Murtabak dan Merlion -Singapura 2012
May 4, 2018
Wonder-Kid! Chapter 6
May 11, 2018

Hospital Lama

Views:   323

“Kalau engkau berani, pergilah.” Amir cuba menguji Fadzil.

“Baik, malam ini jugak aku pergi!” Balas Fadzil dengan nada yang keras. Ego Fadzil memang tinggi, pantang dicabar. Tambah pula dalam hal-hal yang melibatkan perkara mistik. Pucuk dicita, ulam mendatang.

Mereka berdua melintasi sebuah hospital lama di Cheras, dalam perjalanan pulang ke kolej yang terletak berhampiran dengan hospital lama tersebut. Fadzil tekad untuk menguji diri di hospital lama tersebut, tempat yang dicabar oleh Amir kepada dia.

Menurut cerita orang, hospital tersebut merupakan hospital khas untuk mengubati penyakit berjangkit, telah dibina pada zaman perang dunia kedua. Namun, setelah kota ini mengalami kemajuan dan terdapat sebuah hospital baharu yang dibina, maka hospital lama ini telah ditinggalkan. Akhirnya ia telah dikuasai oleh alam semula.

“Amir, jomlah ke hospital tu!” Fadzil mengajak Amir.

“Biar betul kau ni?” Amir kehairanan. Niatnya cuma bergurau.

“Aku pantang dicabar! Pantang keturunan pahlawan aku, kalau aku dicabar!” Tinggi suara Fadzil seperti hendak menerkam rakannya Amir.

Amir menjadi risau. Bukan kerana tidak percayakan kejantanan Fadzil, tetapi lebih kepada cerita-cerita buah mulut orang mengenai kejadian mistik yang melibatkan hospital itu. Ada yang mengatakan pernah nampak jelmaan, ada yang kata pernah mendengar bunyi hilai tawa, dan ada juga yang pernah menghidu bau-bauan yang kurang enak. Maklumlah, hospital yang hampir seabad usianya dan sudah tentu pelbagai peristiwa berlaku di dalamnya, yang biasanya melibatkan nyawa dan kematian.

“Aku gurau je tadi, Fadzil.” Amir cuba membetulkan semula tanggapan Fadzil kepadanya.

“Gurau tak gurau, aku tak kira, aku nak pergi jugak!”

Pening kepala Amir. Dalam kerisauan itu, Amir terpaksa juga bersetuju dengan rakan baiknya itu. Jam 11 malam, mereka melangkah ke pintu masuk hospital yang sememangnya meremangkan bulu roma sesiapa yang melihatnya. Mereka berdua saling berpandangan. Suasana di sekeliling sangat sunyi. Hanya kelihatan dedaun merimbun di sekitar bangunan usang itu.

“Betul ke ni, Dil?” Sekali lagi Amir mendapatkan kepastian.

“Jom,” Fadzil tidak mengendahkan pertanyaan Amir.

Sesekali kedengaran bunyi cengkerik dan riang-riang saling bersahutan. Menambah lagi suasana seram di kawasan hospital tinggal itu. Mereka menuju ke pintu besar utama yang terletak tidak jauh dari jalan utama.

Krekkk… bunyi pintu yang berkarat memecah keheningan di situ. Keadaan terlalu gelap, mungkin kerana tingkap-tingkap di ruang utama hospital itu sudah diselaputi habuk yang tebal. Cahaya bulan terang menyimbah kawasan tersebut tetapi ia tidak dapat menembusi ke dalam bangunan hospital.

“Dil, aku seramlah. Jom kita balik.” Amir cuba memujuk Fadzil.

“Ah, kau ni! Tadi beriya-iya suruh aku uji diri, kali ini kau nak balik pulak!” Marah sungguh Fadzil.

Timbul penyesalan di benak fikiran Amir kerana mengusulkannya petang tadi. Amir terus membisu, sambil matanya meliar ke kiri dan ke kanan, takut-takut ada sesuatu. Sesuatu yang bahaya atau sesuatu yang menyeramkan. Fadzil pula tidak nampak seperti orang yang ketakutan, malah dia cuba menguji beberapa benda yang dijumpai di lantai atau di meja lama di ruang utama itu.

Tap!

“Bunyi apa tu, Dil?” Amir kaget.

“Bunyi air menitik kot.” Balas Fadzil bersahaja.

Tap! Tap! Tap! Kali ini bunyinya seperti orang melangkah, kadangkala perlahan kadangkala laju.

“Dil, aku takut ni. Jangan-jangan…”

“Ah, kau ni. Apa yang nak ditakutkan! Ini cuma bangunan lama je. Bukan ada apa-apa pun yang…” belum sempat Fadzil menghabiskan kata-katanya, kedengaran bunyi benda jatuh yang amat kuat sekali hingga membuatkan Amir terus memeluk Fadzil.

“Eh, apa hal kau ni nak peluk-peluk aku!” Bentak Fadzil sambil cuba melepaskan pelukan Amir terhadapnya.

‘Eeeeee….’ Bunyi seperti hilai tawa yang panjang bergema di ruang koridor hospital itu. Amir terus menjerit ketakutan dan berlari ke luar kawasan hospital menuju jalan besar meninggalkan Fadzil keseorangan di dalam. Fadzil yang tidak sempat memanggil Amir, menyumpah seranah di dalam hati kerana tindakan rakan baiknya itu.

Fadzil cuba mencari punca suara hilaian itu, namun semakin lama kedengaran semakin menjauh. Sedang dia mencari-cari, dia merasakan ada sesuatu yang memanggil namanya.

“Dil… Dil…”

Barangkali Amir agaknya, getus Fadzil di dalam hati. ‘Baru padan muka kau. Tadi kau tinggalkan aku, sekarang kau nak cari aku balik…’ Fadzil berpusing menuju ke arah koridor ruang utama hospital. Dengan tidak semena-mena, Fadzil menjerit dengan kuat sekali, “Aaaaaa!!!”.

Jam 1 pagi.

Amir, Hafiz, Jamal, Kudin dan Azri datang semula ke hospital itu. Amir yang ketakutan terus mencari rakan-rakan untuk datang membantu Fadzil, kerana khuatir berlaku kejadian buruk kepada Fadzil. Mereka berlima hanya terpaku di depan pintu hospital kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Apa yang penting, mereka harus segera mencari Fadzil.

“Kau pergi arah mana tadi, Amir?” Jamal bertanya.

“Aku dan Dil masuk pintu besar tu tadi. Kemudian aku dengar bunyi macam-macam, aku cabut lari terus.”

Bunyi cengkerik dan riang-riang masih bersahut-sahutan, malah lebih kuat lagi berbanding ketika Amir dan Fadzil mula-mula sampai.

“Dil! Fadzil!” Mereka berlima serentak memanggil Fadzil. Tiada respon. Kali ini mereka melangkah jauh ke dalam bangunan usang itu. Suasana gelap menyukarkan mereka mencari Fadzil. Ditambah pula dengan rimbunan dedaun dan dahan pokok yang agak besar menghalang pergerakan mereka di dalam bangunan itu. Sehingga mereka tiba di satu ruang legar yang agak besar, mereka terkejut kerana ruang itu seperti dijaga oleh seseorang. Ia kelihatan sangat tersusun. Terdapat sebuah katil bedah, ruang peralatan pembedahan yang disusun rapi, seolah-olah hospital itu masih digunakan.

“Eh, mana Azri?” Jamal bertanya apabila melihatkan hanya empat orang sahaja di situ.

“Tadikan dia ada?” Kudin kehairanan.

“Yelah, dia berjalan sebelah aku tadi.” Hafiz menegaskan.

Kehilangan Azri secara tiba-tiba mencetuskan rasa seram di kalangan mereka. Mereka sepakat berpatah balik menuju pintu besar untuk menjejak Azri. Pantas langkah kaki mereka keluar dari bilik misteri itu dan cuba untuk mendapatkan Azri. Tiba di suatu ruang, kedengaran suara lemah meminta tolong dari kejauhan.

“Tolong… tolong aku…”

Mereka hanya mendiamkan diri, cuba memastikan siapa pemilik suara itu, Azri atau Fadzil. Ternyata suara itu tidak seperti suara mereka berdua. Bila diamati, suara itu seperti suara wanita yang agak garau. Suara itu semakin lama semakin menghampiri mereka. Tiba-tiba, kedengaran suatu benda yang jatuh dari siling tidak jauh daripada mereka. Tanpa membuang masa, mereka berempat terus bertempiaran lari mengikut arah masing-masing.

Hafiz cuba untuk berpatah balik ke ruang bilik misteri itu tadi. Tidak disangkanya, dia terlanggar suatu benda yang besar di hadapannya dan terus pengsan. Manakala Jamal pula tersadung sesuatu di kakinya mengakibatkan dia jatuh terjelepok dan tidak dapat untuk bangun semula, mungkin kerana kakinya terseliuh. Dalam keadaan mengesot, Jamal gagahkan dirinya untuk keluar dari bangunan hospital berhantu itu, tetapi malang menimpanya apabila siling kayu jatuh menghempapnya dari atas.

Kudin pula tiba di perkarangan luar hospital dengan nafas tercungap-cungap kerana berlari dengan sekuat hati. Belum sempat Kudin menghilangkan kepenatannya, tiba-tiba dia kepalanya dihentak dengan objek keras di belakang sehingga dia tersembam ke tanah. Amir yang belum hilang ketakutan sejak dari awal lagi, masih tidak dapat keluar dari bangunan itu kerana tersesat. Dalam keadaan gelap dan kaget, dia tidak tahu mana arah pintu masuk hospital yang mereka lalui tadi. Sedang dia berhenti seketika untuk mengambil nafas, dia ternampak satu sosok tubuh berjalan lemah dari satu sudut ke arahnya.

“Fadzil! Ya Allah, apa dah jadi dengan kau?!” Fadzil yang hilang beberapa jam lalu kini di depan matanya. Terkesima seketika Amir melihatkan Fadzil.

Fadzil datang dengan keadaan lemah tanpa kedua belah tangannya! Tubuh Fadzil penuh dengan kesan darah. Kedua belah kakinya telah dipatahkan oleh seseorang menyebabkan langkahnya lemah dan tidak berdaya.

“Apa yang dah berlaku, Dil?” Amir cuba mendapatkan kepastian. Fadzil tidak menjawab. Dia cuba untuk berkata sesuatu tetapi tidak boleh kerana lidahnya juga telah dipotong!

“Ya Allah, kenapa Dil? Siapa yang buat kau macam ni?” Amir terus bertanya walaupun dia tahu dia tidak akan mendapat jawapannya. Resah, risau, takut dan pelbagai lagi perasaan menghantui Amir. Dengan tidak semena-mena, kedengaran dengusan kasar yang kuat dari hujung koridor. Amir cuba untuk melarikan diri bersama Fadzil tetapi keadaan Fadzil sebegitu menyukarkannya untuk bergerak.

Dalam kegelapan itu, Amir dapat melihat jelas tubuh seseorang yang agak besar sedang memegang sesuatu seperti senjata tajam menuju ke arah dia dan Fadzil. Amir yang sangat ketakutan terpaksa melepaskan Fadzil dan berlari laju ke satu lagi lorong. Dia akhirnya tiba di perkarangan hospital dan tanpa membuang masa dia keluar dari pagar hospital itu terus menuju ke balai polis yang berhampiran.

“Kau tak tahu ke cerita hospital hantu tu?” Inspektor Aizad bertanya kepada Amir yang duduk dalam keadaan menggeletar di depan kaunter aduan balai. Amir ditenangkan oleh beberapa anggota polis di situ dengan memberinya secangkir kopi.

“Cerita apa tu, tuan?”

“Orang kata, siapa yang suka-suka masuk kawasan hospital tu, tak akan keluar lagi. Ramai yang dah terkena. Tetapi bila pihak polis buat siasatan di situ, tak terdapat apa-apa yang mencurigakan.” Inspektor Aizad menjelaskan.

“Masuk kes kau ni, rasanya dah 20 kali. Tak apalah, kau rehat dulu. Esok kau ikut aku ke sana. Aku nak sambung siasatan, apa yang sebenarnya berlaku di sana.” Sambungnya lagi.

Keesokan pagi.

Inspektor Aizad, Amir dan beberapa anggota polis datang ke hospital itu untuk menyiasat kehilangan rakan-rakan Amir. Mereka memasuki bangunan usang itu untuk mencari jejak kelima-lima mereka. Walaupun hari siang, suasana muram dan kelam tetap menyelubungi bangunan hampir seabad itu. Langkah mereka penuh hati-hati, takut terpijak lantai usang atau benda tajam yang tak nampak di depan mata. Mereka akhirnya tiba di sebuah bilik misteri yang Amir dan rakan-rakan terjumpa semalam.

“Bilik apa ni? Macam bilik pembedahan je.” Inspektor Aizad kehairanan.

“Inilah yang kami jumpa semalam, tuan. Saya pun tak pasti bilik apa ni.” Balas Amir.

“Kemudian, apa yang berlaku?” Soal Inspektor Aizad semula.

“Kami cuba berpatah balik ke pintu besar, tapi belum sempat sampai ke situ, kami terkejut dengan macam-macam bunyi dan semua pun lari. Saya pun tak tahu yang lain ke mana sebab malam semalam memang gelap.” Amir menjelaskan.

Inspektor Aizad memeriksa keadaan bilik tersebut dan menjumpai sebuah pintu yang terselindung di sebalik almari. Alangkah terkejutnya apabila mereka mendapati terdapat lima mayat digantung di siling bilik kecil tersebut! Ada mayat yang sudah habis anggota badannya, ada mayat yang tidak berkepala dan ada satu mayat yang masih lengkap, iaitu Kudin!

Inspektor Aizad meminta petugas pengiringnya membuat panggilan ke ibu pejabat untuk pasukan sokongan, kerana mereka khuatir barangkali terdapat penjenayah bersenjata di dalam premis ini.

“Arghhhh..!!!” Kedengaran jeritan keras dari belakang Inspektor Aizad. Tanpa berlengah, Inspektor Aizad menembak seorang lelaki yang tiba-tiba menerpa di belakangnya yang memegang sebilah kapak. Bam! Tembakan peluru mengenai tepat di dada lelaki misteri itu. Lelaki misteri itu terbaring berlumuran darah. Ternampak kesan darah lama di pakaiannya, mungkin darah daripada mayat-mayat itu.

BERITA GEMPAR.

Lima mayat pelajar kolej swasta ditemukan dalam keadaan ngeri di sebuah hospital lama di Cheras. Kelima-lima mereka dipercayai telah dibunuh menggunakan alatan tajam oleh seorang lelaki yang pernah bertugas sebagai doktor di hospital tersebut. Lelaki berumur 70-an itu telah bersembunyi di hospital sejak hospital itu ditutup. Pihak berkuasa percaya lelaki tersebut menjadi kurang siuman setelah khidmatnya di hospital itu ditamatkan bersama dengan penutupan hospital tersebut.

Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes bunuh dengan niat. Polis juga masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kemungkinan terdapat unsur-unsur lain yang dikaitkan dengan peristiwa pembunuhan itu.

Tap! Alat kawalan jauh ditekan oleh Amir. Amir bangun dari katilnya dan menuju ke tingkap sambil melihat dari jauh kawasan hospital itu dari jendelanya sambil mulutnya tersenyum…

Mencari ruang untuk diri sendiri, agar mereka di luar sana tahu apa yang aku fikirkan.

Love10
Razif Rahim
Razif Rahim
Mencari ruang untuk diri sendiri, agar mereka di luar sana tahu apa yang aku fikirkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *