BironTale Chapter 7: The Skeleton Brothers
April 22, 2018
Panggilan Maut
April 23, 2018

Ekskavasi: Pulau Empat Juru (Bab 4)

Views:   214

“Ri, bangun, kita dah sampai Alor Setar ni,” kejut Faizal.

Aku menyapu mataku sambil menggeliatkan badanku. Aku rasa baru sahaja aku lelapkan mata sebentar tadi. Ah, masa memang berlalu dengan begitu pantas. Aku lihat keadaan di sekeliling. Ya, memang benar kami sudah berada tidak jauh dari pusat bandar Alor Setar. Sudah lama aku tidak ke Alor Setar. Aku masih ingat lagi ketika itu, keluargaku bercuti ke Langkawi, dan kami semua menginap di rumah saudaraku yang tinggal di Jalan Kuala Kedah. Saudaraku kini telah pun berpindah ke Parit Buntar setelah bapa saudaraku bersara daripada pekerjaannya.

“Ri, kita hendak cari pak Syeikh itu di mana?” Halis bertanya padaku.

“Aku ada alamatnya, tapi aku tak pasti sama ada betul atau tidak,” kataku.

Berdasarkan alamat yang aku dapat dari seorang pakcik di kampungku yang mengenalinya, rumahnya tidak jauh dari bandar raya Alor Setar ini. Rasanya aku harus cuba mencarinya terlebih dahulu.

Menurut alamat ini, rumahnya terletak di sebuah kampung bernama Kampung Ayer Panas, tidak jauh dari bandar raya Alor Setar ini. Selama ini, aku tidak pernah mengenali kampung ini. Namanya juga aku tidak pernah dengar. Puas kami pusing di kawasan kampung ini, namun tidak berjumpa. Kampungnya tidaklah terlalu besar, tetapi entah kenapa kami masih tidak ketemu rumahnya. Kami cuba berpatah balik ke jalan besar semula. Sehingga kami terlihat seorang tua sedang membersihkan halaman rumahnya. Aku pun turun bertanya pada orang tua itu. Rupa paras orang tua itu seperti pernah aku lihat.

“Assalamualaikum, pak cik. Saya hendak bertanya pada pak cik, boleh?”

“Waalaikumsalam, boleh nak. Apa yang anak hendak tanya?”

Sekali aku memandangnya, seperti aku mengenalinya tetapi di mana?

“Ya, anak. Hendak tanya apa?” ulangnya lagi.

“A..Saya..saya mencari alamat ini. Pak cik tahu di mana rumah ini?”

“Oh, ini alamat rumah pak ciklah,”

“Yakah? Nama pak cik Syeikh Muhammad Salleh?” “Ya, nak. Takkan pak cik hendak tipu kamu,”

Aku berasa sedikit pelik. Sedangkan kami lalu kawasan rumah ini, namun tidak pula berjumpa dengan rumah ini. Seingat aku, sebentar tadi, kami cuma lalu di hadapan kawasan lapang tanpa rumput, tetapi kali ini, terdapat seorang tua dan sebuah rumah yang agak lama reka bentuknya.

“Marilah kita masuk ke dalam dahulu,” kata pak cik itu setelah melihat aku termenung seketika. Aku kembali semula ke kereta.

“Jom, memang betul ini rumahnya,” aku berkata.

“Kau biar betul, tadi tak ada rumah pun di sini. Ini tiba-tiba pula ada sebuah rumah lama di sini. Jangan-jangan….” kata Faizal.

“Heh, kau jangan nak celupar pula,” pintas Hafizul.

“Kamu semua ni, hari kan masih siang lagi, takkan lah ada… benda tu,” kata Firdaus pula.

“Apa-apa hal pun, kita masuk dahulu,” sambungnya lagi.

Kami berlima melangkah masuk ke dalam rumah orang tua itu. Keadaan di dalam rumah tua ini agak berbeza daripada pandangan dari luar. Dari luar, keadaan rumah ini nampak seakan-akan tiada penghuninya, tetapi keadaan di dalamnya agak kemas dan teratur. Rumahnya tidak terlalu besar, mempunyai 3 bilik dan sebuah dapur. Aku dapat mengagak ketika aku duduk di ruang tamunya.

“Rumah pak cik ini taklah besar mana pun,” pak cik itu tiba-tiba muncul sambil membawa sedulang minuman. Aku terkesima. Apakah orang tua ini boleh membaca fikiranku?

“Hah, anak-anak, jemputlah minum,”

“Terima kasih, pak cik,” kataku.

“Kamu Fazri kan?” pak Syeikh bertanya kepadaku. Bagaimana dia boleh tahu namaku?

“Kita pernah berjumpa di atas keretapi ketika kamu mahu pulang ke kampung kamu,” terang pak Syeikh.

“Yalah, baru saya ingat. Rupa-rupanya pak Syeikhlah yang duduk di sebelah saya malam itu. Tak sangka saya akan berjumpa semula dengan pak Syeikh. Tetapi dari mana pak Syeikh tahu nama saya sedangkan saya tidak memberitahu nama saya ketika itu?”

“Pak cik sudah tahu kamu akan datang bertemu dengan pak cik. Sebab itulah pak cik sudah bersedia,” jelas pak Syeikh. Sambungnya lagi, “Kamu berempat ini kawan-kawan Fazri, bukan? Kamu Faizal, Firdaus, Halis, dan Hafizul,”

“Betul…betul, pak Syeikh,” jawab Hafizul kehairanan.

“Nanti pak cik akan ceritakan,”

“Nama penuh pak cik, Syeikh Muhammad Salleh Syeikh Abdul Rahman. Pak cik dah lama tinggal di sini, dalam 40 tahun,”

“Lama tu, pak cik,” sampuk Faizal.

Menurut kata pak Syeikh ini, dia sudah tinggal dengan isterinya dalam masa empat puluh tahun ini. Isterinya kini sudah pun meninggal dunia. Sudah lima tahun pak Syeikh hidup menduda. Anak-anaknya seramai empat orang, dan mereka masing-masing telah pun berkahwin dan tinggal di merata tempat di Malaysia ini. Sekali-sekala mereka akan pulang ke kampung, menjenguk pak Syeikh.

“Pak Syeikh tak ikut anak-anak ke rumah mereka?” tanya Firdaus.

“Pak cik lebih selesa tinggal di sini. Pak cik tak mahu tinggalkan rumah ini. Banyak kenangannya. Lebih-lebih lagi, siapa yang akan menjaga ternakan pak cik?” ujarnya.

“Pak Syeikh ini sebenarnya bekerja sebagai apa?” tanya Halis.

“Pak cik hanya seorang pesawah sahaja. Kadang-kadang menjadi guru agama di masjid. Dapatlah upah RM200. Dulu-dulu pun, pak cik buat macam-macam kerja. Angkat barang, drebar teksi, itulah kerja pak cik. Sekarang ini, pak cik cuma jaga ternakan dan sekali-sekala pak cik pergi menangkap ikan di sungai,” katanya.

“Kami sebenarnya ada hajat datang ke mari,” aku memulakan cerita.

“Pak cik tahu. Kamu datang sini kerana ingin mencari harta yang hilang itu, bukan?” celahnya sebelum aku menghabiskan kata-kataku.

“Bagaimana pak Syeikh boleh tahu?” tanya Firdaus.

Pak Syeikh menceritakan bagaimana dia boleh mengetahui mengenai tujuan kami datang untuk meminta pertolongannya. Pak Syeikh mendakwa, dia bermimpi didatangi oleh seorang tua berjubah putih seperti apa yang aku alami sebelum ini. Kata orang tua berjubah putih itu, pak Syeikh harus menolong seorang anak cucunya untuk mengambil bahagian harta yang telah dijanjikan. Anak cucu yang dimaksudkan itu ialah aku, dan dia juga mengatakan ada orang akan menjadi penghalang kepada tujuanku itu.

“Kamu juga adalah keturunan Daeng Selili, iaitu seorang bangsawan Bugis yang berpengaruh di negeri Perak itu. Daeng Selili itu bukan sembarangan orang. Dengan ketinggian ilmu agamanya, Sultan telah melantiknya sebagai Mufti negeri pertama. Bukan itu sahaja, kamu juga ada kaitannya dengan Raja Bugis di Tanah Sulawesi sana. Oleh itu, pak cik menganggap kamu adalah keturunan yang mulia,”

“Apa maksud pak Syeikh?” tanyaku.

“Kamu sebagai seorang keturunan yang mulia, janganlah kamu berbuat jahat kepada orang lain. Kelak kamu akan dihina jika kamu berbuat jahat. Walaupun kamu ditimpa malang, percayalah, suatu hari nanti kamu akan mendapat ganjaran yang setimpal atas kesabaran kamu,”

Pak Syeikh ini nampaknya mengetahui sedikit sebanyak latar belakang diriku ini, juga mengenai nasib malang yang selalu menimpa aku. Sejak kecil lagi aku selalu dihina, disindir, dan dikaitkan dengan perkara-perkara yang tidak elok. Namun, aku biarkan sahaja kerana aku tidak mahu terbeban dengan masalah yang remeh-temeh seperti ini.

“Pak cik akan menolong seperti apa yang telah dihajati oleh nenek moyang kamu. Hak kamu terhadap harta itu memang ada, dan ia telah dijanjikan oleh pemilik harta itu iaitu Tok Besar Haji Daeng Selili itu. Dan satu yang pak cik pesan, gunakanlah harta itu sebaik mungkin. Janganlah belanjakannya kepada benda yang tidak penting,”

“Saya faham, pak Syeikh,” aku mengangguk. Pak Syeikh pun seperti tahu aku ini adalah jenis yang boros.

“Hari pun dah senja. Pergilah kamu semua mandi dan bersiap-siap. Kita akan ke masjid bersembahyang Maghrib,” kata pak Syeikh.

Aku dan rakan-rakanku mengangkat barang-barang dan beg-beg kami dari kereta ke dalam rumah pak Syeikh. Pak Syeikh menyediakan dua buah bilik untuk kami. Aku, Faizal dan Firdaus sebilik manakala Halis dan Hafizul sebilik. Aku mengeluarkan tuala dan menuju ke bilik air untuk mandi.

Selesai mandi, aku dan rakan-rakanku yang lain bersiap untuk mengikut pak Syeikh ke masjid kampung ini. Kami berjalan bersama-sama. Aku lihat mulut pak Syeikh terkumat-kamit seperti membaca. Aku agak dia sedang membaca zikir.

Daripada apa yang aku lihat, pak Syeikh kadangkala agak pendiam orangnya. Namun, jika dibawa bersembang, dia akan menjadi seorang yang peramah. Mukanya kelihatan tenang dan apabila kita memandang mukanya, kita pun terasa agak tenang juga. Mungkin keberkatan yang Allah turunkan ke atas wali-Nya membuatkan kita terasa senang melihatnya.

Setelah 10 minit berjalan kaki, kami pun tiba di sebuah masjid. Kelihatan ramai manusia yang berbondong-bondong datang ke masjid ini. Lelaki dan perempuan sama sahaja ramainya. Bagus juga penduduk kampung ini, fikirku di dalam hati. Masakan tidak, masjid yang agak kecil ruangnya, boleh dipenuhi dengan penduduk kampung. Pelik juga kurasakan. Ingin juga aku bertanya kepada pak Syeikh, tetapi pak Syeikh sudah pun berada di saf yang paling hadapan.

Selesai sembahyang Maghrib, satu ceramah telah diadakan. Pak Syeikh menjadi penceramahnya. Pak Syeikh memberi ceramah mengenai muafakat sesama makhluk Allah. Kemudian, kami teruskan dengan sembahyang Isyak. Sedikit jamuan disediakan selepas sembahyang Isyak. Sesudah mengisi perut, kami berenam, pulang semula ke rumah pak Syeikh.

Dalam perjalanan pulang, aku bertanya pada pak Syeikh,

“Pak Syeikh, saya lihat ramai orang datang ke masjid tadi. Saya rasa agak pelik juga. Sedangkan kampung saya pun tidaklah sepenuh mereka yang datang tadi,”

“Memang patut pun kamu berasa pelik, kerana yang datang tadi bukanlah manusia tetapi adalah makhluk Allah yang bernama jin,”

“Jin??” balas kami berlima serentak.

“Ya, ada jin yang menetap di kampung ini di samping manusia. Mereka telah menetap lama sejak sebelum manusia menghuni kawasan ini lagi,” jelas pak Syeikh.

“Jadi, masjid tadi adalah masjid jinlah pak Syeikh?” tanya Halis.

“Ya, itu sebenarnya adalah masjid jin di kampung ini. Masjid sebenarnya terletak di sebelah sahaja,”

“Bagaimana pula kami tidak boleh melihat masjid itu sedangkan kita berada di sebelahnya?” tanya Firdaus.

“Pak cik telah bawa kamu semua ke alam jin sebentar tadi. Oleh itu, kamu tidak akan dilihat oleh manusia lain. Sebenarnya, malam ini, pak cik dijemput oleh mereka untuk memberikan sedikit ceramah,”

“Oh, begitu rupanya,” balasku.

Sejak mula keluar dari rumah pak Syeikh, aku sudah rasakan bahawa kami akan dibawa ke tempat lain. Susah untuk kukatakan, tetapi aku mempunyai deria keenam yang dapat mengesan sesuatu yang luar biasa akan berlaku. Telah banyak kali aku rasa sebegitu, tetapi sehingga sekarang tiada sesiapa pun yang tahu mengenainya.

“Tengah malam ini, jangan lupa untuk bangun dan kita akan melakukan Qiamullail bersama-sama,” pesan pak Syeikh sebelum melangkah ke kamar tidurnya.

Kami masuk ke bilik masing-masing dan tidur. Entah mengapa mataku masih belum mahu terpejam walaupun aku cuba bermacam cara. Akhirnya aku cuba membaca satu ayat yang pak Syeikh ajarkan kepadaku sebelum kami ke masjid tadi. Dan, aku rasakan mataku seperti ditarik-tarik…..

“Anak-anak, bangun. Kita akan menunaikan solat sunat Tahajjud dan Istikharah,” suara pak Syeikh yang lembut telah mengejutkan aku dari tidur. Aneh juga kerana setelah mataku terbuka, aku rasakan badanku segar bagaikan tidak mengantuk. Aku pun mengejutkan rakan-rakanku untuk sama-sama menunaikan solat sunat itu.

Aku menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Sejuk air pagi itu. Ku tadahkan air di atas telapak tanganku. Segar rasanya apabila mengambil wuduk. Kemudian, aku menuju ke ruang tamu. Kelihatan pak Syeikh telah pun menyiapkan tempat untuk kami bersembahyang.

Pak Syeikh mengimamkan sembahyang kami semua. Alunan suaranya yang lembut menenangkan hatiku. Inilah yang dikatakan keberkatan seorang yang dikasihi Allah. Pak Syeikh adalah seorang yang soleh dan dianugerah Allah dengan karamah-Nya. Dan aku menentapkan niat di hatiku ini agar selamat dan sempurna ketika menempuh cabaran ini. Dan aku tidak harus menghampakan permintaan moyangku ini.

Setelah selesai kami bersembahyang, pak Syeikh memberi sedikit nasihat.

“Anak-anak, pak cik mahu berpesan pada kamu semua, jagalah diri baik-baik. Banyak lagi cabaran yang kamu akan tempuhi. Laksanakanlah tugas ini dengan sebaik mungkin. Peluang hanya sekali. Jika kamu melepaskan peluang ini, tiada lagi peluang akan datang kepada kamu. Terutama sekali kamu, Fazri. Kamu seharusnya menjaga nama baik keluargamu. Demi tidak menghampakan Tok Besar Haji Daeng Selili, moyangmu,”

“Baiklah, kami akan mengikut segala nasihat pak Syeikh itu,” kataku.

“Mari kita semua ke masjid untuk bersembahyang Subuh,” Pak Syeikh mengajak kami semua.

Kami semua melangkah menuju ke arah masjid kampung ini. Agak menghairanku juga kerana sebelum ini, aku lihat begitu ramai yang datang ke masjid. Tetapi berlainan pula kali ini. Bilangan yang datang ke masjid pagi ini boleh dikira dengan jari.

“Kali ini, kita akan bersembahyang di masjid sebenar kampung ini,” bisik pak Syeikh kepadaku. Baru aku mengerti, kerana sebelum ini, kami bersembahyang di masjid jin manakala kali ini, kami bersembahyang di masjid sebenar untuk manusia di kampung ini.

 

***

 

Matahari pagi telah terbit dari ufuk timur. Embun pagi yang menitis menyegarkan dedaun yang hidup subur di muka bumi tuhan ini. Beburung yang terbang mencari makanan menambah seri wajah kampung yang mekar ini. Sungguh tenang dan damai perkampungan ini.

Hari ini aku akan segera menuju ke pantai timur untuk mencari harta yang dijanjikan itu. Ikutkan hati, mahu sahaja aku bawa pak Syeikh ke tempat itu. Aku masih lagi memerlukan pertolongannya. Tetapi apakan daya, pak Syeikh tidak boleh mengikutku, katanya. Sesiapa sahaja yang ditolongnya akan menghadapi cabarannya sendirian. Pak Syeikh hanya boleh mengiringkan doa sejahtera kepadanya.

“Pak Syeikh, izinkanlah saya dan kawan-kawan pergi ke destinasi yang dikatakan,” kataku dengan nada yang sayu. Hiba rasa di hati.

“Baiklah, pak cik izinkan. Sampai di sini sahaja pak cik dapat membantu kamu. Selebihnya, terserah kepada kamu sendiri. Lagipun, tanggungjawab pak cik sudahpun tertunai,” jawab pak Syeikh tenang.

“Kami pun begitu juga, pak Syeikh. Halalkan makan dan minum kami sepanjang kami berada di rumah pak Syeikh,” kata rakan-rakanku yang lain.

“Ya, pak cik halalkan,”

Kereta kami meluru keluar dari perkarangan rumah pak Syeikh. Aku mengambil keputusan untuk mengambil jalan melalui bandar Baling, Gerik, Jeli, Kota Bharu, Kuala Terengganu, dan terus sampai ke pantai Cherating. Itu yang kurasakan agak menjimatkan. Tambahan pula, jalan pun elok dan sempurna. Tidak seperti ketika dulu, jalan agak bengkang-bengkok dan tidak sempurna. Kerajaan telah pun membelanjakan jutaan ringgit untuk membaiki jalan raya. Seharusnya, kita harus berterima kasih kepada kerajaan kerana keprihatinan mereka.

Pada mulanya tiada masalah yang melanda sepanjang perjalanan kami. Sehingga kereta kami tiba berhampiran bandar Gerik apabila aku terperasan sebuah kereta Iswara hijau muda sedang mengekori kami. Aku lihat kawan-kawanku seperti tidak perasankan kereta tersebut. Aku pun tidak mengesyaki apa-apa. Mungkin destinasi kereta itu dan kami adalah sama.

Sepanjang perjalanan kami ini, aku rasa sedikit bosan. Mungkin, tiada topik lagi untuk dibualkan. Aku pun memutarkan radio kereta Faizal ini. Sekurang-kurangnya, hilang juga rasa bosan yang melanda aku dan kawan-kawanku. Sehingga DJ radio itu bersuara,

“Kali ini kita terima salam daripada Hazwani dari Wangsa Maju, KL, ingin tujukan salam ini kepada Fazri yang berada di Kuala Kangsar dengan ucapan beliau selamat sejahtera hendaknya. Terimalah lagu yang popular ini, ‘Kasih Terpendam Dalam Diam’ dendangan Farah,”

Aku terpegun seketika. Aku lihat kawan-kawan disebelah. Semuanya memandangku. Senyuman terukir di wajah mereka sedikit demi sedikit..

“Hai, Ri. Nampaknya ada orang yang prihatin pada kau,” sindir Halis.

“Wani kirim salam ikut radio,” balas Faizal pula.

“Ha…ha…ha..” mereka berempat ketawa serentak.

“Kasih Terpendam Dalam Diam, hai, apa maksud tu Ri?” Firdaus pula menyindirku.

“Apalah kamu semua ni,” balasku.

Terasa malu juga aku. Apakan tidak, mesti ramai lagi kawan-kawanku yang mendengar radio akan ketawa juga. Tidak pernah aku menerima salam daripada kawan-kawan tambahan pula daripada seorang wanita. Apa yang akan aku jawab nanti.

Kami hampir tiba di pekan Jeli, Kelantan. Aku cadangkan untuk berhenti makan sebentar di mana-mana gerai yang ada. Tiba di sebuah kampung, iaitu Kampung Batu Melintang, aku ternampak sebuah gerai yang agak ramai juga pelanggannya. Faizal memberhentikan kereta di hadapan gerai itu. Aku memerhatikan keadaan sekeliling, adakah kereta Iswara hijau muda itu atau tidak. Seperti yang kujangka, kereta Iswara itu masih ada dan berhenti agak jauh juga daripada gerai makan ini, tetapi aku masih lagi boleh melihatnya.

“Kamu semua perasan tak sebuah kereta Iswara hijau muda yang ikut kita tadi?” aku mula bertanya selepas kami semua memesan makanan.

“Kereta Iswara hijau muda?” tanya Faizal.

“Entahlah, aku tak perasan pun,” balas Hafizul.

“Sama destinasi, mungkin,” kata Firdaus pula.

“Tapi, sejak sebelum sampai Gerik lagi, aku sudah perasankan kereta itu. Kalau kamu semua tak percaya, tengok di tepi jalan besar sana,” aku menujukkan arah kereta itu berhenti.

“Yalah, kereta Iswara hijau muda. Kau pasti kah mereka mengekori kita?” tanya Halis.

“Ya, aku yakin sekali. Naluri aku mengatakan begitu,” terangku bersungguh-sungguh.

“Mungkin benar juga kata Fazri. Kalau begitu, kita harus berjaga-jaga. Jangan-jangan ada orang jahat yang mengekori kita, seperti kata pak Syeikh,” Faizal mengingatkan kami.

Kemudian, aku lihat seorang lelaki yang berbadan besar seperti yang aku nampak di Hentian Bukit Merah hari itu. Sah! Merekalah orang yang sama mengekori kereta kami sejak dari hari itu. Apakah tujuan mereka sebenarnya? Tambahan pula, Profesor Ramizan juga aku lihat berbual dengan mereka. Hari itu, mereka membawa kereta Toyota hitam metalik. Mengapa mereka membawa kereta yang berlainan? Untuk mengelirukanku?

Kerapkali juga aku lihat mereka memandang ke arahku. Apa yang harus kulakukan? Takut juga perkara yang tak diingini berlaku. Aku cuba memikirkan cara yang sesuai untuk menghadapi situasi ini. Aku tenangkan diriku seketika.

Selesai makan, kami pun meneruskan perjalanan, kali ini dengan lebih berhati-hati. Faizal memecut keretanya dengan lebih laju bagi mengelakkan kereta Iswara hijau muda itu mengejar kami. Namun, kereta itu masih lagi mengekori kami. Kali ini semakin hampir dengan kami. Tiba-tiba Faizal melakukan kejutan dengan membelok ke suatu simpang jalan kecil. Kereta Iswara tersebut terlepas ke hadapan, manakala Faizal meneruskan pemanduannya di laluan yang sempit itu. Aku kirakan jalan kampung barangkali.

Faizal memandu keretanya memasuki satu lagi simpang kecil. Aku memandang ke belakang, nampaknya kereta itu sudah tiada. Mungkin mereka masih lagi mencari kami. Lalu aku cadangkan, terus ke hujung jalan kecil ini.

Tidak lama kemudian, kami terjumpa sebuah kampung. Tidak jauh daripada kami, terdapat sebuah warung kecil yang terdapat beberapa orang pelanggan. Faizal memarkir keretanya di sebelah warung itu. Aku turun untuk bertanya kepada penduduk di situ.

“Assalamualaikum,”

“Waalaikumsalam. Anak ini siapa?” tanya seorang lelaki yang agak berumur dengan loghat Kelantannya yang agak pekat. Ku kirakan ini adalah pemilik warung.

“Saya, dan kawan-kawan datang dari jauh. Boleh saya tumpang tanya?”

“Boleh, nak tanya apa?”

“Apa nama tempat ini?”

“Ini, Kampung Tok Moleh. Kenapa kamu tanya? Kamu hendak ke mana?”

“Kami nak pergi ke Kota Bharu, tapi tersesat,” kataku berdalih, tidak memberitahu hal yang sebenar. Takut rahsia akan terbongkar.

“Pelik ah, tak mungkin kamu tersesat. Lagipun satu sahaja jalan dari sini hendak ke Kota Bharu. Nun, jalan besar sana,” tunjuknya ke arah jalan yang kami datang tadi.

“Kalau begitu, ada tak jalan lain dari sini terus ke Kota Bharu?”

“Ada, tapi agak jauh jugak, sebab ia lalu ikut hutan sedikit. Jalannya pun tidak berapa baik. Mungkin kamu akan terus sampai ke bandar Pasir Mas,”

“Di mana jalan itu, pak cik?”

Pak cik itu menerangkan kepadaku jalan pintas menuju ke Kota Bharu melalui Pasir Mas daripada kampung ini. Walaupun jalan besar yang kami lalui tadi boleh membawa kami terus ke Kota Bharu, tetapi oleh kerana keadaan begini, aku terpaksa memilih jalan yang jauh. Biar lambat, asal selamat.

Faizal memandu keretanya melalui jalan yang aku terangkan. Memang jalannya agak teruk sedikit kerana tiada tar. Jalan tanah merah. Jalan balak barangkali. Laluannya pun agak menggusarkan juga. Masakan tidak, jalannya melalui tepi sebuah bukit yang agak curam. Kelihatan gaung yang agak dalam. Keadaan itu tidak lama kerana kami terus melalui sebuah hutan yang tebal, dan jalannya pun semakin bersemak. Mungkin kerana ianya jarang dilalui.

Setelah puas menempuh hutan ini dalam masa kira-kira 35 minit, kami bertemu kawasan ladang getah dan keadaannya semakin baik. Beberapa orang sedang kulihat mengutip hasil getah mereka. Mereka memandang kami dengan penuh kehairanan. Agaknya kerana tidak pernah mereka melihat kereta yang melalui jalan hutan di sebelah ladang getah ini. Apapun, kami sudah selamat tiba tidak jauh dari bandar Pasir Mas.

Mencari ruang untuk diri sendiri, agar mereka di luar sana tahu apa yang aku fikirkan.

Love1
Razif Rahim
Razif Rahim
Mencari ruang untuk diri sendiri, agar mereka di luar sana tahu apa yang aku fikirkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *