Funnies Part 1 – Funny Kid Test Answers
April 17, 2018
BironTale Chapter 3: Tu-Toriel
April 18, 2018

MISTERIA

Views:   1,593

Cerpen : MISTERIA

Oleh : Jie Hafizs

LANGIT masih bergelap. Embun pagi menitis di dedaunan. Sesekali, aku menjenguk ke luar tingkap bilik. Sinaran lampu-lampu jalan menghiasi pandangan. Kesunyian tika itu dipecahkan oleh kenyaringan suara, “Neh … Neh … Neh …!” Mirip tangisan bayi meminta susu. Tiba-tiba, muncul sepasang mata yang bersinar terang sedang memerhatikan gerak-geriku. Semakin lama, semakin mendekat. Lantas, aku cuba memejamkan mata.

“Arghhh …!” Terbit raungan gementarnya tubuhku yang kian tenggelam jauh dalam khayalan ketakutan.

Rupa-rupanya, aku cuma bermimpi. “Alhamdulillah,” lafaz syukur sebaik sahaja aku terjaga dari tidur. Sambil mataku menahan kantuk, sempat aku mengeluh sendiri, ‘Terbangun awal rupanya. Minggu Haluan Siswa (MHS) sudah berakhir semalam.’ Kemudian, aku terus melihat jam di pergelangan tangan, tidak mahu sekadar menebak waktu. Tinggal setengah jam lagi sebelum azan subuh berkumandang.

“Jom kita solat subuh berjemaah di surau,” ajakku kepada Zainal dan Halim. Namun, respons mereka berdua tidak seperti yang diharapkan. Aku cuba bersangka baik kepada teman-teman sebilikku itu.

Aku turun sendirian dari tingkat tertinggi hostel sambil mindaku membilang anak tangga. Maklumlah, hostel yang kami menghuni itu tidak disediakan lif kerana hanya empat tingkat. Selepas berada di bawah, aku harus melalui jalan belakang hostel. ‘Hish! Meremang juga bulu roma jika bersendirian di belakang hostel ini,’ fikirku sejenak. Walaupun letaknya universiti kami di Kuala Lumpur, tetapi landskap geografinya masih berbaki kawasan hutan.

Melalui jalan belakang itu, ada disediakan laluan pejalan kaki berbumbung. Jika waktu malam, lampu-lampu jalan yang agak suram menjadi teman. Sesudah melalui jalan tersebut, aku terpaksa mendaki sedikit kawasan berbukit kerana lokasi surau berada di tempat yang tinggi. Lebih menguji iman, letaknya hostel siswi betul-betul menghala ke hadapan surau.

Setibanya di sana, suasana masih sunyi. “Arghhh …!” Sekali lagi aku terkejut tatkala ditegur oleh seniorku, Hakim. Masih terbawa perasaan ketika bermimpi. Timbul kesan psikologi ‘seram’ kerana dia berpakaian serba putih. Kata Hakim, “Pintu surau tidak berkunci. Tolak sahaja, pasti terbuka.” Segala persoalanku terjawab.

Subuh itu, hanya enam siswa solat berjemaah di surau. Siswi? Tentunya lebih ramai daripada bilangan siswa. Sewaktu pulang dari surau, aku dikejutkan dengan bunyi menyeramkan di atas bumbung. Kali ini, benar-benar terjadi! Cepat-cepat aku berlari naik ke bilik.

* * *

Setelah beberapa hari mendapat gangguan tersebut, aku terpaksa membuka cerita kepada Hakim. Dia hanya tersenyum ketika mendengar. “Jangan risau, selepas subuh esok kita sama-sama pulang ke hostel,” cadangnya tenang.

Aku mengangguk, sambil tersenyum kelat.

Tiba keesokan harinya, kami sama-sama berjalan pulang seperti yang dijanjikan. Tika itu, mentari pagi belum pun memunculkan diri. Namun, sudah terdengar kicauan beburung bersiap siaga mahu mencari rezeki.

“Dum! Dum!”

Bergegar bunyi itu lagi. Dahan-dahan pokok di sekitar juga bergoyang-goyang. Aku meneguk air liur pagiku yang sebenarnya sudah kekeringan. Seriau mulai menjengah wajahku. Tetapi, tidak semena-mena Hakim keluar dari laluan pejalan kaki. Dia melihat ke atas bumbung itu, seolah-olah telah mengetahui sesuatu.

“Oh! Makhluk berbulu yang sudah lama menjadi penunggu di sini … Biasanya, cuti hujung minggu beginilah mereka pasti berkunjung beramai-ramai untuk mencari makan!!!” jelas Hakim bernada keras, sengaja mahu menakutkan aku.

Aku terpaku. Semakin berdebar resah, umpama sedang menanti giliran naik ke pentas pertandingan nyanyian. Hormon adrenalinku sedang menjalankan fungsinya dengan baik. Jika bukan kerana Hakim menemani, sudah tentu aku mulakan langkah seribu lagi.

Akhirnya, aku melihat sendiri makhluk itu. ‘Huh! Patutlah selalu datang sini, cari makan rupanya,’ keluh hatiku. Selama aku diganggu, tiada pula bunyi mereka mengerih. Kali ini mereka menonjolkan diri, “Uk! Uk! Uk! Ak! Ak! Ak!”

Seram telah bertukar geram, geram pula bertukar lucu. Belakang hostel memang ada tempat pembuangan sampah. Banyak sisa makanan yang menjadi santapan makhluk ‘monyet’ di situ. Serta-merta tiada lagi ketakutan, bagaikan diserap aura keberanian setelah ditarbiah oleh Hakim.

Namun, beberapa hari kemudian muncul pelbagai cerita ‘kekerasan’ di hostel kami. Menurut staf, memang sudah biasa kedengaran cerita sebegitu. Tidak dinafikan, ada kebenarannya tentang kisah yang pernah berlaku di dalam kawasan universiti. Cuma, kebanyakan yang bercerita mungkin suka menokok-tambah sehingga semakin seram. Misalnya, kisah bunuh diri, penunggu hostel, toyol, bunian, dan seumpamanya.

Malah, ada juga sekadar kisah daripada pelajar senior untuk menakut-nakutkan pelajar junior agar hormat kepada mereka. Atau, supaya tiada junior yang berkelakuan tidak elok sehingga melampaui batas-batas agama. Tetapi, aku tetap tidak setuju jika benar begitu caranya. Kerana, mereka nanti bukan takut kepada Allah SWT, tetapi semakin takut kepada makhluk.

* * *

Sejak tersebarnya kisah seram itu, semakin ramai pula yang tidak mahu bersolat di surau. Tanggungjawab masing-masing? Tetapi, tiada pula kebanyakan daripada mereka yang semakin berubah atau bertambah baik.

Tatkala aku memerhati; ada yang tidur sepanjang hari melupakan solat, terleka bermain permainan di laptop, berbual kosong di ‘handphone’ tanpa henti, keluar berdua-duaan sehingga malam hari bersama pasangan tidak halal, menonton video yang tidak bermanfaat, dan sebagainya yang mengundang alpa dan lalai. Aku berani bertaruh, jika hampir musim peperiksaan, mereka inilah yang akan cenderung mengalami tekanan kerana terlalu sibuk mengejar tugasan yang belum siap!

Rutin harian kami di hostel berlalu seperti biasa. Cuma, siri-siri gangguan terhadap perjalanan hidupku bermula. Ketika itu, teman-teman sebilikku sedang nyenyak tidur. Aku jarang tidur awal kerana masalah insomnia. Kekurangan itu, aku jadikan peluang untuk mengulang kaji pelajaran. Jika kebosanan, aku terus membaca al-Quran. Namun, tiap kali aku cuba mengalunkan bacaan al-Quran, akan ada bunyi-bunyian pelik, seperti guli atau syiling jatuh ke atas lantai, serta terkadang bunyi tumbukan lesung.

Mungkin dianggap ‘klise’ bagi yang sudah tahu, tetapi itulah hakikatnya. Haruskah aku naik ke tingkat atas dan bertanyakan penghuni di situ? Sudah tentu tidak kerana kami penghuni tingkat teratas! Malah, sudah banyak kali aku dikejutkan dengan bunyi ketukan.

“Tok! Tok! Tok!”

Aku segera membuka pintu. Tiada seseorang pun yang kelihatan. Meremang bulu tengkuk aku. Ingatkan ada teman sengaja mengacau. Tetapi, jika sudah berkali-kali rasanya, tidak lain tidak bukan?

Pada awalnya, gangguan sebegitu tidak mematahkan semangatku. Tetapi, semakin hari semakin kuat cabarannya. Ada suatu masa, aku terlelap seketika tanpa berniat untuk tidur. Dan, masa itulah aku ditindih sesuatu. Badan terasa berat, sukar bernafas. “Arrhhhh ….” Sudah pasti aku cuba membaca ayat-ayat suci al-Quran, namun hampa.

Tanpa berfikir panjang, aku membuka sedikit kelopak mata walaupun pandangannya kabur. Aku melihat ada kelibat putih sedang menindihku. Dengan sedikit usaha, aku hayunkan penumbuk ke lembaga putih itu. Walaupun tidak pasti akan berhasil atau tidak, cara itu sahaja yang bermain di mindaku.

“Dush! Dush! Dush!”

Tangan kiri aku pula, menumbuk berulang-kali dinding konkrit, cuba meraih kesakitan agar mataku segera terbuka luas. Sekurang-kurangnya, Zainal dan Halim mendengar. Akhirnya, bayangan itu lenyap. Nafasku kembali tenang.

Paling tidak dilupakan, ketika aku pulang dari surau selepas solat isyak, aku dikejutkan dengan kemunculan Halim. Kami betul-betul bersemuka di laluan pejalan kaki, yakni tempat kemunculan monyet tempoh hari.

“Eh, Halim rupanya … Kenapa sendirian di sini?” tegurku kepadanya. Halim mendiamkan diri. Wajahnya lesu dan pucat.

“Katanya mahu pulang ke kampung?” sambung bicaraku lagi. Aku hairan. Halim kebiasaannya selalu pulang ke kampung jika cuti pertengahan semester. Maklumlah, kampungnya di Perak. Paling kurang pun, tiga jam sudah sampai.

Beberapa minit kemudian, Halim tetap mendiamkan diri seperti menahan kesakitan. Dia berjalan sendirian ke belakang hostel. Aku semakin pelik, tetapi sempat juga menyentuh tangannya. Sejuk!

Sampai sahaja di bilik, aku bertanyakan Zainal tentang Halim. Katanya, “Aku baru pulang dari menghantar Halim ke terminal bas.”

‘Habis, siapa yang aku tegur di bawah tadi?’ soalku sendiri. Saat itu juga tubuhku menggigil. Tidak keruan rasanya. Suhu badanku meningkat naik.

Mahu tidak mahu, aku berkejaran ke tandas membasuh mukaku. Mungkin aku sedang berhalusinasi atau sekadar bermimpi? Selepas sedikit tenang, bahuku ditepuk lembut pula oleh seseorang. Dia menegurku, “Kenapa ni Hazran? Macam ternampak hantu!”

Tanpa berfikir panjang, terus aku berlari menuju ke bilik. Aku kenal siapa yang menegurku. Aku masih ingat wajah lesu dan pucatnya.

‘Ya … Halim … Halim menegurku!’

Aku demam selama seminggu. Semangatku kian menghilang. Sukar mencari jalan pulang!

* * *

Secara jujurnya, aku tidak mahu menceritakan peristiwa itu. Biarpun Zainal sering bertanya, aku teguh merahsiakan. Aku bukan risau jika diejek sebagai penakut atau sengaja mereka-reka cerita. Tidak sama sekali! Namun, bimbang jika semakin ramai yang tidak mahu solat berjemaah di surau hanya kerana kisah aku seorang.

Aku seolah-olah sudah dapat merasai kehadiran ‘sesuatu’. Misalnya, melalui kehadiran bau yang kurang menyenangkan. Walaupun tidak terlalu jelas, tetapi mata aku seakan dapat melihat ‘sesuatu’. Aku tidak anggap ia sebagai anugerah, tetapi kekurangan. Jika orang bercakap mengenai kelebihan ‘deria keenam’ sekalipun, aku tidak peduli. Aku ingin kembali normal!

Hakim memahami akan masalah yang aku hadapi. Dengan segala nasihatnya, aku cuba untuk hidupkan kembali semangatku. Sebenarnya, aku sedikit terkilan dan tidak berpuas hati. Sedangkan ramai yang tidak menjaga solat, melanggar batas agama, dan sebagainya, tetapi tidak pernah diganggu. Kenapa aku? Persoalan itu terus dijawab oleh Hakim dengan firman Allah SWT:

Sesungguhnya mereka itu, tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakutkan (kamu) dengan pengikut-pengikutnya (yang terdiri daripada musyrikin Quraisy), kerana itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku, jika benar-benar kamu orang yang beriman.” – [Surah Ali-‘Imran: 175].

* * *

Aku terima kekurangan itu sebagai kelebihan. Tinggal beberapa minggu lagi sebelum peperiksaan bermula. Ternyata, dugaanku benar. Kisahnya bermula di hostel siswa. Lokman pada awalnya dikatakan terlalu sedih kerana putus cinta. Tambahan pula, mindanya bercelaru dengan persediaan untuk peperiksaan. Tekanan emosi mengganggu proses pemikirannya sehingga tidak dapat mengawal perasaan.

Kerana Lokman merupakan kenalanku di hostel, aku menyapa dirinya untuk memberi semangat! Semasa bersemuka dengan Lokman, keadaan dirinya sudah agak baik. Tetapi, selepas beberapa jam kemudian, aku rasa tidak sedap hati. Kali ini semakin kuat firasatku sehingga bau yang kurang menyenangkan itu datang lagi.

Aku segera bergegas ke bilik Lokman. Ternyata, teman-teman sebiliknya mula panik melihat Lokman yang meracau tidak tentu hala. Hanya bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang mampu aku lantunkan waktu itu.

“Kita kena minta bantuan orang berilmu dan berpengalaman,” cadangku. Ya, jika seseorang yang melihat suasana sebegitu tidak kuat dari segi emosi dan spiritual, pasti seseorang itu pula akan lemah semangat sehingga turut dirasuk.

Pada awalnya, Hakim membantu merawat Lokman sehingga keadaan sedikit terkawal. Cerita Lokman, “Memang aku masih bersedih sehingga berfikir macam-macam. Sewaktu pulang dari tandas, aku terlihat kelibat bekas teman wanita aku. Dia tersenyum, kemudian menghilang. Selepas itu, aku sudah tidak ingat apa-apa …”

Keesokan harinya, Hakim cuba menghubungi seorang ustaz untuk melihat keadaan Lokman. “Boleh jadi, puncanya memang kerana ada gangguan jin yang datang dari kawasan sekitar, tetapi tekanan perasaan yang dialami juga menjadi penyebab kepada kerasukan dan histeria. Sebab itu, dia boleh nampak ilusi ‘benda-benda’ sebegitu,” kata ustaz Fikri.

Malam itu, ustaz Fikri datang lagi ke kolej kami untuk mencari tempat-tempat yang dirasakan ‘keras’. Aku tidak sangka, bantuan aku diperlukan. Lokman sudah diasingkan daripada siswa yang lain. Dia ditempatkan di dalam surau buat sementara waktu.

Tidak lama kemudian, aku dapat melihat kelibat ‘sesuatu’ lagi. Sudah pasti ‘benda’ itu datang kembali dengan baunya. Aku sudah dapat agak! Tiba-tiba, seorang siswi pula mengalami histeria. Selama ini, aku ingatkan hanya wanita yang ‘terkena’ kerana bertubuh lemah, namun lelaki juga turut mengalaminya sebagaimana situasi Lokman.

Malam itu, kami semua menyaksikan ramai siswa siswi terkena rasukan dan histeria. Jeritan dan tangisan kedengaran, “Ahhh …! Huuu …!” Aku nampak, ‘benda-benda’ itu berpindah dari satu tubuh ke tubuh yang lain. Ada juga menjelma menjadi serangga kecil yang pantas memasuki tubuh mangsa. Aku bersedia membantu ustaz Fikri menunjukkan lokasi-lokasinya. Kesemua mangsa yang terlibat ditempatkan di dalam surau. Mereka disuruh berwuduk setelah tenang. Bacaan zikir, selawat, ayat-ayat ruqyah, dan solat hajat segera dilaksanakan.

Ustaz Fikri sempat memberitahuku supaya bersabar. Anggaplah ini semua ujian daripada Allah SWT. Alhamdulillah, segalanya telah pulih kembali. Beberapa hari kemudian, aku kembali normal. Sudah tidak dapat merasakan ‘sesuatu’ itu lagi. Paling penting, timbul kesedaran dalam kalangan para siswa siswi supaya rajin mempertingkatkan keimanan, solat, dan amalan sunat, serta sentiasa membaca al-Quran.

Hakim juga mempelawaku dengan rakan-rakan untuk sertai pertandingan nasyid. Sekurang-kurangnya, dapat mengimarahkan lagi suasana surau dengan latihan, sekali gus dapat solat berjemaah. Peristiwa yang berlaku itu dirahsiakan daripada pihak-pihak luar. Pengetua kolej menyambut baik cadangan para senior supaya memperbanyakkan aktiviti keagamaan, terutama di surau dengan mewujudkan jawatankuasa yang kami namakannya ‘Geng Surau’.

Cerita yang mungkin seram atau sebaliknya. Kerana seram itu bukan semudah menceritakannya dengan bahasa tulisan, mahupun coretan kata-kata. Hanya yang mengalaminya sendiri mampu mengerti. Peristiwa beberapa tahun lalu itu, aku namakannya ‘Misteria’ (Misteri Histeria) dan pastinya telah menjadi pengajaran buat kami semua.

-TAMAT-

Detektif Sastera
Pencinta Buku
Penggemar Nasyid

Love3
Jie Hafizs
Jie Hafizs
Detektif Sastera Pencinta Buku Penggemar Nasyid

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *