Leaving Microsoft to change the world (Edisi Bahasa Melayu)
April 29, 2018
Wonder-Kid! Chapter 1
May 1, 2018

Konniciwa! Jepun Bab 1

Views:   428

­Bab 1: Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai

Kembaraku ke negara matahari terbit iaitu Jepun pada 14 Oktober 2017 selama 9 hari 8 malam. Aku tidak keseorangan ke sana kerana ditemani oleh 3 orang rakan. Ini adalah kembaraku kali pertama secara backpacker dan menaiki pesawat tambang murah Air Asia. Aku memilih negara Jepun kerana sesuai untuk kembara sulungku memandangkan Jepun merupakan negara yang agak selamat untuk dijejaki. Sudah lama aku berimpian untuk menjejaki negara Jepun untuk melihat dan merasai sendiri cara hidup mereka seharian, bagaimana cara mereka bekerja, sistem yang mereka gunakan dan budaya traditional unik yang mereka masih amalkan walaupun hidup dalam arus kemodenan.

Tepat jam 9.20 pagi, aku sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai. Suasana di lapangan terbang tidak terlalu sibuk pada pagi itu dengan cuaca mendung dalam suhu biasa 21° selsius.

Selesai sahaja urusan imigresen, aku dan rakanku terus ke kaunter berhampiran pintu A untuk membeli tiket feri ke Kobe. Tiket feri yang di beli dapat diskaun ¥1000 sahaja berbanding harga biasa ¥1850. Sebelum membeli tiket feri di kaunter, aku tempah dahulu secara online selama 2 hari sebelum tiba di Jepun.

Aku dan rakanku berehat seketika di lapangan terbang selama sejam dan keluar dari pintu A ke perhentian bas. Kami beratur untuk menaiki bas shuttle secara percuma ke Kansai Airport Pier selama 10 minit.

Sebaik tiba, aku terleka mengambil gambar tanpa disedari petugas feri memanggilku supaya cepat masuk ke dalam feri. Feri ini dipanggil Osaka bay shuttle dan salah satu pengangkutan alternatif untuk ke Kobe. Apabila aku masuk, tidak ramai penumpang dan banyak terlihat kerusi kosong. Aku duduk bersebelahan tingkap dan melihat pemandangan luar melalui cermin tingkap. Langit nampak mendung menandakan hari hendak hujan. Dibenak fikiranku, jika cuaca baik pasti akan kelihatan laut membiru di Teluk Osaka ini. Tanpa disedari kami sampai ke Kobe Airport dalam masa 30 minit.

KOBE

Kobe antara bandar ke-6 terbesar di Jepun yang terletak dalam kawasan Kansai, wilayah Hyogo. Kobe merupakan bandar pelabuhan dan antara bandar terancang dengan lanskap yang berbukit di pantai utara Teluk Osaka.

Sebaik tiba di Kobe Airport, aku dan rakan membeli tiket di mesin dengan tambang ¥330. Kami menaiki Kobe Port Liner ke stesen Sannomiya. Aku rasakan Kobe Port Liner seperti monorel yang ku naiki semasa di Kuala Lumpur. Masa perjalanan hanya 18 minit sahaja untuk sampai ke stesen Sannomiya.

Suasana di Sannomiya Kobe amatlah tenang dan tidak terlalu sibuk dengan bangunan lama yang tersusun dan bersih. Aku dan rakan menyimpan beg di tempat simpanan beg berdekatan stesen Sannomiya sebelum ke destinasi seterusnya. Kami ke pusat informasi pelancong untuk mengambil risalah mengenai Kobe dan bertanya mengenai pengangkutan yang boleh digunakan sepanjang berada di Kobe. Kami memilih pengangkutan bas City Loop. Untuk naik bas ini, kami mencari perhentian bas untuk ke Kitano Meister Garden. Kami ternampak sebuah perhentian bas nombor 7 yang bertulis City Loop. Bas City Loop berwarna hijau tiba diperhentian dan kami naik bas itu. Ini kali pertama kali aku naik bas di Jepun dan ada konduktor wanita lengkap berpakaian uniform bas. Konduktor bas ini tidak berhenti bercakap dalam bahasa Jepun,mungkin diberitahu destinasi yang akan berhenti. Aku hanya tersenyum sahaja melihat gelagatnya. Bas berhenti di perhentian nombor 8 iaitu di Kitano Meister Garden dan aku membayar tambang bas ¥260 sekali naik. Tiket bas ini boleh juga di beli untuk pas tiket 1 hari dengan harga ¥600.

Kitano Meister Garden adalah salah satu bangunan lama gaya eropah di Kobe dengan menjual pelbagai cenderamata dan barangan kesenian serta restoran gaya eropah. Suasana di kawasan ini sangat cantik dengan lanskap berbukit-bukau menambahkan lagi keunikan bandar Kobe. Di sini ramai pelancong asing yang datang berkunjung terutama pelancong dari Eropah.Tempat ini seakan sama dengan suasana pasar seni di Kuala Lumpur.

Selepas itu, kami berjalan menuju ke masjid yang berhampiran iaitu Masjid Kobe dalam masa 5 minit. Masjid Kobe merupakan masjid tertua di Jepun. Kobe pernah mengalami gempa bumi pada 17 Januari 1995 dan salah satu bangunan yang masih utuh adalah Masjid Kobe. Dari kejauhan terlihat seseorang di balik tingkap masjid seolah-olah menunggu kedatangan kami di masjid itu. Kedatangan kami disambut oleh seorang lelaki melayu. Dia terus menyapa kami dan bertanya adakah kami ini datang dari Malaysia. Dia mengucapkan Alhamdullillah dan memperkenalkan diri yang juga berasal dari Malaysia. Sudah lama dia menetap di Kobe dan diberi kepercayaan menjadi imam Masjid di Kobe. Kami tidak lama berborak kerana imam Masjid ada tugasan lain selepas itu. Kami terus solat tahiyatul Masjid dan solat Jama’ zohor dan asar di Masjid itu.


Selepas solat, kami mencari restoran halal berdekatan Masjid. Sambil berjalan kami terlihat restoran makanan halal dan singgah di restoran Naan Inn iaitu sebuah restoran Pakistan yang menjual nasi beriani dan roti naan. Pada mulanya kami mahu makan roti naan tapi pada hari itu hanya nasi beriani sahaja yang ada. Aku memilih nasi beriani ayam. Nasi beriani kambing juga ada dengan bayaran yang sama. Kami merupakan pelanggan yang pertama kerana restoran itu baru beroperasi pada hari itu. Aku membayar nasi beriani ayam dengan harga ¥1944. Bagiku nasi beriani ini agak mahal, jika di Malaysia berharga RM70 lebih sepinggan, tetapi kami tiada pilihan.





Untuk destinasi kedua, kami sekali lagi menaiki bas City Loop ke Kobe Harborland waterfront. Sepanjang perjalanan dalam bas sebelum sampai ke destinasi, aku meninjau dan melihat suasana pemandangan di sekitar bandar Kobe dan akhirnya bas berhenti di perhentian bas nombor 1. Aku turun dari bas dan terus mengambil gambar. Ada sepasang pasangan bangsa cina menyapaku dan bertanya adakah aku orang Malaysia. Sangkaannya betul kerana pasangan itu juga berasal dari Malaysia. Mereka membantuku mengambil gambar berlatar belakang bangunan Umie Mosaic.

Hari hampir waktu malam, suasana di kawasan itu pada waktu malam adalah sangat meriah dengan lampu berkilauan dan kelihatan ramai pengunjung yang datang kerana esok adalah hari minggu. Di Harborland adalah sebuah kawasan pelabuhan dan aku dapat melihat pemandangan 360°, di situ terletaknya Kobe port tower yang merupakan salah satu ikon yang terdapat di Kobe. Kobe port tower adalah menara berwarna merah yang menjadi simbol dan disayangi rakyat jepun selama lebih dari 50 tahun. Selain itu, aku dapat melihat pemandangan seperti Meriken park, kapal cruise, restoran dan pusat membeli-belah Umie Mosaic. Suasana malam sangat cantik dan banyak aktiviti hiburan yang dapat dilakukan.

Kami sekali lagi menaiki bas ke stesen Sannomiya, bas City Loop yang kami naiki adalah bas yang terakhir beroperasi sehingga 7 malam pada hujung minggu, jika hari biasa bas beroperasi sehingga jam 5.40 petang.

Kami ke stesen Sannomiya untuk mengambil beg dan berjalan kaki ke terminal bas Sannomiya untuk menaiki bas malam ke Tokyo.

Malam itu hujan renyai-renyai, kami menunggu bas di tempat menunggu yang  disediakan oleh pihak bas dan 5 minit sebelum bertolak, kami dibawa oleh petugas bas untuk menaiki bas ke Tokyo. Kami bertolak jam 10.20 malam dengan menaiki bas Willer Express dengan tambang ¥5710 yang di beli secara online. Dalam bas itu, ada kemudahan seperti wifi, soket USB untuk mengecas telefon dan penutup kepala seperti tudung saji. Sepanjang perjalanan aku tidur lena kerana keletihan dan tanpa disedari bas sampai ke bandar Tokyo jam 6.45 pagi dengan menempuh perjalanan hampir 9 jam.

Love2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *