Hutan Berpenghuni
April 19, 2018
BironTale Chapter 5: The Escape
April 20, 2018

Pugai (Sissy)

Views:   1,471

Sedang saya asyik menghadap komputer untuk menyiapkan pekerjaan, hp di sisi berdering kuat. Saya ambil dan menyentuh skrin.

“ Hello.. “

“ Sha, balik rumah dulu nak. “

“ Kenapa ma? “

“ Sissy.. “ suara mama menangis kedengaran.

Saya terus panik mendengar suara mama menangis.

“ Ma, kenapa sama Sissy? “

“ Baliklah dulu! Yang lain-lain pun sudah ada di sini. “

Sebaik sahaja selasai bercakap dengan mama, saya mematikan talian dan mengemas meja. Setelah meminta izin pada atasan saya untuk mengambil cuti kecemasan, saya terus memandu pulang ke rumah mama. Sejam memandu akhirnya saya tiba di rumah mama. Saya melangkah naik.

Apabila tiba di hadapan pintu, dengan jelas saya melihat tubuh Sissy berbaring di ruangan tengah ruang tamu rumah dan perutnya membesar. Sissy di kelilingi oleh ahli keluarga yang lain dan beberapa orang yang saya tidak kenali. Saya terus berlalu masuk dan membersihkan diri sebelum mendekati mama.

“ Ma.. “

Mama menoleh dan terus memeluk saya sambil menangis.

“ Kenapa sama Sissy? “ saya bertanya.

Mama menggelengkan kepala.

“ Sissy mengandung? “

Mama menggelengkan kepala sekali lagi.

“ Jadi Sissy kenapa? Kalau mama tidak cakap, macamana saya mahu tahu? “ nada saya sedikit keras.

“ Mama pun tidak tahu. Dia ada mengadu sama mama tidak dapat buang air besar jadi mama bawa dia pergi hospital. Doktor ada bagi ubat untuk melawaskan pembuangan tapi sama juga. Tiba-tiba hari ni perut Sissy membesar begitu. “

“ Berapa lama sudah Sissy begitu? “

“ Masuk 2 bulan sudah. Perut dia kadang mengecil kadang membesar. Baru hari ini perut dia membesar seperti itu dan badannya panas. “

“ Sudah 2 bulan dan baru sekarang mama bagitahu saya? “

Saya tidak tinggal serumah dengan mama dan adik beradik yang lain. Saya menyewa di tempat lain bagi memudahkan perjalanan saya ke tempat kerja.

“ Mama ingat benda ini tidak serius. Mama tidak mahu menyusahkan kamu! “

“ Ma, kenapa mahu cakap begitu?! “ saya sedikit marah.

Mama menangis. Saya menenteramkan mama sebelum saya mendekati Sissy yang terbaring sambil memejamkan mata. Kelopak matanya bergerak-gerak.

“ Si.. “ saya menyentuh lengannya.

Sissy mencelikkan mata memandang saya. Pandangan matanya kelihatan redup dan sayu. Seolah-olah, Sissy sedang menanggung satu perasaan yang sukar di gambarkan dengan kata-kata.

“ Sissy.. “ air mata saya mengalir.

Sissy mengukir senyuman kecil dengan agak payah.

“ Kenapa jadi begini Sissy? “ saya mengelap air mata yang mengalir dan sedaya upaya menahan agar tidak ada lagi air mata yang mengalir.

“ To..long sa..ya.. “ Sissy bersuara perlahan. Hampir tidak kedengaran suaranya.

“ Siapa yang buat kau begini Sissy? “

Sissy diam. Matanya terpejam semula. Saya menggenggam erat tangan Sissy. Tapak tangannya terasa sejuk.

“ Kita berdoa untuk Sissy. “ saya bersuara.

Kami mulai mengerumuni Sissy dan mulai berdoa mengikut agama kami iaitu, Kristian. Saya masih menggenggam erat tangan Sissy. Ketika doa di mulai, tubuh Sissy mulai bergoncang. Bahagian dadanya terangkat ke atas ibarat ada sesuatu yang menarik bahagian dadanya. Sissy menarik nafas kuat hingga kedengaran ibarat bunyi kucing menderam. Tubuh Sissy mulai panas. Kami meneruskan doa bersama hingga seluruh ruangan bergema dengan suara doa kami.

Saya mulai mendapat bayangan ketika berdoa. Saya melihat sebuah laluan pejalan kaki yang tidak kelihatan penghujungnya kerana di litupi dengan kabus. Saya terus memandang ke hadapan dan saat itu, saya terlihat seorang nenek tua berpakaian lusuh. Sehelai kebaya putih bersama kain sarung. Badannya sedikit bongkok. Nenek itu tersenyum. Walaupun wajahnya tidak menakutkan, namun senyumannya itu menyimpan 1001 makna tersirat. Renungan matanya bersahaja namun apabila di tatap lebih lama, bola matanya yang hitam merenung tajam. Nenek tua itu kemudian berpaling dan melangkah pergi. Sesaat kemudian, bayangan itu mulai menghilang dan saya pantas membuka mata.

Badan Sissy semakin panas. Bahagian bawah badannya terangkat ke atas. Saya mengusap kepala Sissy lembut.

“ Si, ingat Tuhan Si! Kami di sini semua sayangkan kau. Kuatkan semangat kau Si. Kau pasti boleh. Dengar suara saya Si. Ikut saya berdoa. Kita berdoa bersama. “ saya bercakap dengan Sissy yang memejamkan matanya rapat.

Saya kemudian merapati telinga Sissy dan membacakan doa Bapa Kami ke telinganya. Kedengaran suara Sissy sayup-sayup membaca doa namun hanya sebentar. Sissy mulai tertawa. Sekejap-sekejap Sissy akan menangis dan mengikuti doa saya. Saya membacakan doa berulang-ulang ke telinga Sissy walau Sissy umpama mempersendakan doa saya. Sissy mulai ketawa mengilai perlahan namun tajam. Saya abaikan dan masih meneruskan pembacaan doa ke telinga Sissy. Perlahan-lahan suara Sissy mulai perlahan dan akhirnya Sissy diam. Perutnya yang kembung tadi mulai surut.

Apabila keadaan Sissy mulai tenang, kami berhenti berdoa dan saya melepaskan genggaman pada tangan Sissy. Badan saya terasa penat. Saya mengeluh.

“ Sha.. “

Saya menoleh ke arah mama.

“ Kenapa ma? “

“ Sherin sudah sampai. “

“ Dia dari mana? “

Mama diam tidak menjawab.

“ Sissy sering menyebut nama Sherin. Dia sering berkata kalau dia rindukan Sherin. “

Saya mengeluh perlahan. Saya kemudian memanggil Sherin.

“ Sher.. “

“ Kenapa? “

“ Sissy perlukan kau. Dia perlukan kita semua. Bagi semangat untuk Sissy! “

“ Tolonglah Sha! Itu semua cuma halusinasi Sissy semata-mata. Dia begitu sebab dia stress. “

Saya merenung Sherin tajam.

“ Fine! “ Sherin melangkah mendekati Sissy yang sedang terbaring menutup mata.

“ Sissy.. “ Sherin bersuara dan Sissy membuka mata. “ .. bangunlah! Lawan perasaan kau sekarang. Jangan benarkan ada bisikan-bisikan yang cuba masuk dalam fikiran kau. Kau kena kuat. Jangan lemah begini. Bangun.. “ Sherin sedikit kasar.

Sissy menatap wajah Sherin sayu. Seperti ada yang ingin dia sampaikan namun tidak terluah. Sherin menarik tangan Sissy. Tanpa sebarang amaran, Sissy menampar pipi Sherin kuat.

“ Papp!! “

Bunyi tamparan itu mengejutkan seluruh seisi ruangan itu. Sherin mengetap bibir. Rahangnya bergerak-gerak menahan marah. Sissy mulai tertawa dan bangkit. Sissy duduk menghadap Sherin.

“ Si.. “ Sherin bersuara setelah agak lama mendiamkan diri.

Sissy tidak menyahut malahan dia mulai menangis.

“ Mari kita berdoa! “ saya bersuara.

Ketika kami memulai doa, angin tiba-tiba sahaja bertiup kencang. Daun pokok kelapa di luar rumah memukul bumbung rumah. Lolongan anjing mulai kedengaran panjang dan bersahut-sahutan. Angin yang bertiup kencang tadi mulai berlumba-lumba masuk ke dalam rumah. Bulu roma saya saya berdiri tegak. Hilaian tawa kedengaran. Sesaat kemudian, angin yang bertiup kencang mulai berhenti dan menghilang dalam sekelip mata. Tubuh Sissy bergoncang kuat. Kami menguatkan bacaan doa dan pintu rumah tertutup rapat.

“ Bamm!! “

Kami terkejut dan bacaan doa kami terhenti. Kami menoleh ke pintu yang tertutup rapat. Kedengaran bunyi bisikan ahli keluarga bertanya siapa yang menutup pintu dan yang lainnya berbisik mengatakan kalau ‘dia’ sudah pergi.

Keadaan mulai reda. Sissy juga suda boleh bercerita seperti biasa namun dia terlihat lemah. Sissy muntah namun tidak ada apa-apa yang keluar dari mulutnya.

Keesokan harinya, kami sekeluarga berkumpul di ruang tamu. Sissy berehat di dalam bilik. Badannya masih panas dan lemah.

“ Kamu tidak mahu cari orang pandaikah ubat Sissy? “ saya bertanya.

“ Kalau boleh mama tidak mahu Sissy di ubat dengan cara lain selain daripada ajaran agama. “

“ Tapi ma.. Mama tidak kesiankah sama Sissy? “ saya sedikit berkeras.

“ Apa pun Sha, mama serahkan semuanya di tangan Tuhan. Biar Tuhan yang tentukan jalan hidup Sissy. Kita bantu Sissy dalam doa. “

Saya diam. Adik-beradik saya yang lain ikut diam. Kami kemudiannya membuat hal masing-masing. Saya dan mama pula masuk ke bilik Sissy. Sissy sudah terjaga dari tidur dan duduk menyandar di kepala katil.

“ Sissy.. “ mama menggenggam erat tangan Sissy. “ .. mama minta maaf kalau kamu rasa mama pentingkan diri. Mama serahkan semuanya di tangan Tuhan. Berdoalah Sissy. Minta ampun dengan Tuhan. Minta kekuatan daripada-Nya. Semoga Tuhan mengampuni segala dosa yang pernah kau lakukan dan kau cepat sembuh. Itu saja mama minta. Kita sebagai manusia tidak lari dari berbuat dosa. Antara sedar dan tidak sedar. Cuma Tuhan jalan kita. Tidak ada jalan lain. Mama yakin kau pasti akan sembuh.“ dalam sendu mama bercakap.

Saya menitiskan air mata dan menerima apa yang mama katakan. Sissy juga begitu.

“ Apa bha punca sebenar kau jadi begini Sissy? Takkan tiba-tiba saja? “ saya bertanya.

“ Di tempat kerja kami ada satu lelaki selalu bagi saya makanan. Dia selalu curi-curi ambil gambar saya. Kadang dia cakap sama saya yang dia ada pugai-pugai saya. Dia pernah lagi cabut rambut saya. Dia tahu juga kalau saya tengah sakit. Dia selalu cakap begitu sama saya. “

“ Lelaki tu orang apa? “

“ Dia bukan orang sini. Bangsa Filipin. “

“ Sha, kau tengok ni.. “ mama menghulurkan saya satu botol kaca yang panjangnya lebih kurang 1 inci setengah. Di dalamnya ada cecair berwarna merah yang mengeluarkan haruman menenangkan.

“ Apa benda ni ma? “

“ Mama dapat dari beg Sissy selalu bawa pergi kerja. “

“ Kau dapat dari mana ni Sissy? “ saya memandang Sissy.

Sissy diam. Pandangan matanya tajam ke arah mama dan saya.

“ Dia dapat dari kawan kerja dia sebab dia selalu mengadu sakit kepala. Sissy bagitahu kalau benda ini ada pantang larangnya dan dia menulisnya di atas sekeping kertas. “

“ Jadi mana itu kertas? “

“ Sissy rebut dari mama. “

“ Apa pantang larang dia? “

“ Mama tidak ingat sudah tapi salah satunya ialah tidak boleh lalu di bawah jemuran kain. “

“ Apa benda yang kau ambil ni Sissy? Kau tahukah benda ni tidak bagus? Tidak ada ubat yang ada pantang larang Sissy! “ saya sedikit marah.

Saya berdiri bersama botol kaca itu. Sissy menahan saya. Matanya tajam memandang saya. Tanpa mempedulikan Sissy, saya menarik tangan saya dan berlalu ke dapur. Saya memgambil tin biskut yang kosong dan membalut botol kaca itu dengan surat khabar yang banyak sebelum menyalakan api.

“ Sasha! “ Sissy menjerit.

Saya mengabaikannya.

“ Apa yang kau buat ni Sasha?! “

“ Sudahlah Sissy! Kalau kau sakit, jumpa doktor! Bukannya pakai benda-benda seperti ini. “

Sissy merenung saya tajam dan terus berlalu pergi.

Botol kaca itu mulai terbakar. Haruman daripada cecair itu mulai memenuhi ruangan beranda rumah mama. Saya pantas menutup pintu agar asap daripada cecair itu tidak masuk ke dalam rumah. Saya kemudian membuang pandangan ke luar rumah.

“ Panas! “ suara jeritan Sissy kedengaran silih berganti dengan suara tangisannya. Tidak lama selepas itu saya mendengar bunyi air di curahkan. Saya mengagak kalau Sissy sedang menyiram tubuhnya.

Saya menoleh ke arah pintu yang memisahkan beranda dan dapur rumah apabila terdengar bunyi cakaran pada pintu. Saya menguatkan semangat dan mengendahkan apa yang saya dengar. Ketika saya mengalihkan pandangan ke halaman rumah semula, saya melihat seorang nenek tua yang sedikit bongkok sedang memandang saya tajam sambil bibirnya mengukir senyuman sinis. Senyumannya agak menakutkan. Saya membuang pandangan ke arah lain sebelum menatap kembali nenek tua tadi namun nenek tua itu sudah tidak kelihatan lagi. Mata saya melilau mencari kelibatnya namun nenek tua itu tidak kelihatan di mana-mana.

Sebaik sahaja api memamah surat khabar itu, saya melihat ke arah tin tadi. Tidak ada apa-apa di dalam kecuali abu kertas. Botol kaca tadi juga tidak kelihatan lagi. Seolah-olah ia sudah terbakar menjadi abu. Saya masuk semula ke dalam rumah.

Keadaan Sissy selepas itu beransur pulih. Perutnya tidak lagi membesar. Kami tidak pernah menghantar Sissy untuk berubat di mana-mana. Kami sekadar membawa Sissy untuk di doa kan oleh mereka yang tahu doa penyembuhan.

Dan kini, Sissy sudah mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya sendiri dan di kurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Sehingga ke hari ini, Sissy belum pulih sepenuhnya. Tidak ada siapa yang tahu apa sebenarnya yang berlaku pada Sissy kecuali diri Sissy sendiri.

Pena menari di atas kertas demi sebuah kepuasan. Coretan demi coretan terukir indah. Ungkapan yang tidak pernah di ungkapkan kini terungkap. Kepuasan yang hanya ‘mereka’ fahami dan kebenaran yang hanya ‘engkau’ ketahui.

Love1
beyadav
beyadav
Pena menari di atas kertas demi sebuah kepuasan. Coretan demi coretan terukir indah. Ungkapan yang tidak pernah di ungkapkan kini terungkap. Kepuasan yang hanya 'mereka' fahami dan kebenaran yang hanya 'engkau' ketahui.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *