PADAH
April 25, 2018
TIGA MALAM
April 25, 2018

Passion for Books: A Journey to the World of Books and Books Lovers

Views:   138

Ketika saya diminta untuk memperkatakan tentang salah satu buku yang ditulis oleh Shaharom TM Sulaiman iaitu Passion for Books: A Journey to the World of Books and Books Lovers – A Cultural Perspective, saya melihat tidaklah terlalu sukar kerana setelah berpeluang untuk menulis bersama beliau, sedikit sebanyak saya dapat memahami genre atau topik yang sering ditulis oleh beliau dan sudah pasti tentang buku atau bibliofil. Telah banyak pengalaman dan aktiviti beliau sememangnya ke arah itu.

Seperti buku ini, ia merupakan buku yang bercerita tentang buku dan pencintanya. Ia juga mendedahkan kehebatan sebuah buku dan bagaimana ia mampu mengubah pencintanya menjadi orang yang hebat, berintelek dan dihargai masyarakat. Buku yang dibaca juga mampu menyelesaikan pelbagai masalah, malah banyak individu yang bermula sebagai orang biasa akhirnya menjadi manusia unggul dengan hanya membaca buku.

Buku ini merupakan terjemahan daripada buku Biblioholisme: Menelusuri Pesona Dunia Buku dan Pencintanya yang pernah diterbitkan oleh ITBN pada 2012. Manakala terjemahan Bahasa Inggeris ini diterbitkan oleh IM Publisher pada tahun 2016.

Buku ini mempunyai 135 muka surat dan 31 artikel yang terbahagi kepada 4 bahagian cukup untuk membawa kita terbang bersama pengalaman penulis dan sudah pasti pengalaman tentang buku yang mana hanya pencinta buku yang faham. Ia juga merupakan sebuah koleksi artikel yang pernah diterbitkan di dalam beberapa platform penerbitan sebelum ini.

Kita juga akan melihat pelbagai fakta dan cerita menarik dan aneh yang mungkin tidak kita ketahui sebelum ini misalnya Boulard pakar perundangan Perancis pada abad ke -18, begitu bernafsu membeli buku sehingga rumahnya tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menyimpan buku dan beliau terpaksa membeli enam buah rumah lagi untuk tujuan tersebut. DOn Vincente, berbangsa Sepanyol, yang hidup pada tahun 1830 sanggup mencuri buku sehingga dipenjarakan. Sun Ching berbangsa cina sanggup mengikat rambut panjangnya pada tiang katil untuk pastikan beliau dapat terus membaca walaupun mengantuk.

Itu antara cerita-cerita aneh yang dikongsikan oleh penulis dalam buku ini. Dan selain itu terdapat juga tip-tip penjagaan buku dan juga pengalaman penulis melawat ke kedai-kedai buku di seluruh dunia.

Sebenarnya buku ini sangat santai dan penulisannya tidak terlalu berat dan erti kata lain senang difahami. Jadi mereka yang memang gilakan buku, buku ini perlu dijadikan salah satu daftar bacaan anda. Manakala mereka yang baru berjinak-jinak dengan buku, ia sangat sesuai untuk anda lebih mengenali dunia pencinta buku.

Saya bersetuju dengan apa yang disebut oleh penulis iaitu terlalu banyak manfaat yang boleh didapati oleh pembaca dari sebuah buku yang dibacanya dan menghasilkan daya cipta, karya hebat dan mewujudkan perasaan yang tenang kepada pembacanya. Jangan pernah kisah bila melihat anak-anak yang lebih berminat untuk baca buku-buku novel berbanding buku-buku akademik kerana tabiat membaca perlu dipupuk terlebih dahulu dan barulah minat itu akan muncul.

Love1

2 Comments

  1. nandre says:

    Buku ini satu ekspresi mendalam mengenai dunia buku yang bercetak. Saya sudah ememiliki buku ini namun belum lagi bertemu dengan penulisnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *