Kaklong, Kita Lari Sama-Samalah
April 19, 2018
Pugai (Sissy)
April 20, 2018

Hutan Berpenghuni

Views:   378

Orang selalu kata, deria keenam ini istimewa. Boleh nampak perkara ghaib. Tetapi pada aku, deria keenam ini kadang-kadang berguna, kadang-kadang tidak. Bergantung kepada situasi. Ada masanya perlu, ada masanya membazir tenaga dan masa.

“Zamir, kau rasa tempat ni berpuaka tak?” Kawanku, Alif bertanya ketika kami melalui sebuah rumah agam lama di pinggir kampung.

“Entahlah, mana aku tahu.” Jawabku pendek.

“Kau kan boleh rasa benda-benda ghaib. Takkan tak ada apa-apa kot,” balasnya.

“Apa kau ingat, benda-benda macam tu boleh nak rasa tak rasa?”

“Ala, rileklah. Aku gurau je. Tapi mana tau kan kalau-kalau ada hantu…”

Aku cuma memandangnya tanpa berkata apa pun. Kalau diteruskan, mungkin berpanjangan pula. Aku biarkan sahaja Alif itu hanyut dalam khayalannya. Tidak semua perkara aku perlu rasakan kehadiran makhluk ghaib itu perlu. Jadi, walaupun ketika melintas rumah agam itu, aku dapat rasakan sesuatu, tetapi aku hanya membiarkan sahaja perasaanku itu berlalu.

***

Hari Rabu.

Minggu ini perkhemahan unit beruniform akan dijalankan, di sebuah kawasan hutan simpan di Segamat. Seperti biasa, aku sebagai guru bertanggungjawab menyediakan tapak perkhemahan, sudah bersedia dengan segala peralatan dan keperluan lain. Oleh kerana tempat ini sangat jauh dari jalan utama, aku perlu sediakan pelan kecemasan sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini.

Aku tiba di tapak ini lebih awal untuk menyiapkan tempat dan memastikan semua hal telah disempurnakan, lebih-lebih lagi khidmat renjer hutan yang kami perlukan untuk aktiviti kembara. Maklumlah, kawasan ini asing bagi kami, maka perlu ada petugas yang biasa akan selok belok sekitarnya.

“Cikgu Zamir, ada apa-apa lagi yang cikgu perlukan di sini?” Tanya seorang renjer yang bernama Hamid.

“Tak ada apa, tuan Hamid. Kalau ada apa-apa, nanti saya hubungi tuan.”

“Baiklah, saya terpaksa bergerak dulu ke Pejabat Hutan kerana ada urusan penting. Harap cikgu dan yang lain selesa berada di sini.” Balas Encik Hamid kepada aku.

“Terima kasih,”

“Sama-sama.”

Seronok melihat gelagat anak murid yang datang ke tapak perkhemahan ini. Teruja. Maklumlah baru menempuh pengalaman pertama berkhemah, jauh dari rumah dan keluarga. Aku cuma gelak kecil sahaja di dalam hati. Biasalah, budak-budak.

Cikgu Hisyam memberikan sedikit taklimat kepada murid-murid dan mengingatkan perkara penting yang perlu dilakukan semasa perkhemahan. Keselamatan, itu perkataan yang selalu disebutkan olehnya. Murid-murid, mengangguk faham akan pesanan cikgu itu.

Sementara hari masih lagi cerah, murid-murid mempersiapkan tapak khemah masing-masing dan bersedia untuk aktiviti pertama pada petang hari pertama. Tugas aku pula memastikan agar tiada apa-apa perkara yang tak diingini berlaku. Jadi kebanyakan masa aku dihabiskan di bahagian urusetia sahaja. Dalam pada itu, aku juga membantu cikgu-cikgu lain menjalankan aktiviti.

Dalam pada itu, aku dapat rasakan sesuatu yang kurang enak pada deria keenam aku ketika aku merayau-rayau di satu kawasan di bahagian air terjun. Walaupun jaraknya tidak jauh daripada tempat parkir kenderaan, tetapi naluri aku tetap mengatakan ada ‘sesuatu’ yang menghuni kawasan itu.

“Zamir, kau okey ke?” Tanya sahabat sekerjaku, Haris.

“Okey je. Cuma aku rasa tak sedap hatilah.”

“Kalau ada apa-apa, beritahulah aku.” Haris menyambung.

Oleh kerana keadaan hampir menginjak ke Maghrib, aku cuma andaikan mungkin kerana hari semakin gelap. Setelah selesai aktiviti petang, kami guru-guru bersiap-siap untuk membimbing solat jemaah bersama murid-murid. Dan kami penuhi waktu Maghrib ke Isyak dengan bacaan Yaasin dan solat hajat mohon agar semua urusan dipermudahkan.

Malam ini pula, aktiviti “burung hantu” akan dijalankan. Pada mulanya aku kurang setuju dengan aktiviti ini, dan aku suarakan kepada Kem Komandan, tetapi dia jamin keselamatan murid-murid terjaga. Mengapa aku kurang setuju, kerana aku dapat bayangan bahawa “penghuni” tempat ini tidak suka tempatnya diganggu.

Seusai solat Isyak, cikgu Hamidin mengetuai barisan murid yang akan ditempatkan berseorangan di sekitar laluan masuk utama dari jalan besar ke tapak perkhemahan. Seorang demi seorang diletakkan tidak berapa jauh antara satu sama lain. Ketika di hujung jalan, aku seperti merasakan ada mata yang memandang pada aku di balik rimbunan dedaun pokok hutan di tepi jalan. Aku memandang ke arah pokok-pokok di kiri kanan jalan masuk itu, namun tidak kelihatan apa-apa. Sambil aku melalui jalan itu, dengan keadaan yang sangat gelap, tanpa cahaya bulan dan tanpa cahaya lampu suluh, aku bergerak memastikan murid-murid aku baik-baik sahaja.

“Haris, aku rasakan ada sesuatu yang tak baik malam ni,” aku mengeluh pada Haris.

“Kau ada rasa apa-apa ke?” Haris yang tahu kebolehan aku, bertanya.

“Rasa tu memang ada, tapi aku tak anggap benda tu serius.”

“Apa maksud kau?”

“Mungkin ‘dia’ hanya nak bermain-main sahaja. Bukan ingin mengganggu orang.” Ujarku.

Sekilas, aku seperti melihat bayang hitam di tepi jalan, terperosok di sebalik rimbunan pohon-pohon hutan. Aku cuba untuk tidak endah kepada bayang tersebut, apa yang penting murid-muridku semua selamat. Bayang itu masih tidak bergerak. Tiba-tiba kedengaran bunyi, seakan-akan bunyi dengusan berselang seli bunyi tangisan sendu, cuma aku kurang pasti apakah ia bunyi haiwan atau ‘makhluk’ itu.

Aku melangkah pantas ke hujung jalan, tempat murid terakhir diletakkan. Ada beberapa orang cikgu duduk tidak jauh daripada murid terakhir itu. Mulanya aku ingin suarakan apa yang aku rasakan tadi, tetapi aku pendamkan dulu perkara itu sehingga semuanya selesai.

Mujur malam itu berlalu tanpa perkara tidak diingini berlaku. Semua murid pulang ke khemah masing-masing setelah tamat aktiviti malam itu.

***

Hari Khamis.

Aktiviti ‘jungle tracking’ memang seronok dan mencabar. Namun, perlu diketahui, walaupun aktiviti ini di siang hari, belum tentu yang ghaib itu berehat pada waktu ini. Hanya ‘mereka’ ini disamarkan melalui desiran angin atau bunyi-bunyian yang pelik yang boleh dirasakan oleh pemilik deria keenam.

Sedari awal, aku tidak mengesyaki apa-apa perkara pelik ketika melalui pintu masuk ke hutan. Cuma aku perlu mengingatkan murid-murid supaya tidak membuat perkara yang tidak baik ketika berada di dalam hutan.

“Cikgu nak ingatkan semua, bila berada di dalam hutan, paling penting jangan tinggalkan kawan-kawan kamu! Bila berjalan, mesti bergerak bersama-sama!” Tegasku.

“Baik, cikgu!”

‘Jungle tracking’ ini dibimbing oleh renjer hutan yang maklum selok-belok hutan ini. Ada juga mereka berpesan sama seperti apa yang aku pesan.

Ketika sampai di satu kawasan, murid-murid aku semua di hadapan manakala aku, Cikgu Haris dan Cikgu Marwan di belakang sekali, memantau pergerakan murid. Aku mendengar bunyi seperti reriang atau orang selalu panggil riang-riang. Halus dan berirama, bagai memanggil-manggil sesuatu. Aku cuba menoleh mencari bunyi itu, sehingga aku terpandang di sebalik pokok besar, seekor harimau sedang bersembunyi di situ! Kelihatan kepala dan sebahagian badannya sahaja. Aku tergamam.

“Zamir, jom!” Haris memanggil dari kejauhan. Aku tersedar dan cepat-cepat aku beredar dari situ.

Mujur hingga tamat, tidak ada benda pelik yang mengikut atau bunyi-bunyi lain yang mengganggu. Petang itu semua murid dan cikgu pengiring terjun ke dalam sungai untuk bersuka ria setelah penat berjalan di dalam hutan. Tugas aku pula mengawasi murid-murid supaya mereka tidak terlalu gembira hingga terjadi perkara tidak diingini.

Malangnya menjelang Maghrib, hujan lebat pula. Habis kawasan perkhemahan kami dibasahi. Tambah malang, minyak untuk generator pula kehabisan dan kawasan perkhemahan ini tidak dilengkapi bekalan elektrik yang sempurna kerana ia terletak terlalu jauh dari jalan utama. Maka pelan kontigensi diaktifkan dan semua murid dan guru akan bermalam di kabin pejabat renjer hutan di pintu masuk utama.

Aku dan Haris berbual mengenai perasaan tidak selesa aku terhadap hutan lipur ini. Haris pula seperti tidak mempercayai apa yang aku katakan tetapi dia tetap yakin aku merasainya. Aku dan Haris bersetuju untuk tidak memaklumkan kepada semua perihal kejadian semalam dan hari ini.

Menjelang tengah malam, tiba-tiba Cikgu Faridah datang kepada aku memaklumkan seorang murid perempuan mengalami demam panas. Aku menyangka barangkali kerana ruang yang sempit dan mereka pula tidur bersesak-sesak di ruang legar pejabat ini menyebabkan murid itu demam.

“Hiiii…” Kedengaran suara hilai tawa dari hujung bangunan. Tergamam seketika aku dan beberapa orang cikgu yang berjaga di malam itu. Terus aku menuju ke arah suara itu. Rupa-rupanya murid perempuan yang demam itu sedang bertenggek di atas palang kayu di hujung bangunan. Mukanya sangat menakutkan dengan matanya kemerah-merahan.

Mujur Ustaz Aiman datang dengan pantas dari surau tempat murid lelaki berlindung dari hujan. Ustaz Aiman mula membacakan ayat-ayat suci sambil murid perempuan itu ketawa melihat kelakuan Ustaz Aiman. Dengan cahaya lampu yang terhad kerana tiada bekalan elektrik, aku tidak dapat melihat dengan jelas keadaan genting itu. Ditambah pula dengan hujan yang lebat, menyukarkan pergerakan aku dan rakan-rakan guru lain menenangkan situasi tersebut.

“Kenapa kau tak hormat tempat aku!” Murid perempuan itu bersuara tetapi suaranya agak kasar.

“Kami minta maaf, kami tak tahu tempat ini berpenghuni,” balas Ustaz Aiman.

“Kamu semua dah melampau!” Bentak lembaga yang berada di dalam tubuh murid itu.

“Kami datang untuk buat aktiviti kami, bukan mengacau kau!” Kali ini Ustaz Aiman cuba melawan semula makhluk itu. Lalu dia meneruskan bacaan ayat-ayat suci.

Akhirnya murid perempuan itu tersedar dan menangis. Cikgu Faridah memujuk murid itu supaya tidak berterusan tangisannya. Ustaz Aiman pula membuat sesuatu di sekitar kawasan pejabat agar makhluk tadi tidak datang semula. Dan malam itu pun berlalu dengan selamat.

***

Hari Jumaat.

Hari terakhir. Aku memutuskan untuk memberitahu rakan-rakan guruku tentang apa yang terjadi. Lalu kami membuat keputusan untuk bergerak dengan segera daripada tapak perkhemahan ini. Walaupun dalam keadaan kelam kabut, tetapi kami tetap menjaga keselamatan ketika kami semua ingin beredar dari sini. Segala persiapan penutup dan sebagainya, kami tangguhkan dan kami laksanakan semula ketika di sekolah.

Kenangan ini antara yang paling tidak dapat aku lupakan sepanjang bergelar pendidik, kerana banyak tempat perkhemahan yang telah kami pergi, tidak sangka tempat ini yang paling seram yang pernah kami lalui.

Dan ini sebenarnya mengajar aku bahawa persediaan rapi perlu dilakukan termasuk ‘mengimbas’ kawasan tersebut sekiranya ada apa-apa yang tidak normal. Mungkin kelebihan inilah yang sepatutnya aku gunakan bagi kebaikan semua.

Tak apalah, sekurang-kurangnya aku mampu untuk ‘berjasa’ kepada mereka yang memerlukan!

Mencari ruang untuk diri sendiri, agar mereka di luar sana tahu apa yang aku fikirkan.

Love3
Razif Rahim
Razif Rahim
Mencari ruang untuk diri sendiri, agar mereka di luar sana tahu apa yang aku fikirkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *