu izinkan kamu pergi,” ayahku membalas.

“Terima kasih, ayah, ibu.”

Aku segera menghubungi Firdaus, Hafizul, Halis dan Faizal. Kesemua mereka bersetuju untuk ikut serta bersamaku untuk menghabiskan cuti semester ini. Mereka masih belum mengetahui mengenai rancanganku untuk mendapatkan harta itu. Aku mengajak mereka ke rumahku dahulu sebelum bertolak ke Kedah.

Keesokannya, mereka semua tiba di rumahku.

“Masuklah dahulu, kamu semua datang dari jauh tentu penatkan? Rehatlah dahulu, nanti aku buatkan air untuk kamu semua,” aku menjemput mereka.

“Tak payahlah susah-susah Ri, kami semua dah makan pun semasa singgah di hentian lebuhraya tadi,” kata Faizal.

“Hah, kali ini kereta siapa yang kau bawa?” aku bertanya.

“Kereta Faizallah, kereta siapa lagi. Kereta aku kan rosak?” kata Halis.

“Ri, apa sebenarnya perkara yang engkau nak ceritakan pada kami, sampai suruh Faizal bawa kereta ni?” tanya Hafizul.

“Yalah, Ri. Aku pun hendak tahu juga. Hari itu, aku tanya pada kau, kau tak mahu cerita lagi. Sekarang ini, ceritakanlah,” sambung Firdaus.

“Bukan apa, Firdaus, masa itu aku belum bersedia untuk cerita pada kau. Jadi, sekarang, bolehlah aku terangkan pada kamu semua.”

Aku pun menerangkan segala yang berkaitan kepada mereka.

“Bila engkau bercadang hendak berjumpa dengan pak Syeikh itu?” tanya Firdaus.

“Esok, kita akan bertolak ke Alor Setar, kerana mengikut kata ibuku, pak Syeikh itu tinggal tidak jauh dari bandaraya Alor Setar.”

“Oh,begitu rupanya,” balas Hafizul.

Tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Aku lihat pada skrin. Tertera nama Wani. Kenapa pula Wani menelefonku ini? Aku meminta diri dan keluar ke halaman rumah.

“Assalamualaikum, Wani.”

“Waalaikumsalam, Fazri.”

“Kenapa Wani? Ada hal penting?” aku menduganya.

“Tak ada, saja cuma tanya khabar,” perlahan suaranya.

“Oh, saya di sini sihat. Awak ada di mana?” aku membalas.

“Saya di rumah, awak?” jawab Wani.

“Saya di kampung. Tak mengapakah awak telefon saya ini? Takut nanti ada pula yang tidak puas hati dengan saya?”

“Kenapa awak kata begitu?” tanyanya dengan nada terkejut.

“Bukan apa, saya tidak mahu pula dikatakan pula mengganggu teman wanita orang.”

“Ya, saya mengaku bahawa lelaki itu adalah teman lelaki saya, tetapi teman lelaki saya itu tak ada hak untuk menghalang saya untuk bersembang dengan mana-mana kawan lelaki saya,” tegasnya.

“Saya pun sebenarnya tidak kisah jika saya bersembang dengan mana-mana kawan perempuan saya. Prinsip saya, saya kurang suka untuk bersembang dengan teman wanita orang, takut nanti saya berdosa besar pula jika apa-apa perkara yang buruk berlaku.”

“Jadi, awak tak sudi bersembang dengan saya?” nadanya berubah menjadi marah.

“Bukan maksud saya begitu, tetapi…” Belum sempat aku menjawab, dia memintas, “Baiklah, sampai sini sahaja saya bersembang dengan awak, nanti kalau ada masa lagi, saya akan telefon awak. Walaupun tak lama, tetapi cukuplah dapat dengar suara awak,” talian telefon itupun dimatikan.

“Siapa itu, Ri?” Halis bertanya padaku.

“Wani,” kataku

“Wani mana?”

“Wani, budak Electrical Engineering itu.”

“Oh, budak yang engkau jumpa di library itu ya? Kenapa?”

“Wani sebenarnya dah ada teman lelaki, tetapi dia masih telefon aku. Aku cuma takut hubungan mereka berdua terganggu disebabkan aku.”

“Siapa teman lelaki dia?”

“Entahlah, aku pun tak berapa kenal. Agaknya fakulti yang sama.”

“Bagaimana pula dengan Intan?”

“Intan? Entahlah, aku sebenarnya tak berkenan sangat dengan perangainya itu. Kau pun tahu, Intan suka bersosial dan kadang-kadang keluar ke sana ke mari. Intan itu bukanlah pilihan aku.”

“Itu aku tahu, tapi engkau takkan mahu lepaskan peluang begitu sahaja, ramai lagi lelaki lain yang cuba untuk memikat si Intan itu, tetapi tak berjaya,” sambung Firdaus lagi.

“Itu di dalam universiti, di luar kau tak tahu macam mana, mungkin lelaki-lelaki di luar senang-senang sahaja dapat memikatnya. Entah-entah, berapa ramai lelaki yang dia ikut di luar sana.”

“Perkara itu aku tidak dapat pastikan. Entahlah, aku pun tidak tahu apa yang boleh aku lakukan. Jadi, kau masih lagi inginkan Wani itu menjadi teman wanita engkau?” ujar Halis.

“Apa boleh aku buat. Tak mungkin dia menjadi teman wanitaku. Tiada peluang lagi.”

“Engkau jangan pula berputus asa, suatu hari nanti pasti kau akan bertemu jodoh kau juga,” Halis menasihatiku.

“Ya, aku pun berharap begitu. Aku hanya dapat berserah pada tuhan sahaja mengenai jodohku ini.”

“Sudahlah, marilah kita masuk ke dalam,” Halis mengajakku masuk ke dalam rumah.

Malam itu, aku tidak dapat tidur lena. Aku masih terbayangkan kata-kata Wani yang menelefonku petang tadi. Adakah dia benar-benar bermaksud begitu? Adakah dia sengaja ingin mengujiku? Aku masih tidak dapat melupakan wajahnya yang ayu itu. Sungguh sukar untuk aku luputkan ingatanku terhadapnya.

Ah, jangan difikirkan perkara itu. Fokusku adalah terhadap tugas yang perlu aku laksanakan secepat mungkin, atau aku tidak akan dapat mengambil bahagianku itu.

***

PAGI keesokannya.

Suara ibu memanggilku dan kawan-kawanku untuk bersolat Subuh menerjah ke telingaku. Aku mengejutkan kawan-kawanku agar dapat berjemaah bersama. Aku mencapai tuala dan turun ke bilik air. Aku membasuh mukaku ini agar terasa segar untuk menunaikan fardu Subuh.

Solat Subuh pagi itu diimamkan oleh Hafizul. Selesai solat, kami pun bersalam antara satu sama lain. Kami berlima bersiap-siap untuk memulakan perjalanan jauh kami yang bakal mengundang pelbagai cabaran. Ibuku memanggil kami untuk turun bersarapan pagi.

“Jom, kita bersarapan.”

“Baiklah,” kata kawan-kawanku.

Ketika sarapan pagi itu, aku lihat riak wajah ibuku yang agak muram daripada biasa. Ingin sahaja aku bertanyakan hal itu, namun segan pula di hadapan kawan-kawanku. Ibu menyuruhku untuk memanggil ayahku yang berada di luar. Aku dapati ayah sedang berbual dengan Cikgu Zubir, iaitu jiranku yang bersebelahan.

Ayahku dan Cikgu Zubir selau juga berbual mengenai hal-hal kemayarakatan di kampungku. Ayah dan Cikgu Zubir juga aktif dalam menguruskan koperasi kampungku. Merekalah yang banyak berusaha agar ramai usahawan Melayu dapat dilahirkan.

Ketika aku di bangku sekolah dahulu pun, ayah, ketika itu masih seorang guru, juga aktif mengendalikan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan sekolah. Bahkan, ayah juga membuka sebuah kilang membuat perabot untuk menampung perbelanjaan keluarga. Pada masa itu, aku sering mengikuti ayah ke mana sahaja. Tidak kira sama ada urusan perniagaan, aktiviti koperasi ataupun aktiviti sekolah.

Tidak lama kemudian, mereka berdua sudah berhenti berbual. Inilah masanya untuk aku memanggilnya kerana jika lebih awal, ayah tetap juga akan habiskan perbualannya dengan Cikgu Zubir. Tidak perlulah aku memanggilnya beberapa kali.

“Ayah, mari kita makan,” aku memanggilnya dari pintu depan.

“Ya,” sahut ayahku.

Ayah menyuruhku untuk membaca doa makan. Selesai berdoa, kami pun mula menjamah makanan yang disediakan oleh ibu. Ibu menyediakan bihun goreng dan kuih karipap sebagai sarapan pagi ini.

“Fazri, bagaimana dengan perancangan kamu?” Ayah memulakan bicara.

“Kami akan ke Alor Setar hari ini, kemudian Ri akan bertanya pada orang-orang di sana, mungkin mereka di sana akan tahu di mana pak Syeikh itu. Kalau tidak, kami akan bermalam di hotel dan terus mencari esoknya.”

“Bila kamu jangka akan pulang ke sini?” ibuku bertanya.

“Ri jangkakan, lusa nanti. Janganlah ibu risau, Ri akan jaga diri baik-baik. Lagipun kawan-kawan Ri kan ada.”

Kami berlima meninggalkan perkarangan rumahku. Aku cuba untuk mendapatkan semangat untuk mencari harta itu. Walaupun ini bukanlah kehendakku, namun aku terpaksa akur kepada permintaan keluargaku kerana ia merupakan warisan yang unik. Malah, ini adalah hak kepadaku. Orang lain tidak akan dapat hak yang telah ditetapkan untuk aku.

Kereta kami menuju ke arah Lebuhraya Utara-Selatan dan memasuki tol Kuala Kangsar. Setelah mengambil tiket, kami terus memecut ke arah utara. Sepanjang perjalanan ke arah utara, rakan-rakanku bersembang dan berbual bagi menghilangkan kebosanan. Tetapi tidak bagiku. Aku masih memikirkan berbagai perkara yang berlaku di dalam hidupku ini.

Sejak kecil lagi, aku dididik dan diasuh dengan penuh tanggungjawab oleh kedua orang tuaku. Mereka menatangku dengan penuh kasih sayang. Sewajarnya aku membalas budi kedua orang tuaku. Semenjak sekolah rendah hingga ke universiti, terlalu banyak kenangan yang menimpa pemikiranku.

Terbayang-bayang wajah-wajah rakan-rakanku di sekolah rendah, sekolah menengah, sehinggalah rakan-rakanku di universiti. Memori indah telahpun berlalu dan tidak mungkin akan kembali lagi.

“Fazri, kita hendak berhenti di mana?” pertanyaan Faizal membunuh kenanganku.

“Aku rasa, kita singgah di Hentian Bukit Merah, kita minum dulu.”

“Baiklah.”

Tidak berapa lama kemudian, kereta kami tiba di Hentian Bukit Merah. Hentian yang terletak tidak jauh daripada Taman Tema Air Bukit Merah ini, menjadi persinggahan yang agak popular juga di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan ini. Ramai yang akan singgah di perhentian ini tidak kira dari utara ataupun selatan.

Faizal memarkir keretanya betul-betul di hadapan gerai makan. Mudah untuk kami turun dan agak hampir ke arah gerai makan. Kami berlima turun dari kereta dan menuju ke gerai makan.

Jam sudah hampir menunjukkan waktu Zuhur. Aku memberitahu rakan-rakanku agar kami semua dapat berjemaah bersama. Mereka tidak kisah. Kami terus menuju surau berhampiran. Dalam perjalanan menuju ke surau, aku terserempak dengan seseorang yang agak ku kenali selama ini. Profesor Ramizan! Apa yang dia buat di sini?

Aku cuma memerhatikan sahaja dari jauh. Aku lihat Profesor Ramizan bersama dengan dua lelaki yang berbadan agak besar juga seperti seorang bouncer. Aku lihat mereka berbincang sesuatu. Hendak sahaja aku bertanyakan kepada profesor di situ, namun hatiku seperti ditarik-tarik agar tidak menghampirinya.

Tidak lama kemudian, perbualan antara mereka tamat. Dua lelaki segera menuju ke arah sebuah kereta Toyota berwarna hitam metalik. Sementara Profesor Ramizan terus menuju ke kereta Honda Citynya. Kedua-dua kereta itu meluncur laju di atas lebuhraya.

“Fazri, cepatlah, kami semua sudah ambil wuduk,” jerit Faizal.

Jeritan Faizal itu menyedarkan aku dari pemerhatianku pada tindak tanduk Profesor Ramizan bersama dua lelaki misteri itu. Aku terus melangkah deras ke surau dan aku tidak akan menceritakan perihal itu kepada rakan-rakanku, mungkin, buat masa ini. Kami pun bersolat Zuhur tengah hari itu.

Selesai solat, Faizal bertanya padaku.

“Fazri, aku lihat tadi macam ada sesuatu. Kenapa?”

“Tak ada apa-apa,” jawabku perlahan.

Sememangnya, tak perlu bagiku untuk memaklumkan kepada rakan-rakanku mengenai perkara tadi. Mereka mungkin akan salah sangka, ataupun mengesyaki apa-apa yang buruk. Bagiku, biar aku siasat perkara ini terlebih dahulu. Hatiku pun berdebar-debar bagaikan perkara tadi ada kaitannya dengan pencarian hartaku ini.

Kami bertolak semula dari Hentian Bukit Merah tersebut dan menuju ke arah utara. Dalam perjalanan, kami berborak mengenai kehidupan kami di universiti. Kadangkala, teringat juga peristiwa-peristiwa sepanjang menjadi siswa di universiti.

Tiba-tiba, telefon bimbitku berdering. Aku sangkakan Wani yang menelefonku, tetapi nombor yang pastinya aku tidak simpan di dalam telefonku ini. Aku menjawab panggilan itu. Kedengaran suara perempuan di hujung talian…

“Hai, Fazri. Apa khabar? Bagaimana dengan cuti?” lemah lembut suara di dalam talian.

“Maaf, siapa yang bercakap ini?” aku bertanya.

“Oh, awak tak kenal saya?” dia bertanya semula.

Fikiranku berputar. Mengingatkan suara siapa. Bagai pernah aku mendengar suara ini.

“Intan,” jawabnya. Oh, Intan!

“Ada apa hal telefon saya?”

“Tak ada apa-apa, saja saya cuma ingin bertanya khabar awak. Awak ada di mana?”

“Saya, pergi jalan-jalan dengan kawan-kawan,” aku menjelaskan tetapi tidak mengenai pencarian hartaku itu. Bimbang, kalau ada apa-apa perkara buruk yang berlaku jika aku menghebahkannya.

“Awak, sampai hati tak ajak saya,” kedengaran nada suaranya yang agak kecewa bercampur manja.

“Maaflah, saya terlupa nak ajak awak,” kataku, kononnya aku tidak mengajaknya. Padahal, memang aku tak berniat langsung pun.

“Saya hendak bertanya sedikit, dari mana awak dapat nombor saya?” tanyaku.

“Adalah…”

“Mengapa awak tak nak beritahu saya?”

“Rahsia peribadi.”

Aku pun tidak berniat untuk bercakap panjang, lalu aku mencari helah untuk aku menamatkan perbualan.

“Intan, maaflah, bateri telefon bimbit sudah habis, nanti kita berbual lagi ya,”

“Baiklah, nanti kita telefon ya!” gembira suaranya.

Terus sahaja aku matikan talian tersebut. Entah mengapa, hatiku tidak terbuka langsung untuk berbual panjang dengannya, padahal, Intan adalah seorang gadis yang mempunyai rupa paras yang agak cantik berbanding dengan gadis-gadis lain di universiti itu. Bolehku katakan, memang tiada lagi gadis yang sepertinya di universiti.

Kulitnya yang cerah, matanya yang agak sepet seperti orang Cina, mempunyai lesung pipit, pipinya yang agak tembam, menyerlahkan rupa parasnya itu. Badannya juga boleh dikatakan tidak terlalu kurus, berisi sedikit. Tidak juga terlebih berat badan. Kalau dilihat dari jauh, orang akan mengganggapnya seperti pelajar sekolah. Adik beradiknya tidak ramai, cuma tiga orang sahaja. Intan merupakan anak sulung, dan mempunyai adik lelaki kembar iaitu, Irman dan Izhan yang masih bersekolah.

Datuk Fariz, bapanya adalah seorang usahawan yang berjaya. Ibunya, Datin Faridah, adalah seorang yang aktif dalam program-program kemasyarakatan. Masyarakat memandang mereka agak tinggi kerana kemurahan hati mereka membantu golongan berpendapatan rendah. Malah, Datuk Fariz juga mengenaliku.

Datuk Fariz mengenaliku ketika aku bertandang ke rumahnya. Ketika itu, aku, Intan, dan dua orang lagi rakanku, Yusof dan Nadia datang untuk menyiapkan satu tugasan. Pada waktu itu, kami semua berada di dalam semester satu, tahun pertama.

Datuk Fariz tidak segan silu, menjemput aku datang ke rumahnya, tidak kira masa. Datanglah bila-bila lagi, katanya. Kadang-kadang aku terasa segan juga malah aku menganggap diriku tidak layak untuk datang bertandang ke rumahnya.

Rumahnya yang agak besar umpama istana itu, terletak di kawasan kejiranan Damansara Utama, mempunyai tiga tingkat dan tujuh buah bilik. Halaman rumahnya juga agak luas. Mereka juga mempunyai seorang orang gaji warga Indonesia.

Walaupun kedua-dua Datuk Fariz dan Datin Faridah agak mesra dan baik denganku, berbeza sekali dengan Intan. Pada ketika itu, Intan agak sombong dan tidak mahu berbual denganku. Boleh kukatakan, Intan tidak suka denganku. Adik lelakinya juga tidak sombong seperti kakaknya. Itu yang menghairankanku.

Namun, apa yang berlaku kini, amat berlainan dengan sikapnya dahulu. Mungkin dia sudah berubah, tetapi, aku masih lagi tidak suka dengan sikap dan perangainya itu. Tambahan pula, aku sering melihatnya keluar dengan rakan-rakannya dengan berpakaian agak seksi dan mengghairahkan, membuatkan aku bertambah benci dengannya.

“Fazri, apa yang kaumenenungkan itu? Aku nampak dari tadi kau diam aja?” pertanyaan Hafizul mematikan fikiranku.

“Tak ada apa-apa,” aku berdalih.

“Aku tahu,  kau mesti teringatkan Wani, kan?” tanya Halis.

“Tak adalah, kamu semua tolonglah jangan tanya hal itu,” kataku tenang.

“Bukan apa, Ri, kami sebagai kawan, kalau ada apa masalah, kami semua boleh bantu kau,” ujar Faizal.

“Yalah, aku sebagai rakan bilik kau, mungkin boleh tolong apa-apa yang patut,” sambung Firdaus.

Aku cuma diam, tak mahu berkata apa-apa. Kereta kami meluncur laju di atas lebuhraya. Aku lihat papan tanda sudah menunjukkan kami berada di sempadan Pulau Pinang-Kedah. Alor Setar nampaknya agak jauh lagi dari sini. Keadaan di dalam kereta juga sudah senyap. Tiada lagi kata-kata yang keluar dari mulut kawan-kawanku.

Oleh itu, aku membuat keputusan untuk melelapkan mata. Sememangnya aku rasa agak letih juga tambahan pula jika berjalan jauh. Aku cuma dapat mendengar bunyi kereta ini meluncur laju sebelum sedikit demi sedikit hilang daripada telingaku….

 

 

 

Mencari ruang untuk diri sendiri, agar mereka di luar sana tahu apa yang aku fikirkan.

Love0
Razif Rahim
Razif Rahim
Mencari ruang untuk diri sendiri, agar mereka di luar sana tahu apa yang aku fikirkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *