BironTale Chapter 10: Biron The Plumber
May 3, 2018
A.I.A (ayah ibu anak)
May 4, 2018

SIAPA YANG PULANG?

Views:   1,967

Assalamualaikum.

Nama aku Azam. Cerita yang ingin aku ceritakan ini adalah ketika aku masih lagi budak tak matang yang dikelilingi kawan-kawan baik sebagai family memandangkan aku jauh daripaa family sebenar aku.

Aku mempunyai seorang kawan baik yang boleh dikatakan gila-gila jugalah. Biar aku gelarkan dia sebagai Lan. Aku kenal Lan masa aku join kelab bola sepak di daerah situ juga dan Lan sebagai kapten pasukan. Daripada situ aku mula rapat dengan Lan sebab kata Lan aku agak power bila main. Jadi ke mana-mana pun, kitorang pasti akan pergi berdua bak kata orang ibarat belangkas. Melekat berpisah tiada.

Bagi aku Lan ni memang agak sewel sikit. Dia ni kalau orang sembang dengan dia boleh jadi gila. Kadang-kadang rasa nak maki saja. Dia jenis tak jaga hati and perasaan orang sangat. Apa yang aku paling suka dekat Lan ni, dia memang suka bercerita. Daripada pengalaman dia sekolah rendah sampailah pergi kem, masuk bilik airlah. Semua dia akan cerita terutamanya pada aku.

Suatu hari tu kitorang ambil keputusan untuk lepak dekat kedai makan yang dekat dengan rumah kitorang. Lupa bagitahu yang kitorang sewa rumah dengan lagi tiga member yang lain. So malam tu memang kitorang free so kitorang ambil keputusan untuk lepak-lepak buang masa. Tak silap jam masatu menunjukkan pukul 11 malam.

Saat-saat boring ni lah Lan akan gunakan kesempatan untuk keluarkan segala cerita-cerita dan pengalaman dia. Macam mana entah dia boleh terfikir nak keluarkan cerita hantu waktu-waktu macam tu. Kalau diingatkan balik, memang meremang bulu roma aku.

Kata Lan benda ni berlaku masa dia baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia di sebuah sekolah yang terletak dia negeri Kedah. Dia tinggal di sebuah kampung yang sangat harmoni dengan orang-orang kampung yang saling bantu membantu satu sama lain. Keluarga dia adalah antara keluarga yang disenangi penduduk kampung memandangkan arwah tokwan dan arwah ayahnya adalah bekas imam di kampung tersebut. Apa yang aku pelik, ayah and tokwan imam, macam mana dia ni boleh wujud tak tau. Perangai entah apa-apa. Ok tamat setakat ini.

Katanya, peristiwa ini masih tersemat dalam fikiran dia dan dia tak akan lupakan sampai bila-bila. Memandangkan dia dah biasa ikut arwah ayah dia menjadi sukarelawan kampung, jadi pada hari tersebut dia dengan senang hati menawarkan dirinya untuk melakukan pekerjaan tersebut sedangkan pekerjaan itu tak pernah dilakukannya sebelum-sebelum ini. Lupa aku cakap yang dia hanya tinggal dengan ibunya sahaja dan dia adalah anak tunggal dalam keluarga.

Alkisahnya pada suatu hari, seorang penduduk kampung yang digelar Pak Nah telah meninggal dunia akibat sakit tua. Jadi pada hari itu penduduk kampung akan bekerjasama daripada menggali kubur, mengkafankan sehinggalah menguburkan si mati.

Disebabkan pada hari itu dia tidak mempunyai sebarang rancangan, jadi dia mengambil keputusan untuk menolong orang kampung menggali kubur itupun atas cadangan ibunya. Lagipula tidak salah untuk pelajari sesuatu yang baru. Petang itu juga dia terus tawarkan diri pada imam di kampung tersebut.

Usai solat isyak, Lan dan seorang lagi penduduk kampung yang dia panggil sebagai Abang Din terus berjalan menuju ke kubur. Mereka berdua membawa peralatan seperti cangkul, torchlight dan sebagainya yang dipinjam daripada stor balai raya. Kawasan tanah perkuburan tersebut agak menyeramkan kerana berlatar belakangkan hutan dan pokok-pokok besar dan tinggi.

“Sekejap lagi tolong Abang Din juga tau..terkejut abang dengar Lan nak tolong..” Lan hanya mengangguk. Kawasan sekeliling di pandang dengan perasaan gerun.

Saat tiba di tempat yang sepatutnya, tiba-tiba Abang Din bersuara.

“Siapa pula yang korek ni?”

Lan terus tengok di tapak tersebut. Dia tengok ada kesan seperti cakaran dan lubang-lubang tetapi tidaklah terlalu dalam.

“Mungkin binatang kut..jom kita mula..” sambung Abang Din.

Lan yang tak tahu apa-apa hanya mengangguk saja.

Abang Din mula mengukur tanah mengikut ukuran saiz si mati yang diberikan oleh keluarga arwah. Lan masa tu tengok saja dengan penuh kagum. Yelahkan, first time tengok orang ukur kubur.

Usai mengukur, Abang Din terus serahkan cangkul pada Lan dan mengajar dia cara untuk mengorek dengan betul. Lan just ikut saja masa tu. Kata Lan, sesekali diorang akan berhenti sekejap untuk melepaskan penat. Walaupun baru 30 peratus tanah dikorek, tetapi Lan kata dia betul-betul letih. Dia langsung terfikir macam manalah orang macam Abang Din boleh buat kerja sorang-sorang. Nampak senang tetapi realitinya teramat susah.

Malam semakin pekat dan dingin. Sekali sekala terdengar seperti seseorang memijak daun kering. Abang Din kata itu mungkin kucing ataupun binatang-binatang kecil yang lain.

Setelah lama mengorek, peluh pun sudah membasahi bajunya, Lan terus lempar cangkul ke tepi. Dia kata saat tu dia betul-betul letih sangat. Melihat keadaan Lan, Abang Din terus minta dia untuk berehat. Memandangkan segalanya hampir siap, Lan terus meminta maaf dan meminta diri untuk berehat seketika.

Dia pergi ke salah satu pokok besar yang berdekatan dengan tempat di mana aktiviti mengorek tanah dijalankan. Badannya yang terasa letih disandarkan pada pokok. Lan sebenarnya nak pejamkan mata sekejap saja entah macam mana dia boleh tertidur. Lan kata masa dia tidur tu dia rasa macam ada sesuatu benda yang tajam menyentuh kepala dia. Dia ingat ranting tapi tak logik pula ranting sebab pokok tu memang tinggi. Dia terus tepis benda tu.

Tak lama selepas tu, sekali lagi benda tu menyentuh kepala dia. Lama-lama Lan rasa benda tu seperi menjalar turun ke dahi dia and terus tutup mata dia dan dia dapat rasakan benda tu seakan-akan rambut.

Lan terus buka mata dan menjauh daripada pokok tersebut. Matanya terbeliak. Kata Lan dia lihat dekat pokok tu ada satu perempuan sedang tergantung dalam posisi songsang iaitu kepala di bawah dan kaki di atas. Mata perempuan yang hitam seluruhnya sedang tepat memandang ke arah Lan dan mulutnya pula ternganga luas.

Lan tak tunggu lama, dia terus lari tak cukup tanah untuk meminta tolong Abang Din. Sampai saja dekat tempat yang sepatutnya, dia lihat Abang Din dah tak ada. Malah barang-barang juga telah diangkut pergi. Tak sangka Abang Din tinggalkan dia. Apa lagi dia terus saja lari tinggalkan tanah perkuburan tu and pulang ke rumah dia. Langsung dia tak toleh ke belakang.

Masa Lan cerita ni, keadaan kedai makan agak lengang dan cuaca juga memang tidak baik seakan nak hujan. Angin juga bertiup kencang dan pokok-pokok pinang tinggi dibelakang kami seakan melambai-lambai dan agak menyeramkan.

Masa dia sampai di rumah, Lan betul-betul terasa mengah. Tanpa bagi salam dia terus masuk dalam rumah.

“Hah Lan..pergi mana pula ni? Kan ibu suruh kamu mandi lepas balik daripada kubur. Tadikan kamu dah masuk bilik air kenapa tak mandi lagi?” Tegur ibu Lan yang datang daripada dapur.

Lan terkedu sekejap sebab otak dia betul-betul tak dapat berfungsi dengan baik.

“Lan balik dengan sapa?”

Siapa pula yang pulang dan menyerupai aku? Walhal aku baru sampai ke rumah.

“Dengan Abang Din kamu lah..takkan kamu lupa kut..” ibu ketawa kecil.

Lan masa tu pelik dah sebab ketawa ibu dia berbunyi halus dan meleret-leret. Ibu dia terus keluar dari rumah. Lan ikut ibu dia daripada belakang and belum sempat dia tanya lebih lanjut, tiba-tiba someone pegang bahu dia.

“Cari siapa?”

Lan toleh.

“Allahuakhbar!!” Dia terundur.

Kau bayangkan kau baru saja nampak ibu kau keluar depan mata kau tiba-tiba ada orang sentuh bahu kau then kau toleh kau nampak ibu kau kat belakang kau. Kau rasa?

“Lan tengok apa? Tadikan ibu dah suruh mandi? Kenapa kotor lagi?”

Siapa yang cakap dengan dia tadi? Siapa yang keluar tadi?

“Bukan ibu keluar ke tadi?” Lan terus tanya. Masatu dia betul-betul bingung.

“Apa kamu merepek ni? Ibu dekat dalam bilik dengan adik sepupu kamu..”

Kelihatan seorang budak lelaki lingkungan 4 tahun menjengulkan kepalanya daripada belakang ibu. Dia tersenyum kepada Lan.

“Dah pergi mandi..”

Lan ikut saja cakap ibu dia. Masa dalam bilik air Lan kata dia jumpa gumpalan rambut panjang yang agak banyak tetapi dia fikir tu rambut ibu dia. Usai mandi, dia terus keluar daripada bilik air dan masuk ke dalam bilik dia. Suis kipas siling dipasang. Bunyi kriukk kriukk pada kipas siling tersebut menganggu tumpuannya.

“Aduhh takkan rosak pula..” baru saja dia nak tutup suis kipas tiba-tiba ada orang ketuk pintu bilik dia. Pintu dibuka.

“Lan..jaga sekejap adik sepupu kamu ni.. ibu nak buat air..” Lan mengangguk. Hafiz dibiarkan duduk di atas katil dia.

“Abang Lan..” tegur Hafiz. Lan yang sedang leka susun buku terus toleh ke adik sepupu dia.

“Kenapa?”

Lan kata masa tu Hafiz pandang saja dekat kipas siling yang berbunyi pelik tu sambil jari telunjuk dia tunjuk dekat kipas tu. Lan ikut sama tengok tapi tak ada apa-apa. Dia ingat Hafiz nampak labah-labah. Tiba-tiba Hafiz cakap sesuatu yang buatkan Lan cepat-cepat bawa Hafiz keluar bilik.

“Ada kakak atas tu.. dia buat apa? Kenapa rambut dia sampai lantai?”

Masa ni Lan kata dia memang tak sedap hati. Hafiz dia dukung and terus bawa keluar ke ruang tamu.

Dekat ruang tamu Lan nampak ibu dia tengah duduk di atas sofa sambil tengok tv. Tetapi yang buatkan Lan pelik adalah rambut ibu dia. Seingatnya, rambut ibu dia separas pinggang saja, jadi rambut siapa yang mencecah lantai tu. Lan ingin menegur ibu dia tetapi Hafiz lebih cepat bersuara.

“Mak Long..ada kakak..mata dia besar..Hafiz takut..dia senyum tengok Hafiz..” Lan lihat Hafiz terus peluk ibu yang berada di belakang dia. Lan toleh ke sofa balik, ‘ibu’ yang dia maksudkan tadi telah tiada. Masa tu dia betul-betul rasa ada benda tak kena.

“Ibu..Lan rasa peliklah ibu..”

“Kenapa pulak?”

“Tak tahu ibu..Ada benda tak kena..macam ada sesuatu dalam rumah kita..”

“Ibu pun rasa macam tu Lan..”

Lan kerutkan dahi dia.

Lan kata ibu dia cerita masa dia duduk dalam bilik tadi ibu dia ada pergi ke bilik stor milik arwah ayah dia. Tombol bilik tu memang tak ada dah tercabut dan buatkan pintu bilik tu terlopong. Ibu dia perasan macam ada mata tengah jenguk daripada dalam. Ibu dia pun ikut tengok. Ibu dia ingat ibu dia silap tengok. Alih-alih benda tu ikut tengok ibu dia. Mata jadi bertembung.

Kau bayangkan mata merah dan berbulu tengah jenguk dekat tombol pintu kosong tu dan kau pun ikut jenguk sekali? Ibu dia terus bangun mendadak. Ibu dia nak pergi ke depan tapi daripada jauh ibu dia tengok pemadam api yang sepatutnya tergantung ada di atas lantai . Ibu dia pergi dekat sikit. Lan tanya tahu apa ibu dia nampak?

Benda tu dok berdiri tegak.. kain hitam muka hitam.. mata bulat merah .. gigi taring tersembul kedepan.. ibu dia pun lari cepat-cepat sampai ruang tamu. Masa itulah diorang bertembung yang Hafiz peluk ibu Lan.

Malam tu juga diorang keluar dari rumah tu and pergi ke rumah adik Ibu Lan. Diorang stay sekejap dekat sana sebelum minta bantuan imam kampung untuk settlekan masalah diorang.

Lan sempat jumpa dengan Abang Din and Abang Din kata memang dia balik dengan ‘Lan’ malam tu. Tapi masa tu memang dia pelik sikit sebab ‘Lan’ yang dia bawa balik tu diam saja. Tapi dia tak hiraukan dia ingat Lan penat. Dia pun minta maaf sebab tertinggal Lan dekat kubur.

Lan kata lepas tu semuanya dah selesai dan dah tak ada gangguan. Mungkin silap dia sebab terganggu tempat benda tu dekat kubur tempoh hari. Sebab tu benda tu terikut dia balik sekali.

Masa aku cakap dengan Lan ni dia kata kalau benda ni kita cakap pasal dia, nanti dia akan datang. Ehh budak ni spoilkan mood aku saja. Terus aku ajak dia pulang. Tak pasal-pasal malam ni ada juga orang kena tanam hidup-hidup.

Segala yang berlaku hanyalah permainan jin dan syaitan laknatullah yang mahu menyesatkan anak-anak Adam. Kita sebagai hamba-NYA sentiasalah mendekati-NYA dan sentiasa takut akan-NYA. Wallahualam.

Assalamualaikum

20 years old

Writer at wattpad

Love16
EiykaNightmaree
EiykaNightmaree
20 years old Writer at wattpad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *