Remang Gelap Puncak Alam
April 12, 2018
Princess Snow Wolf Endless Love – Bahagian Pertama
April 12, 2018

Kisah Seram Sebabak

Views:   973

Pernah tak kau rasa, sewaktu malam yang dah makin menginjak waktunya. Dengan mata yang tak reti nak pejam. Yang kedengaran hanyalah bunyi deru nafas kau sendiri, ditemani dengan cahaya dari skrin telefon. Bunyi kucing nak mengawan yang membingitkan, dengan hembusan angin yang kuat di luar rumah. Ditambah dengan hiruk pikuk enjin motor kapcai yang sedang berlumba. Dan tiba-tiba sahaja suasana itu bertukar jadi sunyi sepi. Tiada satu bunyi pun yang kedengaran. Hinggakan deru nafas sendiri tidak berbunyi. Bilik yang suam-suam kuku menjadi sejuk tiba-tiba. Badan kaku dipembaringan. Tidak mampu bergerak walau seinci. Hanya mata yang meliar ke sana-sini – tak tentu arah. Jantung tidak berdegup dengan stabil. Bilik yang sebelum ini diterangi dengan malap lampu jalan tiba-tiba menjadi gelap gelita.
“Ainul…”
Kedengaran nama diseru-seru perlahan. Macam berbisik, halus dan gemersik. Tapi sungguh tidak menawan sekali tambah-tambah pulak bila sebenarnya kau sedang bersendiri.
Badan terasa berat seperti dihempap perlahan-lahan. Roma tegak berdiri, dan terasa seperti ada juntaian rambut menyentuh bahu. Otak cergas berfikir jalan keluar. Lidah cuba mengucap kalimah suci, namun terasa liat dan keras seolah-olah perkataan ‘ALLAH’ tu tak pernah meniti di bibir. Berhempas pulas dan terasa sungguh lama untuk bebas. Berusaha hingga berjaya memanggil Tuhan sekalian alam dengan susah payah.
Tatkala bebas, nafas terasa singkat. Peluh dingin membasahi badan dan dahi. Lencun, tapi disebabkan apa yang baru terjadi segala niat yang ada dibatalkan saja. Dengan terketar-ketar macam Parkinson, selimut ditarik menutup seluruh badan. Hanya dua biji mata yang masih melilau keresahan. Manalah tahu kalau-kalau si ‘dia’ datang kembali.
Dan malam kian merangkak. Deru angin di luar kedengaran kembali. Dan perlahan-lahan mata terpejam.
*
Dagu ditongkat dengan tangan. Mata masih melekap pada telefon di hadapan. Memandang kosong akaun facebook yang sunyi dengan info yang menarik. Hanya berkisarkan keinginan hidup manusia-manusia yang kebosanan. Hidup penuh angkuh dengan kelebihan sendiri. Dan entah berapa kali rengusan kebosanan meluncur keluar.
“Encik Ainul?” sapaan itu sedikit mengejutkan. Kepala diangkat dan seraut wajah yang belum pernah dilihat sebelum ini direnung dengan tanda tanya.
Serba salah kepala dianggukkan. Lelaki misteri itu menjungkit senyum sebelum dengan perlahan dia meminta izin untuk duduk di kerusi kosong. Pelbagai soalan menerjah kepala batu ini, siapa dia dan apa yang dia mahukan.
“Saya dihantar untuk melindungi Encik Ainul.” Beritahunya. Termanggu-manggu dibuatnya dengan permulaan bicara yang tiba-tiba itu. Sejak bila diri ini menjadi begitu penting hinggakan ada orang yang risau dengan keadaan diri? Kalau difikirkan, diri ini bukan sesiapa pun. Tak pernah dihiraukan.
“Tempat ni tak selamat. Ada orang mahu melakukan sesuatu yang tidak baik pada Encik Ainul.” Sambungnya. Tenang dengan suara sedikit perlahan. Dia mengukir senyum nipis.
“Jadi?” soalan yang meluncur dengan nada tidak berminat.
“Saya bertanggungjawab untuk melindungi Encik Ainul…” kata-katanya terhenti di situ. Memandamg tangan yang dilambai ke mukanya.
“Kejap. Kau siapa sebenarnya? Aku tak pernah kenal kau.” Wajah lelaki itu direnung dengan perasaan tak puas hati. Entah muncul dari mana, perkenal kan diri pun tidak. Ngomelan itu hanya bergema dalam dada.
Wajah lelaki itu berubah pucat tiba-tiba. Dia berdiri dengan agak kasar hinggakan kerusinya jatuh ke lantai.
“Kita kena pergi sekarang. Orang tu ada kat sini.” Beritahunya, agak kalut kedengaran nada suaranya. Wajah lelaki itu dipandang hairan. Dia terus berpaling, baru saja dia nak melangkah dia kembali berpaling.
Reaksi wajahnya kosong. Matanya membesar, memandang tanpa berkelip. Tangannya menyeluk poket seluar dan sebilah pisau mencukur di keluarkan.
“Aku perhatikan kau.” Katanya separuh berbisik, dan tanpa sempat ditahan pisau itu di bawa ke leher sendiri lalu dengan sekali rentap pisau itu menoreh batang lehernya. Darah memancut keluar hinggakan membasahkan meja dan kawasan sekitarnya. Serta merta tubuh lelaki itu jatuh ke lantai dan menggelupur di situ. Menggeletek bagainya ayam yang disembelih. Anehnya tiada siapa yang peduli.
Bangun dan bergegas pergi dari situ. Jantung yang berdetap laju menghentak dada terasa cukup menyesakkan. Langkahnya laju terasa seperti di awang-awangan.
“Ainul!” kedengaran nama dipanggil. Terasa sayup-sayup sahaja seperti di kejauhan. Mata mula melilau mencari arah datangnya suara itu. Akhirnya pandangan mata terhenti pada satu susuk tubuh yang berdiri tidak jauh dari bangunan itu sedang melambai-lambaikan tangannya. Dengan berlari-lari anak, tubuh itu cuba didekati namun entah mengapa dia tetap menjauh.
“Ainul!” sekali lagi nama diseru. Kali ini suaranya kedengaran cukup dekat sekali. Betul-betul dekat di telinga. Laju saja berpaling, dan entah mengapa tubuh menjadi kaku.
Wajah yang memakai mask berwarna itu direnung dengan penuh minat. Mulut mahu bertanya, tapi lidah terasa kelu. Lelaki berbaju serba hitam itu ketawa tiba-tiba. Pandangan matanya tajam merenung hingga ke dasar hati.
“Aku tahu kau tertanya-tanya siapa aku.” Gerutu lelaki itu. Dia tunduk sedikit sambil tangannya membuka mask yang dipakainya. Dan tatkala wajah itu mengangkat mukanya, wajah terasa berderau. Bulu roma meremang – tegak berdiri. Terasa bagaikan sedang melihat diri sendiri dalam cermin.
“Aku adalah kau, dan kau adalah aku. Kita adalah satu.” Sambungnya, hinggakan suaranya kedengaran sama seperti suara sendiri.
“Tak mungkin.” Gumam mulut ini. Tidak percaya.
“Hakikat Ainul, hakikat. Aku berada di dasar hati kau yang paling dalam. Akulah keresahan, kesunyian, kesedihan dan akulah dendam yang terpendam dalam jiwa.” kata-katanya langsung tidak kedengaran masuk akal. Ini semua tipu!
“Tengok muka aku Ainul! Muka yang sama dengan kau. Tak mungkin aku menipu, dan kau sebenarnya tahu aku tidak menipu.” Sambungnya seolah-olah boleh membaca apa yang terlintas di fikiran.
“Apa yang kau nak dari aku?” Soalan itu membuatkan dia tergelak.
“Aku datang untuk bebaskan kau dari ‘kesengsaraan’ yang kau rasa. Kebaikan yang sentiasa ditolak, diambil kesempatan. Hidup merempat, dihina keluarga sendiri. Diperkotak-katikkan oleh orang sekeliling. Dendam yang tak terluah. Kesedihan yang membunuh jiwa. Semangat yang hampir mati. Itulah tujuan aku datang. Mahu bebaskan kau dari segala-gala perasaan yang membuatkan putus asa.” Hujahnya. Tercengang dibuatnya tatkala mendengar kata-katanya.
“Jadi apa yang perlu aku buat?”
Senyuman tersungging di bibir. Entah mengapa wajah itu walaupun sama auranya berlainan. Terasa ada aura hitam menyelubungi lelaki berbaju serba hitam itu. Pandangan matanya berubah menjadi menakutkan. Mata putihnya berubah menjadi hitam.
“Pusing ke belakang.” Arahnya. Tanpa sedar, arahan itu diikutkan sahaja tanpa bantahan.
Entah bila diri ini sudah berdiri di hujung bangunan, dan pandangan terasa gayat. Entah tingkat berapa tubuh ini berdiri. Pandangan serta merta berpinar.
“Terjun, dan kau bebas.” Bisik suara itu ke telinga. Deru nafasnya ikut terasa di cuping.
“Tenang, takde apa yang akan jadi. Takkan kau tiba-tiba takut mati bila kau setiap hari terfikirkan mati?” ejek suara itu.
“Aku…” kata-kata itu mati di situ.
“Percayalah, kau akan selamat. Bukan ke kebebasan yang kau cari selama ni?” bisiknya lagi.
“Sampai bila kau nak menghadap manusia-manusia yang tak pernah nak hargai diri kau. Terjun dan mulakan hidup baru.”
Entah mengapa pujukan itu berhasil memberi keyakinan. Pandangan mata kembali dialihkan ke arah kaki lima bangunan itu yang sayup-sayup kelihatan di bawah sana.
Betul! Sebenarnya tiada siapa kisah tentang apa yang terjadi pada aku. Aku harus mulakan hidup baru. Gerutu hati. Tekad. Mata dipejamkan, tubuh dipusingkan dan tanpa rasa agak-agak tubuh dilontar ke udara. Dan saat itu kedengaran suara lelaki itu ketawa terbahak-bahak.
“Bodoh!” jeritnya dari atas. Dan saat itu barulah kesedaran datang yang diri ini sudah ditipu. Shit! Air mata merembes keluar, dan perlahan-lahan mata dipejam.
Ini pengakhiran….
*
Dam!!
Pinggang terasa sakit. Spontan mata terbuka. Kepala pula terasa berdenyut, dan badan terasa lenguh. Kepenatan. Peluh memercik di dahi. Ingatan terpusar pada kejadian tadi. Automatik tangan merayap ke muka dan badan memastikan yang diri ini masih bernyawa.
Tangan melekap di dada. Yes! Aku masih hidup. Jelas terasa degupan jantung. Kepala digaru sambil menolak badan bangun dari lantai. Badan berdiri tegak, dengan terhuyung-hayang kaki dihayun ke luar bilik. Langkah kaki terhenti tatkala kaki terlanggar sesuatu.
Mamai terus menghilang entah ke mana saat mata terpandangkan dua batang tubuh kaku di hujung kaki. Tubuh-tubuh itu sangat dikenali. Darah memercik dan mencemari lantai dan dinding rumah. Mata tubuh-tubuh itu terbuntang kaku. Kepala dan badan hampir putus. Mulut mereka terbuka luas dengan lidah terjulur keluar. Tubuh terus terasa longlai, serta merta terduduk di sebelah tubuh-tubuh itu.
“Mak…! Ayah…!” terasa sayu suara memanggil emak yang tidak bernyawa. Terketar-ketar tangan memandang tangan sendiri yang sudah berlumuran darah.
“A… apa… yang dah jadi ni?” soalan itu tergantung tanpa jawapan. Entah berapa kali tangan ditelek dengan dan belakang.
Kepala dipegang dan digaru – serabut. Cuba mengingati apa yang berlaku namun tiada satu petunjuk pun yang boleh dijadikan jawapan.
“Arghh….!” Jeritan bergema dalam rumah kosong itu. Dari satu jeritan bertukar menjadi hilaian tawa yang makin menggila.

An underdog writer, an outsider, a dreamer, an introverted traveller, a cat addict

Love3
TheDark
TheDark
An underdog writer, an outsider, a dreamer, an introverted traveller, a cat addict

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *