Wonder-Kid! Chapter 5
May 1, 2018
Hampir Ditikam! Nis, Serbia 2017
May 2, 2018

Konniciwa! Jepun Bab 2

Views:   445

Bab 2: Satu hari di Tokyo

TOKYO

Tokyo sebuah kota metropolitan yang merupakan ibu negara Jepun. Terletak di kawasan Kanto dalam wilayah Tokyo kepulauan Honshu. Terdapat 23 wad mengikut bahagian di Tokyo.

Shinjuku merupakan bandar utama di Tokyo. Selepas kakiku melangkah ke bandar Shinjuku Tokyo hari kedua, aku amat teruja kerana dapat memijakkan kaki di sebuah bandar utama yang terbesar di Jepun, padat dengan orang ramai dan bangunan moden pencakar langit serta sistem pengangkutan yang efisen yang paling sibuk di dunia. Walaupun Tokyo pesat membangun tetapi masyarakat Jepun yang tinggal di Tokyo mereka masih mengekalkan sikap dan budaya yang tersendiri. Itulah yang aku kagumi dengan masyarakat Jepun.

Hujan membasahi bumi Tokyo dengan cuaca 15° selsius. Awal pagi itu, aku dan rakanku masih berada di stesen Shinjuku. Berdekatan dengan stesen Shinjuku, aku terlihat pusat informasi pelancong dan terus ke tempat itu dan bertanya mengenai maklumat di Tokyo. Petugas di situ cantik dengan berpakaian kimono sangat mesra serta membantu memberi penerangan kepada kami dengan jelas berkaitan tempat-tempat menarik di Tokyo. Kami memilih untuk membeli pas tiket Metro kerana memudahkan pergerakan kami dan dekat dengan penginapan serta tempat yang kami rancang. Tiket metro boleh digunakan untuk perkhidmatan subway Metro dan Toei sahaja dan kami pilih tiket 24 jam kerana kami berada di Tokyo hanya 1 hari.

Pagi itu kami perlu rehat dan mahu bersihkan diri. Sambil berjalan, akhirnya terjumpa sebuah internet cafe bernama Mambo cafe. Di Mambo cafe terdapat bilik-bilik kecil yang boleh memuatkan hanya 1 orang atau 2 orang dalam satu bilik. Di Mambo cafe menyediakan perkhidmatan untuk melayari internet dan membaca buku. Selain itu, mereka menyediakan perkhidmatan untuk istirahat dan bermalam mengikut jam yang ditetapkan. Di situ juga disediakan bilik mandi dan tandas dan di caj mengikut waktu yang ditetapkan. Terdapat banyak buku-buku komik Jepun bagi mereka yang mahu membaca.




Aku dan rakanku terpaksa menunggu 4 jam untuk menggunakan perkhidmatan bilik mandi di Mambo cafe itu. Petugas di situ tidak pandai berbahasa Inggeris, menyukarkan kami untuk berinteraksi. Sambil menunggu, kami diberi peluang untuk makan dengan makanan yang di bawa dari Malaysia, di situ ada disediakan air panas bagi memudahkan kami untuk makan dan selepas itu kami bergilir untuk mandi kerana bilik air ada satu sahaja disediakan dengan bayaran ¥300 seorang dan di beri masa 1/2 jam sahaja.

Jam menunjukkan hampir 12.15 tengahari, jadi kami segera ke stesen subway untuk terus ke tempat penginapan kerana waktu masuk bermula 1 petang.

Kami turun dari eskalator mengikut cara orang Jepun lakukan dan ternampak ada sesuatu perkara yang menarik perhatianku kerana di Tokyo terdapat peraturan di mana jika mahu menaiki eskalator mesti bermula dari sebelah kiri manakala sebelah kanan untuk kecemasan atau laluan cepat.

Sepanjang perjalanan di stesen Shinjuku, aku terlihat ramai pemandu pelancong sukarelawan berpakaian berwarna biru untuk membantu pelancong yang berada di situ. Ada seorang pemandu pelancong warga emas yang menawarkan perkhidmatan kepada kami. Lelaki warga emas ini fasih berbahasa Indonesia kerana tinggal lama di Indonesia. Dia membantu menunjukkan arah jalan tempat subway untuk kami.

Tempat penginapanku adalah di Ichigaya Shinjuku jadi stesen yang terdekat adalah di Akebonobashi, aku dan rakanku menaiki subway Toei dan hanya 4 minit sahaja kami sampai di stesen Akebonobashi. Dari stesen Akebonobashi kami berjalan kaki dalam masa 5 minit dan akhirnya kami sampai ke tempat penginapan. Aku pilih lokasi penginapan di sini kerana berdekatan dengan stesen Shinjuku dan harganya masih berpatutan. Tempat perumahan itu umpama rumah pangsapuri, kami masuk ke rumah itu menggunakan kata kunci yang diberikan oleh hos kami. Saiz rumah amat kecil tetapi nampak comel lengkap dengan semua kemudahan yang ada dan hanya ada 1 bilik yang boleh memuatkan maksimum 4 orang sahaja, sesuai untuk kami berempat tinggal di rumah itu. Selepas meletakkan beg dan solat, kami terus ke destinasi mengikut itinerari yang dirancang.

Kami kembali ke stesen Akebonobashi dan menaiki subway Toei ke Shinjuku-sanchome dan bertukar subway ke stesen Meiji-jingumae (Harajuku) dengan subway Metro Tokyo. Harajuku terkenal sebagai tempat anak-anak muda Tokyo berkumpul. Di Harajuku, kami berjalan dalam hujan yang masih tidak berhenti dan menuju ke Takeshita street. Takeshita street umpama berada di Petaling street Kuala Lumpur. Kelihatan pengunjung yang datang terlalu ramai walaupun hari hujan kerana hari itu adalah hari minggu. Aku berjalan perlahan-lahan tapi sempat juga membeli barangan cenderahati dan coklat yang terkenal dipanggil biskut kapal untuk di bawa pulang dan harga di situ lebih murah dari tempat lain. Hari ahad adalah hari anak-anak muda Tokyo keluar berhibur, di sekitar Harajuku kelihatan mereka memakai pakaian dengan fesyen yang pelik dan berwarna-warni dengan pelbagai karakter yang digayakan. Kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan mereka.

Kami ke stesen subway di Meiji-jingumae (Harajuku) untuk ke Shibuya dengan menaiki subway Metro ke stesen Shibuya.

Shibuya dikenali sebagai astringent valley kerana kawasan itu adalah kawasan pusat membeli-belah dan pusat hiburan yang terkenal. Pada waktu malam suasana di Shibuya lebih menarik dengan pemandangan berwarna-warni kerana terpampang iklan berlampu neon dan skrin video terbesar.

Di Shibuya terdapatnya laluan pejalan kaki paling sibuk di dunia digelar Shibuya scramble crossing. Aku turut serta berulang-alik melintas jalan sambil bergambar.

Di situ juga berhampiran stesen Shibuya, sebuah tugu peringatan Hachiko yang terkenal dengan sejarahnya. Tugu ini dibina bagi memperingati seekor anjing yang menunggu tuannya pada setiap hari.

Aku dan rakan bersiar-siar di kawasan Shibuya dan akhirnya kami lepak di restoran Starbucks untuk menikmati pemandangan dan melihat gelagat manusia melintas jalan dengan lebih jelas dari atas bangunan.

Kami kembali ke stesen Shibuya dan menaiki subway Metro Tokyo ke stesen Aoyama-itchome dan bertukar stesen ke Akabanebashi. Keluar dari stesen Akabanebashi, kami menuju ke Menara Tokyo yang menjadi simbol bandar Tokyo. Sepanjang perjalanan hujan masih tidak berhenti dan sebelum sampai ke destinasi, kami melalui jalan-jalan taman di Shiba dan kuil Zojoji sebelum sampai ke Menara Tokyo yang tersergam indah dengan langit berwarna merah kerana dek pancaran cahaya dari menara itu. Kami berjalan lagi hingga ke Roppongi dan menaiki subway Metro dari Roppongi ke Akihabara.

Akihabara terkenal sebagai bandar elektrik. Akihabara merupakan pusat membeli-belah utama bagi barangan elektronik, barangan komputer dan pelbagai barangan yang berkaitan. Barangan yang dijual ada barangan yang baharu dan ada juga yang terpakai.

Aku melihat suasana di Akihabara sangat meriah terutama pada waktu malam kerana disinari lampu-lampu neon sambil melihat barang-barang yang dijual.

Jam menunjukkan 11 malam, kami meneruskan perjalanan untuk balik ke tempat penginapan. Dalam perjalanan sambil memegang payung, tiba-tiba angin datang dengan kuatnya. Entah dari mana angin itu datang dan payung yang dipegang patah. Kami segera berlari menuju ke stesen subway.

Akhirnya kami sampai ke stesen Iwamotocho dan menaiki subway Toei ke stesen Akebonobashi dan pulang semula ke tempat penginapan.

Bersambung Bab 3…

Love0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *