Princess Snow Wolf Endless Love – Sinopsis
April 11, 2018
Kisah Seram Sebabak
April 12, 2018

Remang Gelap Puncak Alam

Views:   374

“Aduh, pukul 2 lebih pagi dah ni. Kunci rumah tak bawak. Kawan lain kompem dah tidur. Siak betul lah!”

Dia memaki diri sendiri. Menyumpah-nyumpah memarahi dirinya yang pelupa. Entah macam mana dia boleh lupa hendak membawa kunci rumah petang tadi.

‘Ni semua sebab kelam-kabut lah ni tadi. Abis semua aku lupa. Haisyh!’ Keluhnya.

Dia menghidupkan enjin kereta. Jam di dashboard kereta dipandang sekilas.

02:45

Tanpa bismillah, kereta digerakkan keluar dari bangunan kolej tempat dia belajar. Hanya dengan satu tujuan, untuk sampai ke rumah sewanya.

—-

Papan tanda Jalan Puncak Alam dilepasi dengan lajunya. Memasuki jalan lama yang biasa dilalui untuk memudahkan perjalanan. Atau lebih tepat, bagi menpercepatkan masa untuk sampai ke destinasi.

Jalan lenggang. Kiri kanan hanya hutan. Keadaan jalan hanya diterangi dengan lampu keretanya sahaja. Sungguh gelap.

Kereta meluncur laju memecah kesuraman pagi buta itu. Mulutnya masih memaki. Tapi kali ini dihamburkan pada pensyarah yang mengajarnya.

“Sial punya botak. Sebab dia lah aku kena stay sampai pagi. Boleh pulak suruh aku siapkan projek harini jugak. Esok pagi pun aku boleh buatlah!”

Hanya berani untuk memaki seorang diri. Bila berhadapan, hendak ucap salam pun lidah terkaku. Lumrah.

Radio yang sedang dimainkan bertukar-tukar siaran. Dari lagu melayu, ke tamil, ke english, cina dan melayu balik. Kadang muncul pula siaran yang tiada signal. Kemudian ada balik.

“Ahh, kenapa pulak dengan radio ni. Aku pasang CD kot, macam mana boleh tertukar dengan siaran radio. Aihh!” Diketuk radio berulang kali. Mengharapkan kembali sedia kala.

Ketukan kali kelima, siaran radio terus terhenti ke lagu tradisional lama kaum cina. Macam lagu orang mati. Terus meremang bulu tengkuknya. Segera dia mematikan radio.

Jalan yang biasanya hanya mengambil masa 45 minit untuk sampai ke rumah semakin berganjak. Rasanya sudah lebih sejam dia melalui jalan itu. Tapi tiada penghujung. Dia sudah rasa lain macam.

“Aduhh, asal rasa meremang pulak ni.. Radio ni pun satu, time-time ni lah nak jadi macam ni pun!”

Dalam kegelisahan memandu, dia terdengar satu nyanyian yang tidak difahaminya dari arah belakang. Lagu tradisional cina tadi! Segera romanya semua berdiri!

“Allah.. apa pulak ni..”

Dia menelan liur. Mata masih fokus memandang jalan dihadapan. Tapi anak matanya degil, tetap juga untuk memandang ke cermin pandang belakang.

“Allah! Allah.. Allah..”

Terus terzikir bibirnya menyebut nama yang maha agung. Tangan dan kakinya sudah menggigil. Jelas matanya terpandang susuk tubuh manusia yang lengkap berpakaian orang cina mati. Betul-betul di tempat duduk belakangnya.

Cepat-cepat dia memandang semula kehadapan. Dia cuba melaungkan azan. Walaupun tekaknya terasa perit untuk diluahkan.

“Allahuakbar.. Allahuakbar..”

Matanya berhati-hati untuk tidak memandang ke tempat lain. Hanya kekal fokus memandang jalan.

“Asyhaduallah ilahaillallah..”

Terasa bahang di belakang lehernya. Seakan hembusan nafas mayat itu dihala padanya. Dia sudah terasa untuk menangis.

“Asyhaduan namuhammada rasululullah..”

Menggigil-gigil suaranya mengalunkan azan. Tak tahu berapa lama mayat itu akan ada di dalam keretanya itu. Masih tetap duduk dibelakangnya. Dia juga perasan yang mata mayat itu bergerak memandang ke arahnya!

Makin kuat dia melaungkan azan. Dia tidak sanggup lagi untuk melihat wajah mayat yang putih kepucatan di tempat duduk belakang itu. Cuba untuk digerakkan cermin pandang belakang ke tempat lain.

Saat dia cuba untuk menggerakkan cermin tersebut, tangan kirinya itu dipegang kuat oleh tangan mayat tersebut. Bertambah terkejutnya dia apabila melihat mayat tersebut tetap bersandar di tempat duduk belakang, cuma tangan’nya’ sendiri yang memanjang menahan tangan dia.

Tidak dengan itu, leher mayat itu turut memanjang sama. Menjulur ke bahu kanan dia.

“NÎ HUÎ SÎ!”

“Arghh!!”

Kereta diberhentikan secara mengejut. Dia tersentak kehadapan. Mujur tali pinggang keledar menyelamatkannya. Dia membuka mata. Tiada apa-apa. Hanya jalan yang suram memenuhi visual.

Dia cuba menenangkan diri. Membaca serba sedikit doa penenang hati. Dicuba menghidupkan enjin. Terus berlalu memecut pergi dari situ.

—-

“Akan sampai. Sikit lagi akan sampai. Cepat!!”

Tahap kelajuan makin bertambah. Mengharapkan destinasi di sini segera berakhir.

Bunyi detuman di bonet belakang menarik minatnya untuk memandang. Tiada apa. Segera mengalihkan semula pandangan ke hadapan.

Susuk mayat cina tadi tegun melekap di cermin depan keretanya itu. Mulut-‘nya’ ternganga besar. Mata terbeliak memandang dia yang sudah membiru ketakutan.

Kereta tersasar ke bahu jalan. Berpusing lalu menghentam kuat pembahagi jalan di tepi.

Pandangan terakhirnya hanya pada susuk mayat cina yang tersengih padanya. Sebelum semuanya hitam.

Dan..

***

“Baa!!”

“Arghh!”

Bergaung satu rumah dengan jeritan Leez. Plastik keropok yang digenggamnya tercampak ke kebelakang. Habis berterabur isi-isi jajan didalamnya.

“Hahaha!” Piyah menekan perut akibat senak mentertawakan Leez. Kelakar melihat riak cuak Leez yang kelihatan agak lucu dimatanya itu.

*Pap!*

Satu tamparan hinggap tepat dibelakang badan Piyah. Segera dia mengosok belakang badannya itu dengan tangannya bagi menghilang pedih. Matanya disepetkan memandang rakannya, Dayah dengan perasaan geram.

“Aduhh.. kau pehal dayah? Sakit tau tak! Hukhuk!” Piyah mencebikkan mulutnya tanda merajuk. Dayah hanya membalas reaksinya dengan muka menyampah.

“Siapa suruh hang pi takutkan budak ni. Hang pun tau dia ni penakut.” Dayah menolong mengutip jajan yang berterabur di lantai itu. Leez sudah mengesat air matanya dengan hujung baju.

“Tengok dia dah nangis dah. Hisyh hang ni!”

Dayah merapati Leez lalu membelai kepalanya perlahan. Cuba memujuk agar Leez berhenti menangis.

“Dah ye leez. Takda papelah. Aku dah tampaq dah si piyah ni. Padan muka dia tu. Alolo sayang..”

Piyah cuba menahan gelak melihat adegan pujuk-memujuk si Dayah dan Leez.

“Hang jangan gelak eh! Ni semua hang punya pasai!” Amaran Dayah membuatkan Piyah terus menekup mulut.

Leez hanya memandang sayu lantai yang dipenuhi dengan jajan kegemarannya itu. Pujukan si Dayah membuatkan hatinya kembali sejuk.

“Leez bukan menangis sebab terkejut..”

“Abis tu?”

“Leez menangis sebab lapar! Jajan dah jatuh. Tak boleh nak makan dah. Hukhuk!” Leez menekup mukanya. Air mata kembali deras.

Dayah memandang geram budak perempuan dihadapannya itu.

“Kuajaq betui budak ni aihh.. ngabiskan ayaq liuq aku ja pujuk hang tadi..”

Piyah sudah tidak dapat menahan gelak. Letus habis tawanya dengan pe’el Leez tadi. Pompuan pompuan. Makan je tau. Huhu

“Kang aku gantikan lah. Adui kau ni leez. Beria beno nak nangis aihh. Haha..”

“Tapi piyah, betui ka hang cita tadi? Jalan puncak alam tu memang berhantu?”

“Betul yah, aku sendiri dengar waris student tu cerita kat puan salmah tadi.” Piyah mengesahkan ceritanya pada mereka berdua.

“Leez pun pernah dengar jugak kat situ memang laluan berhantu. Sebab boyfriend leez ada cerita kat leez pasal kawan dia.”

“Lagu mana crita dia?”

“Dia bukan nak nyanyi pun siap lagu bagai dayah oii. Dia nak ceritalah..”

“Haipp!” Dayah mengacah mahu memukul Piyah yang tersengih sendiri. Leez pulak cuba mencari idea untuk memulakan cerita.

*bunyi guli bertaburan*

Mata masing-masing sudah menjenguk ke atas.

“Biarkan jelah. Leez ceritalah.”

***

Mikael menungang laju motosikalnya. Meter sudah mencecah 160km/j. Motornya laju memecut jalanan yang makin sunyi ditelan malam.

“Fuhh, ni kalau aku join set-set rempit dataran ni kompem champion. Tak sia-sia aku dress-up motor ni jadi gempak. Laju nokharom!”

Bunyi eksoz motornya itu amat membingitkan telinga. Tapi Mikael tak kisah, bukan ada sesiapa pun di sini. Dia sorang je yang lalu di jalan sunyi tersebut.

Tapi Mikael lupa, bukan manusia sahaja yang Tuhan cipta. Ada makhluk yang berjuta tahun diciptakan tinggal di bumi ini. Dan suku darinya, ada menetap di jalan sunyi Puncak Alam tersebut.

Dan, kebingitan eksoz motor Mikael sudah membangkitkan kemarahan tempat tersebut.

Tiba di satu jalan yang berbukit di tepinya, jelas mata Mikael nampak satu kaum berbadan hitam legam muncul di celah-celah pokok tinggi. Setiap laluan yang dia lalui, akan muncul sekumpulan kaum yang sama ditepi jalanan.

Ada yang tinggi. Ada yang rendah. Ada yang kurus. Ada yang gemuk. Ada yang kecil. Ada yang besar.

Dan kesemuanya hitam!

Mikael sudah tidak sedap hati. Laluan tepi jalan dipenuhi dengan kaum hitam tersebut. Dia cuba memecutkan motornya. Tapi terasa berat dan lambat walaupun meter sudah mencecah 180km/j.

Mikael memandang ke belakang. Mengharapkan ada pemandu lain yang melalui jalan itu.

Malangnya dia salah.

Dibelakang, ada beribu kaum hitam yang dilihat di tepi jalan tadi sedang cuba mengejarnya!

Kumpulan lain yang muncul ditepi jalan itu turut turun ke bawah mengikut yang lain yang cuba untuk mengejar Mikael.

“Allah!”

Puas Mikael memulas habis pedal motornya itu, tapi tetap lambat bergerak. Air mata sudah meleleh. Telinganya juga terdengar suara-suara bingit di belakangnya.

Suara rusuhan!

“Harghhhhhhhhh!!!”

Dari cermin sisi, Mikael dapat lihat kaum hitam tersebut cuba mengapai motornya itu. Ada yang melompat tinggi melepasi kawanan lalu cuba memegang motornya itu, tapi gagal.

Seakan zombie.

Mikael sudah tak keruan. Nafas juga semakin sesak. Tapi hatinya masih kuat untuk mengingati Tuhan. Mulutnya tidak putus-putus berdoa agar dirinya selamat dari malapetaka ini.

Tuhan maha pengasih. Mungkin mahu menyedarkan umatnya yang senantiasa lalai. Doa Mikael termakbul.

Di hadapan, terdapat cahaya lampu yang terang di setiap tepian jalanan. Rupanya Mikael sudah jumpa pintu keluar dari jalan yang sunyi dan gelap ini.

Ya, itu jalan besar!

Mikael berusaha memulas laju motornya. Matanya fokus memandang kehadapan. Dia semakin hampir dengan cahaya tersebut.

Setibanya dia melalui jalan yang bercahaya itu, kaum yang mengejarnya tadi terus hilang!

Walaupun sudah selamat, malangnya Mikael hilang pertimbangan, hilang kawalan lalu terus terbabas ke atas tar. Mikael tergolek ke tepi jalan.

—-

Mikael mencelikkan matanya perlahan. Darah mengalir laju di badannya. Dia selamat kerana memakai topi keledar dengan cermat. Mujur tiada adegan kepala pecah berlaku.

Mikael membuka helmetnya. Dicampaknya ketepi. Merenung motornya yang sudah hancur setiap sisi. Habis lebur duit yang dikumpul untuk renovate motor kesayangannya itu.

Kemudian, matanya galak memandang jalan sunyi dibelakangnya itu. Jalan yang memisahkan antara gelap ke terang.

Jalan gelap itu dipandangnya dengan sayu. Dia terduduk ke atas tar. Tak sangka akan jadi begini. Dan akhirnya dia selamat.

Mikael menangis semahunya. Dia menangis sebab selamat. Dia menangis sebab takut. Dia menangis sebab tak percaya. Dan dia menangis sebab Tuhan masih sayangkannya.

Dia terdiam. Kemudian tertawa perlahan.

“Tak sangka aku jalan puncak alam ini jalan puaka. Heh!”

***

*Bunyi ketukan dan taburan guli serentak*

Leez sudah memeluk bantal dengan erat. Matanya meliar memandang atap rumahnya.

“Kau tak rasa rumah di berhantu?” Piyah memandang Dayah dan Leez dengan mata tajam.

“Hisyh hang ni! Awat cabul sangat mulut tu?! Aku cabai satgi naya ja!”

“Aku tanya je. Yela, dari awal sem kita duduk, bunyi ni tak pernah nak benti. Lagi-lagi time maghrib. Kompem lagi kuat. Padahal rumah atas kita ni kan kosong.”

“Tulah, leez pun ada pikir camtu gak. Penah dengar orang cakap yang bunyi-bunyi kat rumah ni selalunya ada jin menumpang. Seram pulak rasa.” Leez memeluk bantal dengan erat. Tiba-tiba terasa meremang.

“Hang tau dak, roomate kita dulu penah kena kacau gak ritu. Sebab tu dia lari pindah rumah.”

“Laa yeke? Bila?” Leez terkejut.

“Camni..” Dayah membuka cerita. Piyah dan Leez tekun mendengar.

“Masa tu time tengah hari tau dia kena..”

“Tengah hari? Siang-siang pun kena? Dasyat..”

“Apa nak pelik. Depa ni suka muncul time peralihan cuaca atau masa lah senang cakap. Macam pagi nak tukaq tengah hari, petang nak tukaq malam. Sebab tu depa suka muncul time senja dengan 3 pagi. Waktu pertukaran cuaca lah tu.”

Leez dan Piyah mengangguk laju. Sungguh dia tak tahu. Selamat Dayah si senior ni bagitau. Dapat jugak ilmu sikit kat depa.

“Time tu dia tengah mandi. Sebab bosan, dia nyanyilah hilangkan bosan. Lagu apa aku taktau. Tapi angpa bayangkan jelah ye lagu Cindai. Seram sikit. Huhu.”

“Popular lagu Cindai dekat asrama dulu. Wujud lagi ek? Haha” Piyah ketawa. Lejen punya lagu tu.

“Tengah nyanyi tu, masuk je korus, ada suara lelaki sambung. Dia pun terkejutlah. Padahal dia sorang ja kat rumah. Kan kat bilik air tu ada cermin besaq kan?”

“Haa haah ada ada..”

“Dari cermin tu dia nampak kat belakang dia, ada lembaga hitam berdiri sambil menyeringai. Masih menyanyi lagu yang dinyayikan budak pompuan tu tadi.”

“Mak aihhh! Aduhh seram weh..” Leez menyapu leher. Terasa nak nangis dia time tu.

“Tu takpa lagi, ni ada lagi citer lain. Korang ingat lagi Izzah?” Piyah memandang Leez dan Dayah silih ganti.

“Budak engineering tu kan? Hang tak kenai kot leez. Sebab hang join kitorang time dia dah kluaq dari rumah ni.”

“Haa dia lah tu. Dulu pun dia pernah kena. Benda tu siap call dia lagi tau.”

“Lagu mana tu? Boleh pulak call-call eh?” Dayah melarut dagunya. Pelik dengan cerita Piyah.

“Tulah kau tak tau. Skang ni maju dah. Camni,time tu kat rumah ada izzah ngan kawan dia sorang tu je. Wani namanya. Time tu wani tengah mandi. Izzah pulak tengok tv kat ruang tamu. Tiba-tiba telefon dia berdering. Dia pun teruslah angkat. Dengar suara ketawa serentak dengan jeritan kuat. Guess what sapa yang call tu?”

“Err akak jangan cakap yang..”

“Exactly, itu suara wani.. memang sebijik suara wani dia cakap.”

“Oh my..”

“Dia pun terkejutlah. Dia kompem kan balik, tengok kat skrin, memang betul tertulis nama wani. Padahal.. telefon wani tu ada je atas meja dekat tv tu. Haha..”

Dayah dan Leez serentak menelan liur. Makin seram pulak cerita ni. Leez sudah menekup mukanya dengan bantal. Mula merapatkan diri dengan Dayah.

*bunyi telefon*

Mata Leez terus tertumpu pada telefon bimbitnya dilantai. Sebaris dengan telefon Dayah dan Piyah.

Perlahan dia mencapai telefon bimbitnya itu. Dia membaca nama pemanggil yang tertera.

Badan dia menggeletar. Tangan dia hebat menggigil. Jantung sudah berdegup laju. Air mata sudah bergenang.

Pi.. piyah call?

Nafas tidak teratur.

Dia mengangkat perlahan mukanya. Memandang wajah Piyah dan Dayah. Dan kedua-duanya memandang tepat ke wajah Leez sambil tersenyum sinis!

“Kenapa Leez.. hikhik!” Piyah bersuara seram. Ketakutan Leez memuncak tinggi.

“Arghhhhhhhhhhhh hantuuu!!!”

Leez cuba melarikan diri. Tapi terlambat, badannya sudah dipegang mereka. Dia rasa nyawanya sudah hampir ke hujung. Dironta kuat badannya bagi melepaskan diri.

“Lepaskan aku!!”

“Leez.. LEEZ!!”

Kepalanya terasa sakit. Leez menyentuh kepalanya. Kuat betul kepalanya diluku Piyah.

“Kau beria menjerit pehal? Kau tu pun hantu jugak! Dengan geng sendiri pun nak takut!” Bengang Piyah dengan perangai penakut Leez ni.

“Yang hang pun satu pi sakat dia awat. Leez ni budak baru. Junior lagi. Taktau selok belok ragam hantu ni. Tak biasa. Memanglah dia takut.” Dayah meluku balik kepala si Piyah.

“Alaa aku nak try ja macam mana hantu senior tu buat guna telefon kacau si Izzah dulu. Lama aku belajar skill ni dengan senior tu tau. Last-last menjadi jugak. Sampai geng hantu sendiri pun takut. Huhu.”

“Dah-dah. Bebudak rumah ni dah sampai dah tu. Ikut strategi yang dah kita bincang tadi. Leez, kalau la ni pun hang buat hal lagi, lari tetiba ja, aku tambat hang kat masjid sana tu. Biaq pi terbakaq. Ingat, buat sampai depa ni takut.”

“Ingat; tugas kita ialah dapat kuasai Puncak Alam ni.”

Piyah mengangguk. Dia mengambil tempatnya di dalam bilik tidur. Dayah pulak siap sedia di dalam bilik air. Leez hanya menunggu di ruang tamu seperti yang dirancang tadi.

Leez tersengih. Tak sangka dia dah berada di dunia hantu. Kalau dulu dia manusia, sekarang dia hantu untuk mengacau manusia. Kalau dulu dia berjasa pada manusia, sekarang dia ingin pula berjasa pada kaum hantu.

Targetnya hari ini, kacau sampai manusia tunduk takut pada kaumnya!

-TAMAT-

Love1
Hazril Najmi
Hazril Najmi
SEL 23

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *