BILIK 203
April 18, 2018
Hutan Berpenghuni
April 19, 2018

Kaklong, Kita Lari Sama-Samalah

Views:   179

Aku pernah belajar di sebuah negara Arab, Yaman. Dengan family sekali.

Ingat tak masa isu ramai pelajar Malaysia balik dari Yaman sebab berlaku peperangan di negara tu? Aku dan keluarga salah satu dari mereka.

Pertama nak cerita, Yaman ni negara arab yang paling seronok yang pernah aku pergi. Bulan ramadhan yang hidup, rakyat dia baik dan ramah Ada tersangat banyak kelas-kelas talaqi (tinggal nak pergi atau tak nak).

Orang Yaman ni pula, antara orang arab yang paling lembut selain Syria. Jadi nak cerita memang seronok sangat belajar kat sana.

Tetapi, yelah. Langit tak selamanya cerah. Pada tahun 2014, terjadinya peperangan yang besar di Yaman. Melibatkan puak sunni dan syiah houthi. Dasyat peperangan ni, ramai yang mati.

Ingat lagi masa hari pertama bermula peperangan tu, baru sahaja pagi itu kami medaftarkan seorang adik kami di salah sebuah sekolah i’dadi (rendah) swasta di Yaman.

Waktu dalam perjalanan pulang ke rumah (sekolah dengan rumah kami dekat sahaja, dan kebiasaannya pelajar Malaysia tidak ada kenderaan sendiri) kami singgah ke baqolah (kedai runcit) untuk beli sayur untuk dimasak hari itu.

Tapi, sedang kami membeli barang, tiba-tiba datang seorang lelaki arab dari belakang kami menjerit-menjerit kepada tuan kedai ‘tutup kedai kamu cepat, mereka dah nak mulakan!’ dan keadaan sekeliling kami tiba-tiba jadi kacau bilau. Semua berlari-lari pulang. Si pemilik kedai cepat-cepat menghalau kami kerana mahu tutup kedai dengan segera.

Kami yang tidak faham dengan situasi yang berlaku hanya pulang dalama keadaan yang terkebil-kebil sahaja.

Sejurus sampai dirumah, umi terus memasak untuk makan tengahari, sambil-sambil tu aku ceritalah. Sedang tengah umi memasak, kedengaran bunyi tembakan demi tembakan di luar rumah. Kami sangkakan itu bunyi tembakan majlis kahwin (adat orang arab, ada acara menembak dalam majlis kahwin) kami sekeluarga pun naik ke loteng rumah untuk lihat keadaan yang berlaku.

Bila diatas, kami lihat sekeliling tiada majlis kahwin yang berlangsung, agak pelik, dari mana datangnya bunyi tembakan tadi?

Kami toleh sahaja kesebelah kanan, selang 3 rumah dari rumah kami, sekumpulan askar-askar sedang menyiapkan alat-alat-alat untuk perang. Apalagi, kami terus berlari turun ke dari loteng.

Tiba-tiba dapat panggilan telefon dari ketua persatuan pelajar Yaman, bahawa tempat yang kami duduk tu ada sebuah bukit, sudah ditawan oleh askar-askar untuk memulakan peperangan dan kami kena segera lari dari rumah itu. ‘Bas dalam perjalanan untuk ambil keluarga abang, siap semua barang!’ arah ketua pelajar tersebut kepada ayah aku.

Dengar sahaja arahan itu, kami segera bungkus barang-barang yang penting sahaja, lauk yang umi masak pun tidak sempat dijamah. Kami ketakutan. Menggigil badan dengar arahan tadi.

Selesai membungkus barang abah arahhkan kami untuk ke tempat biasa kami tunggu bas. Masing-masing bawa beg masing-masing. Cuma abah, bawa barang paling banyak dia yang bawa barang-barang penting kami, sijil sekolah, passport dan dia juga yang bawa barang umi, sebab umi dukung adik.

Kami nak bawakan barang yang dia pikul, dia tak bagi. Dia kata ‘biar abah yang bawa, kamu semua pergi dahulu’.

Kami tetap tak mahu pergi, kami nak pergi bersama-sama abah.

Aku pegang tangan seorang lagi adik lelaki aku yang waktu itu baru berumur 3 tahun.

Tiba-tiba,

Satu bom, meletus dibelakang rumah kami. Tanah yang kami pijak waktu tu bergegar. Berdesing telinga, tak tahu nak cerita.

Terus kami berlari ke tempat menunggu bas. Dari jauh sudah nampak bas sudah sampai. Pelajar malaysia yang ada dalam bas tu, melambai ke arah kami sambil menjerit ‘cepat korang!’.

Aku yang waktu itu menggelabah, pusing belakang, abah masih lagi sedang kunci pintu pagar rumah, nampak dari jauh muka abah, pucat. Jadi aku apalagi, tiba-tiba dia datang semangat nak pergi bantu abah. Dah nak dekat dengan bas, aku lepaskan tangan adik, suruh dia terus ikut dengan adik-adik aku yang lain naik bas tu (aku tunjuk ke arah bas di depan). Tapi dia tak mahu lepaskan tangan sambil pandang aku dengan muka sedih, tapi dia cakap dengan suara yang tegas sambil pegang tangan aku erat-erat ‘kaklong, kita lari sama-samalah’

Aku yang dengar dia cakap begitu, tak tahu kenapa tiba-tiba rasa nak nangis (dalam hati rasa, takpelah kalau mati pun mati syahid, sebab kami datang sini nak tuntut ilmu).

Pusing belakang, nampak abah sedang berlari-lari ke arah kami, aku dan adik aku terus sambung berlari ke bas, dan abah juga.

Terus sahaja bas bergerak meninggalkan kawasan perumahan kami, dan kami dibawa ke kedutaan yang mana disitu ditempatkan pelajar-pelajar Malaysia yang lain.

Ini pengalaman yang paling tak dapat aku lupakan, walupun dah 5 tahun berlalu aku masih dapat rasa bagaimana sejuknya tangan adik masa dia genggam erat tangan aku.

Sampai Malaysia, adik aku masih fobia dengan bunyi mercun, dia fikir tu bunyi bom. Kesian dia.

Alhamdulillah, Allah bagi peluang rasa.

Bagaimanalah saudara kita di Palastin? Hari-hari, situasi mereka begini, bahkan lagi teruk.

Ampunkan kami Ya Allah atas kelalaian kami di Malaysia ini.

Love0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *