Kaklong, Kita Lari Sama-Samalah
April 19, 2018
Hutan Berpenghuni
April 19, 2018

Restoran Magik

Views:   1,303

Cerpen : Restoran Magik
Oleh : Jie Hafizs

“3, 2, 1, Magic … Show Time!!!” Suara yang dinanti-nantikan oleh setiap pelanggan.

Tanpa membuang waktu, Azzam memulakan persembahannya pada malam itu. Dia tidak menyangka, minatnya terhadap silap mata sejak dari kecil berjaya dipelajarinya. Bahkan, sudah mampu dipertontonkan kepada khalayak. Sehingga kini, dia rajin memanfaatkan medium internet, membaca buku-buku berkaitan, dan menonton persembahan DVD ahli silap mata luar negara supaya berjaya menguasai bidang tersebut.

Jika difikirkan kembali, niat asalnya mempelajari silap mata sekadar menghargai minat sendiri sambil mengisi masa lapang. Di samping itu, silap mata dapat dijadikan medium untuk berinteraksi dengan orang-orang yang tidak dikenali. Ternyata benar, semakin ramai pelanggan mula tertarik untuk berkunjung ke restorannya.

Restoran miliknya kini telah dijenamakan semula dengan nama baharu, iaitu ‘Restoran Magik’. Dia juga turut memakai gelaran tersendiri sebagai ‘Azzam Wizard’ ketika membuat persembahan.

* * *

Setahun yang lalu …

Sudah enam bulan Azzam bergelar graduan. Rezekinya bagi mendapatkan pekerjaan yang sesuai masih belum berkunjung tiba. Terkadang, timbul perasaan ingin berputus asa. Walaupun begitu, dia sedar bahawa zaman sekarang memang agak sukar untuk mendapatkan pekerjaan tetap sekalipun berjaya menamatkan pengajian di peringkat universiti.

Akhirnya, Azzam akur menerima saranan ayahnya supaya membantunya menguruskan restoran. Itulah harapan orang tuanya memandangkan Azzam merupakan anak tunggal. Sekurang-kurangnya, segala ilmu perniagaan dapat diperturunkan kepada anaknya sendiri.

Malah, ayahnya turut bercadang ingin membuka cawangan restoran di lokasi yang berlainan pula, khusus bagi memberi peluang kepada Azzam untuk menguruskan sendiri restoran tersebut. Maka, segala perancangan melibatkan urusan sewa, mencari pekerja, dan sebagainya telah dibincangkan bersama.

“Baiklah, Azzam setuju dengan segala rancangan ayah. Tapi, Azzam bercadang ingin menggunakan nama baharu kepada restoran itu nanti. Boleh?” pintanya. Bagai ada perancangan di mindanya ketika itu.

“Terpulanglah kepada Azzam. Yang penting, restoran itu nanti tetap menyajikan masakan daripada resipi tradisi keluarga kita,” ujar ayahnya sambil tersenyum.

Restoran mereka memang cukup terkenal kerana kesedapan makanan, terutama nasi campur dengan lauk-pauknya melibatkan masakan kampung dari Pantai Timur. Tradisi itulah yang mahu dikekalkannya selama ini, bukan semata-mata ingin mempromosikan resipi keluarga.

Selepas beberapa bulan, restoran milik Azzam akhirnya beroperasi di kawasan Lembah Klang. Restoran itu bukan sahaja dibuka sewaktu makan tengah hari, tetapi dilanjutkan tempohnya menjelang tengah malam. Dengan niat, ingin membantu warga sekitar dalam memudahkan urusan mereka mencari makanan. Sebagaimana kata-kata ayahnya, “Berniaga sebenarnya dapat memudahkan urusan orang lain. Dengan itu, urusan kita juga akan dipermudahkan oleh Allah SWT.”

“Alhamdulillah …,” ucap syukur Azzam. Walaupun beberapa bulan beroperasi, sudah nampak keberhasilannya. Kebersihan sentiasa diutamakan agar tidak menjejaskan kesihatan para pelanggan. Bahkan, Azzam sedaya upaya mengekalkan harga makanan yang berpatutan supaya tidak membebankan mereka.

Selepas setahun beroperasi, akhirnya dia mendapat saingan baharu. Beberapa buah restoran telah dibuka di kawasan sekitarnya, terutama turut beroperasi sehingga larut malam. Walaupun begitu, pelanggan di restorannya sentiasa ada, selalu berpusu-pusu datang.

Namun, sejak akhir-akhir itu ada sahaja kejadian pelik yang berlaku. Timbul khabar angin melibatkan beberapa orang pelanggan yang terpandang kelibat lembaga hitam bergayut pada tiang-tiang di dalam restoran. Malah, anak kecil yang dibawa oleh pelanggan juga pernah menangis tidak henti-henti di situ. Semakin hari, pelanggan semakin berkurangan. Kedengarannya, sudah tidak menyukai masakan di restorannya, padahal ramuannya tetap sama.

Pada awalnya Azzam tidak percaya, sehinggalah muncul malam itu. Azzam sendirian di restoran ingin menghabiskan saki-baki kerjanya. Tiba-tiba, dia terdengar bunyi tangisan.

“Huk … Huk … Huk …!!!”

Kedengarannya dari arah dapur. Azzam memberanikan diri menghampiri tangisan itu. ‘Eh! Tiada orang …?’ soalnya sendiri kehairanan. Tiba-tiba, bajunya ditarik oleh seorang kanak-kanak berumur sekitar empat tahun.

“Astaghrifullah …!” istighfarnya kuat.

Kanak-kanak itu sambung menangis. Tika itu, tidak terlintas dalam fikiran Azzam dari mana datangnya kanak-kanak tersebut?

“Oh, adik rupanya … Jangan nangis,” pujuk Azzam.

“Nak ibu … nak ibu …” rungut kanak-kanak itu. Azzam terpinga-pinga sambil memujuk, “Ermm … Jom abang temankan adik cari ibu.”

Sebaik sahaja melangkah ke ruangan meja di restoran, kanak-kanak itu terus bersuara, “Ibu … ibu …!”

Siapa sangka, yang ditunjuk oleh kanak-kanak itu sebenarnya lembaga hitam berambut panjang. Tiba-tiba, dua beranak itu mengilai-ilai ketawa dengan nyaring dan kuat, “Hahaha …! Hihihi …!”

Azzam menelan air liurnya. Keringat mulai membasahi diri. Tidak semena-mena, rupa kanak-kanak itu pula kian bertambah pucat. Putih bagaikan mayat.

“Ting! Tung! Dummm …!”

Peralatan memasak di dapur berlaga sesama sendiri. Akhirnya, jatuh ke lantai berselerakan. Namun, pandangan mata Azzam hanya tertumpu kepada lembaga hitam tersebut.

Azzam mengucap panjang. Dia sempat membaca beberapa ayat suci al-Quran sebelum pengsan. Sejak itulah, kesihatannya mulai terganggu.

Sebulan selepasnya, restoran milik Azzam hanya beroperasi pada waktu tengah hari. Hal itu kerana, dia sering mengalami muntah dan pening kepala jika masuk sahaja malam hari. Dia tidak ingin terus menutup operasi restoran itu lantaran memikirkan nasib para pekerjanya nanti.

Sebelum tidur, Azzam tidak lupa memohon petunjuk Ilahi agar diberikan jalan untuk memulihkan kembali keadaan. Dia sebenarnya tidak ingin menabur benci dan dendam jika ada yang cuba merosakkan perniagaannya. Sebab itu, dia berusaha meningkatkan tahap keimanan agar terhindar daripada perkara-perkara syirik. Biarlah ada orang yang membuat keburukan, tetapi prinsipnya tidak mahu membalas juga dengan keburukan.

Ideanya timbul selepas mendapat panggilan telefon daripada seniornya sewaktu di universiti. Seniornya itu sempat bertanya sama ada masih meneruskan minatnya terhadap seni silap mata atau sebaliknya. Maka, Azzam kembali berlatih untuk mengasah bakatnya dalam silap mata.

Akhirnya, dia bercadang ingin mempersembahkan silap matanya itu di restoran. Dengan harapan, dapat menarik kembali pelanggannya yang sekian lama tidak berkunjung ke sana. Bermula dari situ, rutin malam hari Azzam bukan hanya sebagai pengurus restoran, tetapi sebagai ahli silap mata.

* * *
Penonton bertepuk tangan. Teruja dengan persembahannya.

‘Ah …! Dadaku terasa sakit. Kenapa?’ keluhnya sendirian. Kesakitan itu seringkali dirasakannya sewaktu ingin memulakan persembahan. Tetapi, wajahnya sentiasa harus tersenyum. Tidak boleh menunjukkan wajah kesakitan atau bersedih di hadapan para penonton. Padahal, gangguan itu telah lama menghilang.

‘Masih ada lagikah manusia yang cemburu sehingga berdendam sebegini rupa?’ getus jiwanya.

Gangguan lama kembali lagi. Persembahannya pada malam itu ditamatkan awal. Pun begitu, pelanggan yang menjadi penonton tetap memukau dengan persembahannya. Ketenangan harus digapainya biarpun berdepan dengan situasi sebegitu. Sebolehnya, dia tidak ingin sekadar berdiam diri. Tetapi, harus kuat melawan.

Percaya atau tidak, perbuatan syirik dengan menyekutukan Allah SWT bukan semakin menghilang, tetapi semakin ramai menggemarinya. Barangkali, pengamal sihir itu semata-mata inginkan kekuatan, kemewahan, kecantikan, kemahsyuran, dan seumpamanya.

Azzam merasa sedih dengan sikap segelintir umat Islam kini. ‘Adakah mereka ingin menyambung tradisi zaman Firaun yang popular dengan pengaruh sihir?’ bicara batinnya sendiri.

Malam-malamnya berlalu seperti biasa. Selesai membuat persembahan silap mata, ada seorang lelaki yang berusia 30-an memandangnya sinis. Tiba-tiba dia bersuara, seakan-akan tidak berpuas hati, “Ish! Tidak masuk akal persembahan itu. Mesti kamu gunakan ilmu sihir atau bantuan jin,” tuduhnya, seolah tidak mampu menerima sesuatu yang tiada logik akal. Begitulah stigma negatif yang sering dilemparkan kepada ahli silap mata.

“Abang, silap mata bukan sihir. Tetapi, hanya berupa helah (trick) daripada pelbagai teknik dengan bantuan peralatan khas. Sudah pasti, perlukan banyak latihan untuk menguasainya. Seorang ahli silap mata tersohor, seperti David Copperfield melakukan latihan selama berpuluh-puluh tahun untuk menguasai dunia seni silap mata,” balasnya tenang.

Lelaki itu terdiam malu, terutama selepas dipandang serong oleh pelanggan yang lain. Lantas, dia terus meninggalkan restoran tanpa sepatah kata.

Persembahan Azzam kebiasaannya banyak menggunakan silap mata dari jarak dekat (close up magic) kerana lebih mudah mendapatkan prop yang lebih kecil dan ringkas. Misalnya, kad terup, bola span, syiling, merpati, dan seumpamanya dengan memerlukan kecekapan teknik atau gerakan tangan yang pantas. Manakala, bagi yang menggunakan ilusi pentas (stage illusion), Azzam hanya melakukannya dua kali seminggu kerana memerlukan peralatan yang banyak, malah canggih dan besar dari segi saiznya. Sudah pasti persediaaan yang rapi perlu dilakukannya.

Gangguan yang dialaminya itu turut diberitakan kepada ayahnya. Memandangkan, ayahnya juga dapat dijadikan rujukan utama dalam bidang ilmu dan pengetahuan keagamaan. Pernah Azzam bertanya, “Ayah, adakah membuat silap mata itu termasuk dalam perbuatan syirik?”

“Dikatakan syirik jika perbuatan seseorang itu telah menduakan Allah SWT, yakni dengan meminta pertolongan selain daripada-Nya,” jelas ayahnya. Azzam mulai memahami. Lagipun, dia yakin bahawa teknik silap mata yang menjadi minatnya itu bukanlah sihir atau ilmu hitam yang melanggar syariat agama.

Azzam sedar, semakin maju restorannya, semakin kuat gangguan yang dialami. Hampir setiap malam, Azzam terlihat kelibat lembaga hitam tempoh hari walaupun tidak menjelma di hadapannya lagi. Demi mencari puncanya, Azzam dan ayahnya berkunjung ke restoran-restoran berdekatan. Bukan ingin menuduh atau mencari gaduh, tetapi sekadar menyapa dan meminta maaf sekiranya ada kekhilafan sepanjang bersaing dalam bidang perniagaan.

Jika benar gangguan itu datangnya daripada mereka, harapannya agar dapat diselesaikan dengan cara baik tanpa prasangka buruk. Malah, Azzam dan ayahnya sudah seminggu berjaga malam bagi mencari dan mengenal pasti dalang di sebalik gangguan itu.

Akhirnya, mereka dapat menangkap seorang lelaki yang melakukan kerja-kerja sebegitu. Lelaki itu dilihat oleh mereka cuba menabur sesuatu di hadapan kedainya. Ya, kerja-kerja itu dilakukan untuk menguatkan sihir.

Rupa-rupanya, lelaki itu pernah dikenali oleh Azzam. Lelaki yang tidak percaya kepada silap mata, yang menuduhnya melakukan sihir. Kata-kata itu bagai menikam dirinya sendiri kerana dialah yang sebenarnya melakukan sihir.

Jika ikutkan hati, mahu sahaja Azzam memukul keras lelaki itu lantaran sudah lama tidak berpuas hati. Tetapi, dia cuba mengawal emosinya sebagaimana saranan ayahnya yang sentiasa tenang.

Kata lelaki itu, dia diupah oleh pemilik restoran berdekatan untuk melaksanakan tugasan sebegitu. Maka, tahulah mereka punca dan dalang sebenarnya di sebalik gangguan yang dialaminya selama ini.

Tidak lama kemudian, mereka berjaya bertemu dengan dalang di sebalik gangguan tersebut.

“Sebab sihir itu nyata …! Lagipun, salah satu cara pantas untuk mendapatkan ramai pelanggan,” jelas pemilik restoran itu semacam angkuh, biarpun telah mengakui perbuatannya.

“Masalahnya, saya yang menjadi mangsa. Kamu tahu, saya seringkali terganggu dengan masalah kesihatan disebabkan perbuatan syirik kamu itu?!” balas Azzam menekan nada.

“Persembahan silap mata kamu juga tentu dengan bantuan sihir. Kalau tidak, kenapa ramai pelanggan semakin ramai memasuki restoran kamu? Mungkin juga, kamu menipu para pelanggan dengan silap mata,” soal pemilik restoran itu lagi.

“Ya! Silap mata memang menipu penonton. Tetapi, orang yang menontonnya merasa senang ditipu. Kerana, mereka tidak bodoh seperti kamu yang tidak tahu apa-apa mengenai seni. Malah, mereka sendiri gembira dan terhibur. Sebab itu, mereka tertarik untuk memasuki restoran ini!” terang Azzam.

Pemilik restoran itu terdiam. Kemudian, dia menjerit bagaikan dirasuk. Ketawanya kuat! Ya, lembaga hitam itu merasuk tubuhnya kini. Senjata telah makan tuan.

“Allahu Akbar!” laung Azzam sebelum terpaku seketika.

Ayahnya mula bertindak. “Keluar dari tubuh manusia ini!” pintanya. Lembaga itu masih berdegil. Dia menggunakan tubuh pemilik restoran itu untuk berkomunikasi.

“Aku suka manusia bersikap begini. Tak mungkin aku mahu keluar semudah itu!” kata lembaga itu melalui tubuh pemilik restoran. Dialog mereka berlangsung hampir sejam. Terkadang, lembaga itu berbahasa Siam.

Tiada pilihan lain selain memaksa lembaga itu keluar. Azzam membantu dengan memegang tangan pemilik restoran itu. Ayahnya kumat-kamit memulai bacaan istighfar, selawat, zikir, al-Fatihah, ayat kursi, dan ayat-ayat ruqyah untuk menghalaunya. Akhirnya, proses itu diakhiri dengan doa.

“Sihir merupakan salah satu perbuatan syirik. Pak cik berharap kamu kembali ke pangkal jalan,” ujar ayahnya selepas pemilik restoran itu pulih kembali.

“Kami sekeluarga membangunkan restoran ini sehingga mencapai kemajuan dengan pelbagai usaha. Tiada jalan mudah atau pintas untuk terus berjaya. Contohilah akhlak dan peribadi Rasulullah SAW dalam aktiviti berniaga. Insya-Allah, kita semua mampu berdaya saing secara sihat, seterusnya sama-sama berjaya di dunia dan akhirat,” sambung ayahnya lagi.

“Kita laporkan sahaja kepada pihak polis!” dengus Azzam. Ayahnya menasihati supaya tetap bersabar.

“Maafkan saya Azzam … Saya janji takkan buat lagi. Tolong, jangan laporkan saya kepada pihak polis. Silap saya selama ini kerana tidak berfikir panjang. Saya akui telah tersilap dalam menilai kemajuan restoran kamu,” rayu pemilik restoran itu.

Situasi kembali tenang.

“Baiklah, kali ini saya maafkan, tetapi dengan bersyarat!” ujar Azzam. “Syaratnya, kamu dan anak buah kamu itu harus meminta maaf kepada para pekerja saya. Seterusnya, saya mengharapkan perubahan sikap kamu berdua.”

Pemilik restoran itu terus mengangguk setuju. Ayahnya sekadar tersenyum. Azzam pula lega hati kerana segalanya telah selesai. Namun, kelihatan seorang kanak-kanak berwajah pucat sedang memerhatikan mereka dari kejauhan. Tiada seorang pun yang menyedarinya …

-TAMAT-

Detektif Sastera
Pencinta Buku
Penggemar Nasyid

Love3
Jie Hafizs
Jie Hafizs
Detektif Sastera Pencinta Buku Penggemar Nasyid

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *