Agung
March 8, 2018
Ayah
March 18, 2018

Malek dan Sakti – Bahagian 1

Views:   273

Lawan Tepian Arus

”Ke mana Malek nak pergi dengan aliran sastera ni? Jadi sasterawan? Jadi penulis buku? Tiada kayanya menjadi penulis buku”, kata ibu pada Malek anak tunggalnya.

Idea dan sifat matang Malek masih anak pada ketika itu. Dia baru di tingkatan 4. Jiwanya hanya berdasarkan minat yang mana sedari kecil buku sastera tidak lepas dari tangan walau matanya tertumpu pada buku rujukan sekolah. Dan di sekolah sekarang, dia tidak berniat untuk memohon ke sekolah yang lain walau keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) cemerlang. Walau tidak secemerlang atau semegah pelajar-pelajar lain, keputusan yang dia perolehi tidak membentuk jurang jauh dengan pelajar terbaik sekolah. Cukup sekadar yang dia gembira. Semuanya dia lakukan hanya kerana sastera.

Segalanya bermula bila mana hari pertama persekolahan di tingkatan 4, dia membuat keputusan untuk belajar di kelas 4 Sidik yang mana menjurus kepada aliran sastera. Setiap pelajar boleh memilih bidang kelas yang digemari mengikut keputusan PMR mereka. Sekiranya layak, mereka berhak belajar di kelas tersebut. Keputusan memilih 4 Sidik  sejujurnya telah membelakangkan pendapat dan harapan ibunya yang inginkan dia belajar bidang sains. Tetapi sekolahnya itu tidak menawarkan aliran sains dan ini bermaksud yang dia harus berpindah ke sekolah yang lain.

Setelah seminggu di dalam kelas 4 Sidik, Haji Rusdi datang ke kelasnya. Haji Rusdi merupakan guru kaunselor sekolahnya.

Malek. Saya nak pindahkan awak ke kelas 4 Amanah, kata Haji Rusdi.

Kenapa cikgu? Tanya Malek.

Keputusan PMR awak cemerlang dan Kelas Sastera tidak sesuai untuk awak.

Saya tak berminat cikgu. Saya lebih berminat belajar sastera, kata Malek pada Haji Rusdi.

Beginilah. Awak masuk dulu kelas 4 Amanah untuk dua minggu. Jika masih tak minat, saya sendiri akan tukarkan awak ke kelas 4 Sidik semula.

Kelas 4 Amanah merupakan kelas yang menawarkan subjek Prinsip Akaun dan Matematik Tambahan. Bukan niatnya untuk membantah tetapi Malek merasakan yang dia ingin cemerlang semasa PMR bukan untuk sertai kelas Prinsip Akaun dan Matematik Tambahan. Dia bosan mengira dan dia bosan mencongak. Tetapi demi menghormati gurunya, dia turutkan sahaja. Yang pasti selepas dua minggu dia akan dipindahkan semula.

Bila mana minatnya bukan di situ tidaklah bermaksud yang dia tidak belajar bersungguh-sungguh. Cikgu Ainun yang merupakan guru sementara banyak memupuk rasa minat Malek pada Prinsip Akaun. Hinggakan Malek lebih ke depan berbanding kawan-kawannya yang lain. Tetapi hatinya tetap menantikan harinya dipindahkan semula ke kelas 4 Sidik. Semakin hari mendekat minggu kedua, semakin mekar senyumannya.

Tetapi senang hatinya tidak lama bila mana Haji Rusdi diarahkan meletakkan jawatan serta merta. Sekolah gempar dengan berita tersebut. Malah dikejutkan dengan berita yang Aira dari kelas 5 Amanah telah hamil dan dibuang sekolah. Yang memeranjatkan lagi itu adalah hasil hubungannya dengan Haji Rusdi. Malek dapat merasakan yang dirinya bakal menetap kekal di kelas 4 Amanah. Dilampiaskan amarahnya pada helaian kertas diarinya.

Apa ke binatang yang jadi pada aku ni?

Mereka yang puas aku yang menjadi incaran.

Di mana amanahnya pergi bila anak murid dijadikan kamar nafsunya?

Inikah pegarnya yang kuharap?

Taraf sakti seorang guru kau kuburkan.

Tempikan hatinya kian menjadi-jadi di kala melihat karya Hijau Daun tulisan A.Wahid Sy dibelek oleh mantan rakan kelasnya di sebelah 4 Sidik. Jiwa kusutnya itu sendiri yang telah memecahkan rahsia terselubung pada ibunya.

Semasa makan malam, Malek terpaksa menceritakan kejadian yang terjadi di sekolah pada ibunya dan lantas menceritakan hal perihal apa yang terjadi padanya sekarang. Dia terlupa akan tindakbalas daripada ibunya kelak. Sudah tentu bagaikan tsunami di tengah malam, di kala semua tidur, air laut menghayunkan ombaknya tanpa semua sedar. Begitulah ibunya memarahinya. Dan malam itu juga keputusan diambil dan Malek akan dipindahkan ke sekolah lain yang menawarkan aliran sains. Malek berjalan ke biliknya dengan hati yang sedih bila keputusan itu dibuat secara tiba-tiba. Hatinya terasa panas kerana tiada peluang untuk membalas dan menerang. Dalam sedih dia turutkan keputusan ibunya. Dia faham ibunya telah banyak menangis setelah ketiadaan ayahnya.

 

Sunyi

Malam itu tiada hati untuk Malek lelapkan matanya. Bukan kerana sastera tetapi kerana memikirkan apakah jika ayahnya masih ada akan terjadikah seperti ini? Dia membuka ruangan tingkap seluasnya. Dia merenung jauh ke luar tingkap. Langitnya gelap sepi. Hanya secepis dua awan berlalu bagai simpati dalam hampa. Benarlah kata Hamka,

Hidup ini bukanlah suatu jalan yang datar dan ditaburi bunga melainkan adakalanya disirami air mata dan juga darah.

Anak mana yang inginkan ibunya sedih di kala lamanya berendam air mata. Ditenung lama ke langit, dia makin faham akan dunia dan keluarga. Sastera hanya tulisan yang membawa maksud hati ke jiwa-jiwa besar mereka yang mahu menerimanya. Tapi ibu itu buah hatinya. Tanpa ibu tiada jiwanya yang kekal.

Cerita ayahnya tiada kedengaran walau sekelumit ayat dan kerana itu ibunya sumber inspirasi. Ayahnya pergi semasa umurnya 11 tahun dan kerana itu hanya ada sedikit ingatan yang kabur tentang ayahnya. Dia hanya dapat mengingat di waktu jasad ayahnya dibawa pergi dan yang paling terang dalam ingatannya tiada air mata dari ibunya ketika itu. Tetapi cekal ibunya tidak lama. Dia pernah melihat ibunya menangis seorang diri di dalam kamar kerja ayahnya. Dipeluknya helaian baju ayah. Dan kerana kasih itu jugalah mereka tidak pernah berpindah dari rumah itu. Kata ibu, matanya sentiasa melihat ayah di rumah tersebut. Malek pasti ayahnya sayangkan dia dan ibu. Tapi apakan daya titik mati itu terlalu awal tiba. Kata neneknya, jantung ayahnya berhenti tiga kali dan kemudian kembali bernafas. Tetapi nafas keempatnya dilepaskan terus dan disahkan oleh doktor yang ayahnya pergi jua. Itu kerana ayahnya ingin sangat melihat Malek membesar dan berjaya. Ayahnya juga tak ingin membiarkan ibunya membesarkan Malek seorang diri. Kerana itulah jantung ayahnya kembali berdegup demi keluarga tersayang.

Jika tiada kederat melawan dengan tenaga, mata pena ku bawa perang.

Love2
Juta
Juta
Jika tiada kederat melawan dengan tenaga, mata pena ku bawa perang.

1 Comment

  1. Nizam Abdull says:

    Pembukaan yang baik. Boleh mantapkan lagi penulisan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *